Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Penyanyi Aishah memberi kejutan menerusi persembahan bertenaga dan menyentuh hati di pentas akhir Gegar Vaganza musim keempat (GV4) sekaligus melayakkannya bergelar juara musim ini, dalam pertandingan yang berlangsung di Pinewood Studio, malam tadi.

Aishah mempertaruhkan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion untuk segmen solo dan Supergirls untuk segmen 'battle', lantas menewaskan lima saingannya yang lain iaitu Liza Hanim, Lan Solo, Hazami, Firman dan Tia Jinbara.

"Liza Hanim, kamu perlu akur bahawa tenaga nyanyian Aishah sangat berlainan pada malam ini," kata juri tetap GV4, Datuk Ramli MS usai persembahan 'battle' antara Liza Hanim dan Aishah.

Malah, seorang lagi juri tetap, Hetty Koes Endang menitiskan air mata selepas persembahan penuh penghayatan Aishah di segmen solo.

Dalam pada itu, Aishah turut merangkul trofi Anugerah Gelora Vida Vaganza.

Pemarkahan diadili sepenuhnya oleh juri profesional yang terdiri daripada dua juri tetap, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, bersama dua juri undangan, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Rosyam Nor.

Kemenangan Aishah melayakkan beliau meraih wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 dan trofi.

Naib juara pula milik Liza Hanim yang menerima wang tunai RM50,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Turki, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM5,000 bersama trofi.

Diikuti, Lan Solo di tangga ketiga yang meraih wang tunai RM30,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Boracay di Filipina, barang kemas, baucar beli-belah bernilai RM4,000 dan trofi.

Bagaimanapun, Hazami terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat yang diterimanya bersama hadiah berupa wang tunai RM20,000, pakej percutian ke Jogjakarta, barang kemas, baucar beli-belah bernilai RM3,000 dan trofi.

Firman dan Tia Jinbara pula masing-masing menduduki tangga kelima dan keenam.

Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Konsert akhir GV4 yang dikemudi pasangan hos Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut dimeriahkan dengan persembahan selingan Ezad Lazim, Mamat Exist dan bintang-bintang GV4 yang tersingkir awal.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)