Oleh pada 06 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Bintang Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Liza Hanim, menafikan dakwaan kononnya dia dihantui gangguan mistik selama dua minggu hingga memberi kesan kepada kualiti persembahannya.

Liza yang menjadi peserta 'favourite' pertandingan itu, mengakui kesilapan tersebut berpunca daripada dirinya sendiri yang hilang fokus.

"Saya sendiri yang serabut barangkali dan saya terima kesilapan diri sendiri pada minggu lepas.

"Ini pertandingan, ada masanya emosi dan perasaan gementar itu boleh mempengaruhi semua perkara termasuk persembahan.

"Memang benar sepanjang seminggu saya sedikit terganggu tapi Alhamdulillah, pada minggu ini saya berjaya mendapatkan diri saya semula.

"Bagi saya tidak ada gangguan daripada segi mistik atau seumpamanya pun. Kalau terlalu memikirkan perkara itu nanti datang stress lain pula," katanya menurut portal Astro Gempak.

Sementara itu, Liza turut mengakui dia cuba mendapatkan ketenangan dan menjauhi gangguan sedemikian dengan memanjatkan doa serta menguatkan benteng diri melalui pelaksanaan ibadah wajib.

liza hanim dapat gangguan mistik ini jawabnya 2

Kredit foto: Instagram @sukasucrestudio

"Saya melakukan amalan dan ibadah wajib seperti biasa. Kalau perlukan ketenangan, saya panjatkan doa dan mohon dijauhkan daripada gangguan atau tekanan.

"Mungkin ada sebab saya tidak dapat melakukan yang terbaik pada dua minggu lepas," katanya lagi.

Persembahan lagu Lelaki Teragung oleh Liza pada dua minggu lalu mendapat kritikan juri undangan, Datuk M. Nasir yang menyifatkan vokalnya 'ke laut'.

Bagaimanapun, Liza berjaya menebus kembali kedudukan pertama dalam pertandingan itu pada konsert keenam baru-baru ini menerusi pertaruhan lagu Warkah Untukku, nyanyian asal Ara.

Pada Ahad ini, beliau bakal bersaing di peringkat separuh akhir dengan dua lagu tugasan, Kesal (Ella) dan Jagalah Diri (Jaclyn Victor).

Liza bakal dicabar enam peserta lain iaitu Aishah, Hazami, Tia Jinbara, Firman, Lan Solo dan Syura.

Konsert GV4 ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)