Oleh pada 18 Dec 2017 kategori

Keputusan Ujian Pernilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) baru sahaja diumumkan baru-baru ini.

Ada yang kelihatan gembira memegang keputusan yang sangat cemerlang, dan juga ada yang berduka kerana gred yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan.

Keputusan UPSR dan PT3 bukanlah penentu segalanya, dan apa yang lebih penting daripada keputusan itu sendiri adalah bagaimana untuk meneruskan persekolahan pada musim yang akan datang.

Dan ramai di kalangan ibu bapa ingin menempatkan anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh (SBP) berbanding sekolah harian biasa (SHB).

Menurut Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran, aspek yang dititikberatkan dalam pemilihan calon untuk masuk ke SBP kini diperbaharui, iaitu berdasarkan tahap pengetahuan am, kecerdasan emosi (EQ), kecerdasan intelektuak (IQ), aspek kerohanian dan juga kemahiran sosial.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, calon yang mendapat keputusan 2A 3B pun masih berpeluang untuk menyambungkan persekolahan di SBP. Namun, persoalan yang lebih penting adalah, benarkah SBP itu lebih baik daripada sekolah harian?

iluminasi.com ingin berkongsi perbandingan kelebihan di antara sekolah harian dan sekolah berasrama penuh. 

p/s : perbandingan ini dibuat secara kolektif dan mungkin berbeza mengikut pengalaman sendiri.

Kelebihan sekolah berasrama penuh (SBP)

1. Lebih berdikari

sekolah asrama penuh lebih berdisiplin

Ini adalah kelebihan utama sekolah berasrama. Biasanya di usia remaja, tersangatlah kurang untuk mereka berdikari kerana segalanya dilakukan oleh ibu bapa. Tetapi di asrama, pelajar harus menguruskan urusan diri bermula bangun pagi sehinggalah melelapkan mata tanpa bantuan sesiapa.

Bermula dengan bangun pagi, mengemas katil, siapkan diri ke kelas, sehinggalah kepada basuh baju sendiri. Jika di rumah ibu bapa masih harus menguruskan pelajar, tapi di asrama ia harus dilakukan sendiri.

Perkara ini yang membentuk seseorang itu menjadi insan yang berdikari. Aktiviti gotong-royong juga diadakan seminggu sekali bagi melatih sikap kebersihan pelajar.

Dengan terbentuknya sifat berdikari ini, ia memudahkan pelajar untuk melangkah masuk ke alam universiti kerana sudah sebati dalam diri. Bagi mereka yang kurang berdikari, terdapat kesukaran kerana baru mula belajar hidup sendiri berjauhan dengan keluarga.

2. Lebih berdisiplin

bilik asrama perlu sentiasa kemas dan bersih

Di asrama, jadual harian adalah hampir sama, dari bangun pagi hingga tidur, pelajar harus mengikut segala peraturan sekolah. Jadi, masa seharian pelajar digunakan dengan lebih bermanfaat.

Sebagai contoh, sekolah berasrama penuh mempunyai kelas "prep" pada waktu petang dan malam yang mana harus dipenuhi para pelajar dengan menelaah pelajaran. Memang ada yang menggunakan masa ini untuk tidur, namun sedikit sebanyak ia melatih mereka supaya menggunakan masa dengan lebih hemat.

Jika di rumah, pelajar lebih bebas untuk melakukan apa sahaja Namun, di asrama, warden ditugaskan bagi sentiasa memantau aktiviti dan tingkahlaku pelajar. Contoh lain adalah bilik tidur haruslah sentaisa kemas dan bersih dengan cadar ditegangkan.

Waktu tidur iaitu lights off pula, pelajar harus memadam lampu mengikut waktu ditentukan asrama. 

Pengisian rohani juga lebih di asrama, kerana bagi hampir kesemua SBP dan MRSM, solat berjemaah diwajibkan biasanya bagi waktu subuh, maghrib dan isyak. Kuliah agama juga sering diadakan bagi membentuk sahsiah diri. Bagi setiap aktiviti, pelajar harus mengenakan pakaian yang ditetapkan.

Pelajar juga tiada alasan untuk tidak hadir ke kelas, dan tiada tempat untuk dituju sekiranya ingin ponteng sekolah.

3. Pemakanan teratur

makan mengikut jadual ditetapkan 708

Di asrama, pelajar akan disediakan makanan sekurang-kurangnya 5 kali. Ia termasuklah sarapan, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan juga supper.

