Oleh pada 09 Apr 2017 kategori

mandi malam paru paru berair mitos atau fakta 1

Kredit foto: viminim.blogspot.com

Pasti ramai diantara kita yang sudah dibiasakan sejak dari kecil dengan kepercayaan orang-orang tua bahawa mandi malam boleh menyebabkan paru-paru masuk air. Persoalannya, adakah penyakit paru-paru berair berpunca dari tabiat mandi malam merupakan suatu mitos atau fakta?

Jawapannya, tidak. Mandi malam tidak mengakibatkan paru-paru berair. Sebaliknya, penyakit ini mempunyai kaitan dengan masalah Pulmonari Edema dan pneumonia.

Pulmonari Edema bermaksud pengumpulan air berlebihan pada ruang tisu dan organ yang menyebabkan paru-paru bengkak dan berair. Ianya berpunca daripada kecederaan pada permukaan paru-paru dan kegagalan fungsi kiri jantung.

Pneumonia pula merupakan sejenis penyakit akibat jangkitan bakteria atau virus dalam paru-paru yang menyebabkan terjadinya keradangan. Selain itu, penyakit ini juga boleh dijangkiti melalui udara yang disebarkan menerusi air liur dan hingus pesakit.

Untuk pengetahuan, cecair di dalam paru-paru kita tidak sama dengan air minuman atau air paip yang didakwa masuk ke dalam paru-paru sewaktu mandi. Sebaliknya, ia merupakan sejenis cecair yang dipenuhi nanah yang banyak dan kadang-kadang bercampur darah dan bendalir tubuh.

Antara tanda-tanda yang dapat dikesan ialah gejala batuk, sakit dada dan sukar bernafas ketika melakukan kerja-kerja ringan. Pada peringkat awal, rawatan akan melibatkan imbasan x-ray pada bahagian dada diikuti dengan pemeriksaan darah serta fungsi paru-paru.

mandi malam paru paru berair mitos atau fakta 2

Kredit foto: waspada.co.id

Oleh itu, kepercayaan bahawa penyakit paru-paru berair berpunca daripada mandi malam adalah mitos semata-mata. Malah, mandi tidak kiralah pada waktu malam ataupun siang sebenarnya baik untuk kesihatan kerana dapat membersihkan tubuh terutamanya sewaktu cuaca panas. Jika tidak, badan kita akan mudah dijangkiti influenza serta penyakit yang lain.

Konklusinya, anda tidak perlu bimbang untuk mandi pada waktu malam selepas ini. Tetapi tidak perlulah mandi lama-lama, nanti bil air melambung jangan salahkan kami pula!

Olahan: Facebook Penolong Pegawai Perubatan


tags : , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)