Malala Yousafzai ialah seorang aktivis penyokong pendidikan yang berasal dari Pakistan. Semasa berusia 17 tahun, beliau menjadi manusia termuda yang pernah menerima Anugerah Nobel selepas terselamat daripada cubaan membunuh oleh puak Taliban.

Dilahirkan pada 12 Julai 1997, Malala memberi sokongan penuh untuk memberikan pendidikan kepada anak perempuan dan gadis remaja. Ketika itulah beliau menerima pelbagai ugutan bunuh daripada Taliban. 

mangsa taliban malala yousafzai

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada 9 Oktober 2012, seorang penembak telah menembak Malala ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah. Beliau berjaya diselamatkan dan telah meneruskan usaha untuk bercakap mengenai kepentingan pendidikan kepada orang awam di seluruh dunia.

Pada tahun 2013, beliau berpeluang untuk berucap di majlis anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan menerbitkan buku pertamanya berjudul 'I am Malala' sebelum memenangi Anugerah Nobel pada tahun berikutnya.

malala yousafzai kisah hidup pemenang anugerah nobel termuda 4

Kehidupan awal Malala

Malala dilahirkan di Mingora, Pakistan yang terletak di Lembah Swat. Pada mulanya, kampung halamannya itu merupakan sebuah tempat pelacongan popular yang terkenal dengan festival musim panas. Namun, segala-galanya berubah setelah Taliban mula mengawal kawasan tersebut.

Malala mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah yang diasaskan oleh bapanya sendiri, Ziauddin Yousafzai. Selepas pihak Taliban mula membuat serangan ke atas sekolah-sekolah perempuan di Swat, Malala memberikan satu ucapan di Peshawar pada September 2008. Tajuk ucapannya itu berbunyi, "Berani puak Taliban menarik hak asasiku untuk mendapatkan pendidikan!"

malala yousafzai kisah hidup pemenang anugerah nobel termuda 3

Pada awal tahun 2009, Malala mula menulis blog di BBC mengisarkan tentang kisahnya yang hidup di bawah pengaruh dan ugutan Taliban. Bagi menyembunyikan identitinya, beliau menggunakan nama pena Gul Makai. Namun demikian, identitinya didedahkan pada penghujung tahun.

Dengan platform awam yang semakin berkembang, Malala meneruskan usaha untuk bercakap mengenai hak bagi dirinya dan hak golongan wanita untuk mendapatkan pendidikan. Aktivisme Malala membuatkan beliau tercalon untuk mendapat Hadiah Keamanan Kanak-kanak Antarabangsa 2011. Pada tahun yang sama, beliau telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Belia Kebangsaan Pakistan.

Malala dan keluarganya sedar yang pihak Taliban tidak henti-henti mengugutnya disebabkan kegiatan aktivisme yang dijalankan. Walaupun Malala risaukan keselamatan ayahnya, mereka sekeluarga merasakan yang kumpulan fundamentalis itu tidak akan sesekali mencederakan seorang kanak-kanak.

malala yousafzai kisah hidup

Ditembak Taliban 

Tanggal 9 Oktober 2012, Malala yang berusia 15 tahun sedang berada dalam bas sekolah bersama rakan-rakan untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba seorang lelaki bertopeng yang memegang senapang menaiki bas dan mula bertanya siapakah Malala. Apabila rakan-rakannya toleh melihat ke arah Malala, lelaki itu terus menembaknya hingga peluru mengenai bahagian kiri kepala sebelum tembus ke bahagian leher. Selain Malala, dua lagi rakannya mengalami kecederaan dalam serangan itu.

Serangan tembakan itu menyebabkan Malala berada dalam keadaan yang sangat kritikal. Beliau diterbangkan ke sebuah hospital tentera di Peshawar dan dibedah di sana. Sebahagian daripada tengkoraknya terpaksa dibuang untuk merawat otaknya yang membengkak. Selepas itu, Malala dipindahkan ke Birmingham, England untuk rawatan lanjut.

malala yousafzai kisah hidup pemenang anugerah nobel termuda 2

Semasa di United Kingdom, Malala disedarkan daripada koma. Walaupun beliau perlu melalui beberapa siri pembedahan termasuklah pembedahan untuk membaiki saraf di sebelah kiri wajah yang telah lumpuh, Malala tidak mengalami sebarang kerosakan pada bahagian otak. Pada bulan Mac 2013, Malala telah memulakan sesi persekolahan baru di Birmingham.

