Mungkin ramai yang mengenali nama "Medellin Cartel", iaitu sebuah organisasi jenayah menghasilkan dan menyeludup dadah paling besar di dunia satu ketika dahulu yang diketuai oleh Pablo Emilio Escobar Gaviria. Namun, kini ia hanya menjadi sejarah.
Dan ketika ini, muncul lagi satu kuasa besar kartel dadah yang diberi nama Los Zetas, yang dilihat semakin berkuasa dan mengatasi kartel Sinaloa yang merupakan kartel dadah terbesar di Mexico.
iluminasi.com ingin berkongsi 9 fakta dahsyat mengenai kartel dadah paling ganas di Mexico ketika ini.
1. Ditubuhkan oleh bekas tentera
Los Zetas merupakan kumpulan yang ditubuhkan oleh bekas tentera Mexico. Ia bermula sebagai cawangan penguatkuasaan Kartel Teluk Mexico yang dianggotai oleh 34 tentera Pasukan Khas Mexico. Kumpulan ini diambil alih oleh Osiel Cardenas Guillen ketika sedang bergelut dengan perang teluk yang sangat dahsyat.
BESARKAN TEKS A- A+
Cardenas kemudiannya mengupah seorang pesara tentera Mexico sebagai pengawal keselamatannya bagi memastikan dirinya terjaga, yang kemudiannya meminta 30 daripada 34 tentera tersebut untuk menubuhkan sayap tentera upahan Los Zetas. Kumpulan penguatkuasa tersebut akhirnya berpecah dan menjadi kartel dadah yang digelar Los Zetas.
Terdapat banyak organisasi jenayah di dunia ini yang telah memporak-perandakan sesebuah negara, walaupun diketuai oleh mereka yang tidak mempunyai latar belakang seperti tentera. Jadi, cuba bayangkan sendiri apa yang akan berlaku jika organisasi jenayah itu ditubuhkan oleh bekas tentera?
2. Pengasasnya dilatih oleh Amerika Syarikat
Pengasas organisasi jenayah ini menerima latihan daripada pegawai tentera Amerika Syarikat dan beberapa ahli awal Los Zetas merupakan tentera elit Mexico yang dilatih oleh Kumpulan Angkatan Khas ke-7 Amerika.
Antara latihan yang dilatih adalah cara membaca peta, komunikasi, dan latihan Pasukan Khas termasuklah cara untuk menggunakan senjata berat, mesingan, dan beberapa senjata automatik. Dan mereka yang sepatutnya melindungi negara daripada jenayah, menjadi penjenayah besar. Ini yang membuatkan Los Zetas menjadi sangat bahaya.
3. Kartel dadah terbesar di Mexico
Dari segi skala operasi, kartel dadah yang paling besar dan dahsyat adalah Los Zetas, yang beroperasi di lebih daripada separuh kawasan di Mexico. Mereka telah mengatasi Kartel Sinaloa sebagai kartel dadah terbesar di Mexico menjelang hujung tahun 2011, disebabkan oleh keadaan geografi mereka yang lebih baik. Sinaloa beroperasi di 16 negeri manakala Los Zetas di 17 buah negeri daripada 32 negeri di Mexico.
4. Menaja dan merasuah ahli politik
Antara masalah yang paling besar dan membimbangkan adalah tindakan Los Zetas menaja ahli politik. Apa gunanya jika mereka yang patut mentadbir negara, tetapi dikawal seperti patung oleh penjenayah? Masalah dadah tidak akan pernah selesai. Hubungan antara ahli politik dan kartel dadah mula didedahkan sejak tahun 2011. Lebih teruk, bukan sahaja Los Zetas yang berminat mempengaruhi ahli politik, malah ahli politik sendiri juga berminat mendapatkan habuan daripada kartel-kartel dadah.
Bekas gabenor Tamaulipas, Tomas Yarrington dihadapkan ke mahkamah akibat tuduhan pengedaran dadah dan penggubahan wang haram di Amerika Syarikat. Beliau dikatakan mengambil rasuah daripada kartel dadah sebagai pertukaran untuk melindungi organisasi jenayah itu. Jika gabenor Mexico pun boleh dipengaruhi oleh kartel dadah ini, tak mustahil satu hari nanti organisasi jenayah mampu menghasilkan kerajaan sendiri.
