Mandi dengan air panas pada waktu pagi terasa begitu menyegarkan. Tambahan pula, kebanyakan rumah terutamanya di kawasan bandar kini dilengkapi dengan sistem mandian air panas. Bagi yang tinggal di kawasan beriklim sejuk pula, air panas adalah satu kemestian.

Namun, pernahkah anda mendengar bahawa mandian air sejuk adalah baik untuk kesihatan tubuh dan mental? Orang-orang tua dahulu sering menceritakan tentang kebaikan mandian air sejuk ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebenarnya, mandian air sejuk untuk tujuan kesihatan telah direkodkan sejak awal kurun ke-19 lagi apabila doktor di Barat menggunakannya ke atas pesakit mental atau banduan.

Mandian air sejuk dikatakan boleh menenangkan, melemahkan dan menanam ketakutan kepada pesakit mental atau banduan. Biasanya, mandian seperti ini mengambil masa yang lama iaitu antara 60-90 minit.

Pada pertengahan abad ke-19 pula, penduduk Barat mendakwa mandian sejuk mampu meningkatkan kesihatan tubuh dan mental. Walau bagaimanapun, mereka hanya mandi dengan air sejuk untuk waktu yang singkat sahaja berbanding mandian yang dilakukan ke atas pesakit mental dan banduan.

Kajian mandi dengan air sejuk

Dalam satu kajian yang dilakukan di Netherlands, seramai 3,000 orang sukarelawan telah mengambil bahagian dalam kajian mengenai mandian air sejuk. Mereka telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan diarahkan untuk mandi dengan air panas.

mandi air terjun

Walau bagaimanapun, satu kumpulan diarah menghabiskan mandian mereka dengan air sejuk selama 30 saat, satu lagi kumpulan dengan 60 saat dan satu lagi kumpulan dengan 90 saat. 

Mereka diarahkan melakukannya setiap hari selama sebulan. Rata-rata sukarelawan mendakwa mereka tidak begitu menikmati mandian air sejuk. Tambahan pula, mereka tinggal di negara beriklim sejuk.

Setelah dipantau perkembangan sukarelawan ini selama tiga bulan, penyelidik mendapati kumpulan yang menghabiskan mandian dengan air sejuk adalah 29 peratus semakin kurang mengambil cuti sakit berbanding sebelumnya. 

Apa yang lebih menarik, tempoh mandian air sejuk tidak mempengaruhi penurunan itu. Bahkan, sebanyak 64 peratus sukarelawan meneruskan tabiat menghabiskan mandian dengan air sejuk kerana mula menyukainya.

Dipercayai meningkatkan sistem imunisasi

Walaupun tidak jelas mengapa mandian air sejuk membuatkan sukarelawan kurang sakit tetapi beberapa penyelidik berpendapat bahawa sistem kekebalan tubuh mereka mungkin meningkat.

ice bath

Satu kajian yang dilakukan di Republik Czech mendapati bahawa atlet yang berendam dalam air sejuk tiga kali seminggu selama enam minggu menunjukkan peningkatan pada sistem kekebalan tubuh mereka. Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian berskala besar perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Mandian air sejuk juga mengaktifkan sistem saraf simpatik iaitu bahagian sistem saraf yang mengatur tindak balas atau reaksi fisiologi automatik (Fight-or-Flight Response) terhadap peristiwa yang dianggap bahaya, tertekan atau menakutkan.

Apabila sistem ini diaktifkan ketika mandian air sejuk, tubuh anda akan mengalami peningkatan hormon noradrenalin. Perubahan ini akan menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung serta tekanan darah dan dipercayai berkaitan dengan peningkatan kesihatan.

Kelebihan lain mandian air sejuk

Selain itu, mandian atau berendam dalam air sejuk juga terbukti mampu meningkatkan peredaran darah. Apabila terdedah pada air sejuk, aliran darah di bahagian bawah kulit akan menjadi perlahan. 

kelebihan mandi air sejuk

Apabila selesai mandian atau rendaman air sejuk, tubuh akan mula memanas semula. Ketika inilah, berlakunya peningkatan aliran darah yang naik ke permukaan kulit.

Satu kajian telah dilakukan ke atas individu yang berendam dalam air sejuk selepas senaman mendapati bahawa peredaran darah keluar dan masuk pada otot mereka meningkat dalam tempoh empat minggu.

Selain itu, mandian dan rendaman air sejuk juga mampu membantu anda menurunkan berat badan. Satu kajian mendapati bahawa mandian air sejuk di bawah suhu 14°C meningkatkan sistem metabolisme tubuh sehingga 350 peratus.

Metabolisme adalah proses di mana badan anda menukar apa yang anda makan atau minum kepada tenaga. Jika lebih tinggi metabolisme seseorang itu maka lebih banyak tenaga dibakar.

Kelebihan kepada kesihatan mental

Selain kesihatan fizikal, mandian air sejuk juga mungkin mempunyai kelebihan pada kesihatan mental juga. Terdapat teori bahawa air sejuk mampu meningkatkan kesedaran mental kerana rangsangan Fight or Flight yang disebutkan tadi.

mandi ais

Bagi golongan berusia pula, air sejuk yang dikenakan pada muka dan leher terbukti mampu meningkatkan fungsi otak.

Saintis juga percaya bahawa air sejuk mampu membantu meredakan simptom tekanan atau depresi. Apabila reseptor sejuk pada kulit diaktifkan pada ketumpatan tinggi ketika mandian air sejuk, ia akan menghantar sejumlah besar impuls elektrik dari saraf periferal ke otak yang mungkin mengandungi kesan anti-depresi.

Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa mandian air sejuk baik untuk kesihatan anda walaupun sebahagiannya masih tidak begitu jelas. Namun, anda perlu berhati-hati kerana mandian air sejuk juga mempunyai risikonya tersendiri.

Jumlah air sejuk yang banyak dan secara tiba-tiba boleh mengejutkan badan dan ia bahaya kepada mereka yang mempunyai masalah jantung. Ia boleh menyebabkan berlakunya serangan jantung.




Hakcipta iluminasi.com (2017)