Serangan itu membuatkan ramai orang berang dengan puak Taliban dan memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada Malala. Walaupun Taliban masih menganggap Malala sebagai sasaran, Malala masih tetap teguh memperjuangkan kekuatan dan kepentingan pendidikan.

malala yousafzai kisah hidup pemenang anugerah nobel termuda 5

Ucapan PBB

Pada tahun 2013, sembilan bulan selepas ditembak Taliban, Malala Yousafzai dijemput untuk memberikan ucapan di mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari lahirnya yang ke-16. Dalam teks ucapannya, beliau menekankan kepentingan pendidikan dan hak asasi wanita sambil meminta para pemimpin dunia untuk mengubah dasar negara masing-masing.

Menurut Malala, para pengganas itu menyangka yang mereka boleh mengubah hala tuju dan impiannya dengan melakukan serangan tersebut. Namun, tidak ada satu pun perkara yang berubah dalam hidupnya melainkan kematian sifat lemah, takut dan putus asa. Kekuatan, kekuasaan dan keberanian dalam dirinya pula semakin meningkat.

Malala juga mendesak agar tindakan sewajarnya diambil ke atas isu buta huruf, kemiskinan dan keganasan di seluruh dunia.

malala yousafzai kisah hidup pemenang anugerah nobel termuda 7

Anugerah lain

  • Pada 10 Oktober 2013, untuk menghargai kerja murni yang dilakukannya, Parlimen Eropah telah menganugerahkan Hadiah Sakharov untuk Kebebasan Fikiran kepada Malala
  • Pada bulan April 2017, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres telah melantik Malala sebagai Pengutus Mesej Keamanan PBB untuk mempromosikan pendidikan bagi kanak-kanak perempuan. Pelantikan ini merupakan penghormatan tertinggi yang diberikan oleh PBB bagi tempoh dua tahun.
  • Malala juga diberikan kewarganegaraan kehormatan Kanada pada April 2017. Beliau merupakan orang keenam dan yang paling muda menerima anugerah itu dalam sejarah Kanada.
  • Pada bulan Ogos 2017, Malala telah menghantar satu tweet yang menyatakan beliau telah diterima masuk untuk melanjutkan pelajaran di Oxford University dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi.

malala yousafzai kisah hidup pemenang anugerah nobel termuda 8

Perjuangan diteruskan

Leanin.org mengadakan sesi live chat di Facebook bersama Sheryl Sandberg dan Malala Yousafzai pada bulan Ogos 2014 tentang isu kepentingan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan di seluruh dunia. Malala bercerita mengenai kisah hidupnya, tentang inspirasi, keluarganya dan rancangannya untuk masa depan selain menjawab pelbagai pertanyaan yang diajukan oleh netizen.

Semasa ulang tahun kelahirannya yang ke-18, Malala meneruskan perjuangannya dalam pendidikan global dengan membuka sebuah sekolah untuk gadis pelarian Syria di Lubnan. Kesemua perbelanjaan persekolahan bagi hampir 200 remaja perempuan berusia antara 14 hingga 18 tahun itu ditanggung oleh Dana Malala.

malala yousafzai kisah hidup pemenang anugerah nobel termuda 6

Pada hari yang sama, beliau menulis di laman web Dana Malala : Sebenarnya para pemimpin dunia mempunyai dana yang cukup untuk membiayai pendidikan rendah DAN menengah di seluruh dunia - namun mereka memilih untuk membelanjakannya pada hal-hal lain seperti belanjawan tentera. Jika seluruh dunia berhenti membelanjakan wang untuk tujuan ketenteraan hanya selama 8 hari, kita sebenarnya boleh mendapatkan wang $39 bilion yang masih diperlukan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti dan bebas untuk setiap kanak-kanak di planet ini selama 12 tahun.




Hakcipta iluminasi.com (2017)