Umum mengetahui ketika di usia remaja ini lah mereka memerlukan makanan dan zat secukupnya, dan dengan hidup di asrama, pemakanan mereka telah tersedia dan lebih tersusun. Ia juga mengurangkan beban ibu bapa untuk memasak.

4. Kurang masalah sosial

hukuman kahwin di perhimpunan jika ditangkap berduaan

kredit : says

Memang diakui masalah sosial di kalangan remaja ada di mana-mana sama ada sekolah harian atau sekolah asrama. Namun, di sekolah asrama ia lebih kurang berbanding sekolah harian.

Pelajar tidak boleh sesuka hati dalam melakukan perkara buruk, kerana sentiasa berada dalam kawasan asrama. Mengambil kira dua masalah sosial terbesar di kalangan remaja iaitu berduaan lain jantina dan masalah rempit.

Berdua-duaan di antara pelajar lelaki dan perempuan hanya dianggap sebagai satu masalah di sekolah asrama. Jika ditangkap berduaan di asrama, akan dikenakan hukuman memalukan atau tindakan tatatertib.

Pelajar sekolah harian bebas untuk berdating tanpa batas, kerana bebas bergaul di luar waktu sekolah dan sudah menjadi perkara biasa. Tiada siapa yang akan menegur jika pelajar lain jantina berduaan di khalayak ramai.

Jika di rumah pelajar boleh keluar malam melepak bersama rakan, ia sangat jarang berlaku di sekolah asrama. Masalah rempit pula kurang berlaku di kalangan pelajar asrama.

Hubungan di antara pelajar SBP adalah lebih rapat memandangkan hampir keseluruhan hidup di asrama dihabiskan bersama-sama serta mengenali keseluruhan tingkatan, berbanding SHB yang rata-rata mengenali rakan sekelas sahaja.

4. Keputusan akademik

keputusan akademik lebih memberangsangkan di sbp

Seperi masalah sosial, prestasi akademik juga tidak tertakluk kepada mana-mana sekolah. Namun jika dilihat kepada statistik, sebagai contoh keputusan SPM 2016, kesemua

10 sekolah terbaik di Malaysia digondol oleh sekolah berasrama penuh dan MRSM, manakala peratusan gagal adalah lebih rendah, berbanding sekolah harian biasa. Di sini kita boleh melihat prestasi akademik pelajar dari segi kolektif memihak kepada sekolah berasrama penuh.

Dengan wujudnya kelas prep terutamanya, ia mengajar dan "memaksa" pelajar untuk mengulangkaji, yang mana akan menjadi tabiat. Namun, terdapat ramai juga pelajar sekolah harian yang mendapat keputusan memberangsangkan. 

Selain itu, pelajar mempunyai kelebihan lain seperti mempelajari bahasa asing yang rata-rata ditawarkan di SBP seperi bahasa Arab, Perancis, Jerman, Jepun dan lain-lain, sebaliknya hanya bahasa Arab ditawarkan di sekolah harian.

5. Menjimatkan

jalan kaki ke kelas di sekolah berasrama penuh

Tinggal di asrama, sudah tentu akan dapat berjimat dari segi wang ringgit dan masa. Pelajar tinggal di asrama yang hanya mengambil masa 5 atau 10 minit berjalan kaki untuk ke kelas. Ibu bapa tidak perlu menghantar, atau membelanjakan wang bagi menghantar anak ke sekolah. Selain itu, ia menjimatkan masa ibu bapa.

Yuran makanan adalah tetap dan juga murah di asrama, jadi 5 atau 6 makanan yang disediakan oleh pihak asrama biasanya lebih jimat berbanding di masak di rumah. Ibu bapa juga tidak perlu membelanjakan wang menghantar anak ke tuisyen kerana kelas tambahan disediakan di sekolah asrama.

Kelebihan sekolah harian biasa

1. Masa berkualiti bersama keluarga

masa bersama keluarga lebih banyak

Perbezaan utama bersekolah di SHB dan SBP adalah masa bersama keluarga. Tidak seperti di asrama, pelajar yang tinggal di rumah mempunyai lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga.

Waktu remaja adalah waktu yang paling diberikan perhatian oleh ibu bapa kerana ketika inilah anak-anak mempelajari setiap perkara. Berada di rumah bermakna lebih banyak bimbingan dan masa bersama ibu bapa, seperti makan bersama, solat berjemaah dan meluangkan masa bersama adik beradik yang lain. 

Kurangnya masa di rumah meningkatkan kebarangkalian jurang antara ibu bapa dan pelajar, serta di antara adik-beradik yang lain. Perkara ini akan berlanjutan sehingga dewasa.

