Dalam dunia masa kini, kebanyakan hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas pesalah adalah melalui hukuman gantung sampai hati. Hukuman gantung menjadi pilihan kerana ianya dianggap "berperikemanusiaan" kerana tidak menyeksa pesalah.

Walau bagaimanapun, sebelum hukuman gantung di jalankan kepada pesalah, mengikut sejarah terdapat banyak lagi kaedah hukuman bunuh yang pernah dilakukan ke atas pesalah. Salah satu yang paling kejam, menyeksakan dan mengerikan adalan Lingchi yang popular di China satu ketika dahulu.

Perkataan Lingchi jika diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia bermaksud menghiris secara perlahan. Dalam hukuman ini, badan pesalah akan dihiris secara perlahan-lahan sehinggalah pesalah tersebut mati. Hukuman Lingchi ini menjadi pilihan semasa zaman pemerintahan Dinasti Tang sehinggalah penghujung zaman pemerintahan Dinasti Qing.

Berbanding hukuman bunuh lain seperti tembak sampai mati dan gantung sampai mati yang bertujuan untuk menyebabkan kematian kepada pesalah sebagai balasan atas kesalahannya, hukuman Lingchi bertujuan untuk menyiksa pesalah sehingga mati. 

Prosedur hukuman Lingchi 

hukuman bunuh paling kejam

Bagi memudahkan hukuman dijalankan, pesalah akan diikat di sebatang kayu bagi mengelakkan sebarang pergerakan. Seorang yang berperanan untuk menjalankan hukuman tersebut kemudiannya akan memulakan hirisan demi hirisan ke atas badan pesalah. Kebiasaannya, hirisan akan dimulakan dari bahagian dada pesalah.

Setelah dihiris, bahagian otot akan dikeluarkan sehingga menampakkan tulang pesalah. Selepas bahagian dada, bahagian tangan pula akan dihiris dan diikuti pula oleh bahagian kaki. Sebelum bahagian kaki dipotong, pesalah kebiasaannya sudahpun mati akibat kesakitan yang teramat sangat dan banyak darah yang mengalir keluar.

hukuman bunuh 47

Apabila pesalah sudah disahkan meninggal, kepalanya akan dipenggal. Walaupun sudah mati, keseluruhan bahagian tangan dan kaki pesalah akan diceraikan daripada badan. Mengikut kepercayaan, ianya dilakukan sebagai balasan kepada pesalah di dunia dan kehidupan selepas kematian.

Kerana ketiadaan undang-undang atau peraturan yang menjelaskan secara terperinci bagaimana hukuman ini dijalankan, sesetengah kawasan di China mungkin melakukannya dengan cara yang berlainan dari kawasan yang lain. Ada pesalah yang mati kira-kira 15 minit selepas hukuman dijalankan dan ada yang mengambil masa berjam-jam.

Ada juga petugas yang diarahkan menjalankan hukuman ini lebih berperikemanusiaan dengan membunuh terus pesalah daripada membiarkan pesalah daripada terseksa berjam-jam lamanya. Selain itu, kebiasaannya keluarga pesalah juga akan meminta pesalah terus dihukum bunuh daripada dibiarkan terseksa akibat anggota badan pesalah dipotong-potong.

Memandangkan hukuman ini tersangatlah kejam dan merupakan sejenis hukuman bunuh, hanya pesalah yang melakukan kesalahan yang sangat berat sahaja akan dikenakan hukuman ini. Antara pesalah yang tertakluk kepada hukuman ini adalah pembelot dan pembunuh bersiri.

Mengikut catatan sejarah, hukuman bunuh melalui kaedah Lingchi ini telah ditamatkan sekitar tahun 1905.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Planet Deadly



Hakcipta iluminasi.com (2017)