5. Tanam dan hasilkan dadah di luar negara
Antara dadah yang dihasilkan dan diseludup oleh Los Zetas termasuklah kokain, heroin, methamphetamine, ecstasy, ganja dan banyak lagi. Los Zetas sebelum ini menghasilkan dadah di Mexico atau negara yang tidak maju di mana kerajaan menjadi rakan kongsi atau tak mampu untuk menggugat operasi mereka. Namun mereka telah membawa aktiviti penghasilan dadah ke negara yang lebih membangun dan maju seperti Amerika Starikat.
Ladang ganja bernilai RM8.4 juta dijumpai di Texas pada tahun 2015 dan ia dikaitkan dengan Los Zetas. Mereka juga beroperasi di negara-negara lain, seperti mendapatkan bahan mentah dari Argentina, dan beroperasi di negara Asia, seperti MALAYSIA. Keseluruhan 47 buah negara menjadi tempat operasi Los Zetas termasuklah Colombia, Guatemala dan banyak lagi.
6. Bukan hanya seludup dadah
Los Zetas digelar sebagai kartel dadah Mexico paling dashyat dan jahat dalam sejarah. Jika kartel-kartel dadah lain hanya fokus kepada menyeludup dadah, lain pula bagi Los Zetas bagi menjana keuntungan. Los Zetas juga melakukan jenayah seperti menculik dan peras ugut. Seramai 17 orang diculik pada Ogos 2017 oleh Los Zetas dan dibawa ke sebuah rumah, namun ia berjaya dipatahkan kerana mendapat bantuan orang awam.
Los Zetas juga menyeludup imigran masuk ke Amerika Syarikat menggunakan jalan yang sama untuk menyeludup dadah. Mereka kerap menculik dan menahan imigran miskin yang cuba untuk menyeludup masuk ke Amerika Syarikat dengan sendiri, dan jika wang tidak dibayar, mereka akan dibunuh.
7. Penjenayah paling brutal di Mexico ketika ini
Jika musut ketat Los Zetas, MS-13 mempunyai tatu yang menakutkan, tapi tidak dapat mengatasi keganasan mereka. Memang keganasan dan tidak perikemanusiaan sangat sinonim dengan mana-mana kartel dadah, namun Los Zetas lebih dahsyat. Kumpulan ini telah melakukan pembunuhan berama-ramai ke atas 72 imigran yang diculik kerana tidak mahu membayar wang tebusan dan tidak mahu menjadi pembunuh upahan.
Ketua Los Zetas, Miguel Angel Trevino dikatakan telah membunuh 2,000 nyawa dengan tangannya sendiri. Cara yang paling disukai Miguel dalam membunuh adalah dengan memasukkan mangsa ke dalam tong minyak dan dibakar. Miguel juga memaksa imigran Mexico yang ditangkap untuk berlawan sesama sendiri sehingga mati. Bagi mereka yang direkrut sebagai pembunuh, Miguel akan menyelia eksperimen membunuh bagi memastikan pembunuh tersebut mampu melakukan kerja dengan baik.
8. Dibantu polis Mexico
Bukan sahaja dibantu oleh ahli politik, malah Los Zetas juga mendapat kerjasama dari pihak polis Mexico dalam tindakan melakukan jenayah. Siasatan lanjut ke atas kes pembunuhan 72 imigran yang diculik pada Ogos 2010 dan keputusan mengejutkan dikeluarkan iaitu beberapa anggota polis Mexico membantu Los Zetas dalam melakukan pembunuhan tersebut.
Anggota-anggota polis tersebut mengepung dan menangkap imigran tersebut yang menaiki bas dan menyerahkan mereka kepada Los Zetas. Pihak polis ini juga berpura-pura seperti mengawal sesebuah kawasan daripada kartel dadah dan membiarkan operasi Los Zetas berjalan seperti biasa.
9. Memiliki teknologi komunikasi radio yang tak dapat dihubungi
Jaringan komunikasi sangat canggih yang dibina oleh Los Zetas sehingga kini masih belum dapat dipatahkan oleh tentera Mexico. Terdapat dua sebab mengapa tentera Mexico gagal, pertama adalah peralatan radio tersebut sangat mudah untuk digantikan. Kedua adalah Los Zetas bergantung kepada tenaga buruh yang dipaksa dalam membina dan menyelenggara peralatan radio tersebut.
Teknologi ini memberikan kelebihan kepada Los Zetas dan sukar dijejaki.
Rujukan:
1. Wired
3. Listverse