Tidak tertakluk kepada jadual asrama, pelajar sekolah harian boleh menghadiri majlis yang dilakukan di luar waktu sekolah, seperi kenduri kendara serta melawat sanak saudara.

Dan paling penting, apabila menjelang perayaan, pelajar SHB tidak runsing memikirkan baki cuti yang ada untuk pulang ke asrama, yang biasanya menjadi masalah kepada pelajar SBP.

Dengan berada di rumah, tiada masalah homesick berlaku oleh pelajar, yang mana mampu menjejaskan prestasi pembelajaran pelajar. 

2. Kurang masalah buli

masalah buli sinonim dengan kehidupan di asrama

Ya, masalah buli di SHB juga wujud, namun tidak seperti di SBP. Apabila sebut perkataan asrama, apa yang sinonim dengannya adalah buli. Terlalu banyak kes-kes buli melibatkan pelajar SBP.

Dan disebabkan tiada tempat untuk meluahkan perasaan serta wujud rasa "berdikari" yang melampau, pelajar lebih memendam apa yang berlaku daripada meluahkannya.

Malah, mereka berasa takut kerana diugut pelajar lain, dan disebabkan ini, berlakunya kes buli yang menyebabkan kecederaan teruk dan membawa maut, yang berlaku di sekolah berasrama penuh. Jika tinggal di rumah, pelajar mempunyai anggota keluarga yang lebih rapat, untuk meluahkan sebarang masalah yang dihadapi di sekolah.

3. Kehidupan lebih selesa

kehidupan di rumah lebih selesa berbanding di asrama

Tinggal di rumah, sememangnya lebih selesa berbanding di asrama. Pelajar tidak perlu berkongsi pelbagai perkara seperti beratur menunggu giliran bilik mandi, tandas dan macam-macam lagi.

Selain itu, jika pelajar SHB tidak sihat, mereka boleh berehat di rumah dan dijaga oleh ibu bapa, berbanding pelajar SBP yang hanya tinggal di bilik sakit. 

Pelajar SHB juga boleh menikmati makanan yang lebih sedap dimasak di rumah, berbanding makanan yang disediakan tanpa pilihan di asrama.

Aktiviti-aktiviti lain juga tidak terhad seperti menonton televisyen dan keluar bersama rakan, yang mana menjadi sebahagian daripada hidup remaja. Ia boleh mengurangkan tekanan terhadap pelajaran.

4. Pilihan kelas tuisyen

kelas tuisyen bebas mengikut pilihan

Walaupun kelas tambahan di asrama adalah percuma, namun tak semua pelajar yang boleh mengikuti dengan baik. Setiap pelajar mempunyai kebolehan tersendiri, dan bagi pelajar SHB, mereka boleh memilih untuk menghadiri kelas tuisyen mengikut kesesuaian mereka bagi membolehkan penyerapan pembelajaran dengan lebih efektif.

Walaupun ia menelan kos, namun ilmu itu sendiri lebih penting berbanding wang ringgit.

5. Pembelajaran tidak terhad

kemahiran tambahan boleh diperoleh pelajar sekolah harian biasa

Bagi pelajar yang ingin mengambil subjek-subjek tertentu, adalah lebih baik untuk mengikuti persekolahan SHB terutamanya dalam aliran sastera dan seni, yang mana tidak ditawarkan di SBP. Selain itu, pelajar juga tidak mempunyai pilihan dari segi subjek kerana ditentukan oleh pihak SBP. 

Dan jika ibu bapa menginginkan anak-anak mereka mempunyai kemahiran tertentu seperti bermain alat muzik dan sebagainya, sudah tentulah memberikan kelebihan kepada pelajar SHB untuk menghadiri kelas kemahiran tersebut, berbanding pelajar SBP.

Konklusi

Walaupun terdapat kelebihan oleh kedua-dua jenis sekolah ini, namun segalanya terletak atas diri pelajar dan cara ibu bapa membesarkan anak-anak itu sendiri. Jenis sekolah tidak 100% memberikan impak, namun ia mampu membantu dari banyak segi.

Dan bagi kejayaan pula, ia adalah sangat subjektif. Berjaya dalam bidang pelajaran tidak bermaksud seseorang itu berjaya dalam hidup, dan juga sebaliknya. Konklusinya, kedua-dua jenis sekolah ini mempunyai kebaikan dan keburukan, dan ia terletak di bahu ibu bapa dalam menentukan jenis sekolah yang mana satu terbaik untuk anak-anak mereka.

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)