Oleh pada 24 Sep 2017 kategori

Penulisan ini dicoret oleh saudara Syahril A. Kadir di laman facebook miliknya dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran untuk ulang siar penulisannya di laman blog ini. Semoga bermanfaat kepada semua.


Pasukan F ditubuhkan oleh PDRM pada Mac 1971 dan diketuai pegawai polis bernama Leong Chee Woh. Pada awalnya pasukan itu terdiri daripada beberapa pegawai dan detektif Cawangan Khas (SB) serta bekas pengganas komunis terpilih. 

kumpulan f 109

Kredit : Utusan

Misi utama pasukan F ialah menangkap hidup-hidup pengganas komunis bagi mendapatkan maklumat risikan terhadap pergerakan mereka yang bermaharajalela ketika itu.

Awalnya tidak sampai 15 orang dipilih dalam pasukan ini. Namun dalam tempoh 20 tahun perjuangannya, Pasukan F telah berjaya melancarkan berpuluh-puluh operasi termasuk Op Kelah, Op Ular, Op Taloong dan Op Paraku sehingga membawa kepada Perjanjian Haadyai 1989.

kumpulan f pdrm

pengganas komunis yang dibunuh 764

Paling membanggakan, hasil kecekapan pasukan kecil yang cuma dianggotai sekitar 164 orang pegawai dan anggota polis ini membolehkan sejumlah 48 orang pengganas komunis ditembak mati, 171 musuh ditangkap di hutan manakala 1,432 orang pengganas lagi diberkas di kawasan dalam dan luar bandar.

Itulah kehebatan dan keberanian Chee Woh dan anak-anak buahnya dalam memerangi anasir-anasir subversif ini.

Kita mungkin anggap orang bukan Melayu tidak mempunyai semangat nasionalisma terhadap negara sendiri, namun Chee Woh berjaya membuktikan tanggapan itu salah sama sekali.

datuk leong chee woh 662

Beliau telah menghabiskan masa berpuluh tahun dalam hidupnya semata-mata untuk menjejaki dan menghapuskan kekejaman yang dilakukan oleh musuh negara ini.

Beliau meletakkan negara lebih utama berbanding dirinya sendiri. Hutan belantara menjadi rumah keduanya. Nyawanya sentiasa berada di hujung tanduk. Bila-bila masa saja beliau dan anak-anak buahnya boleh dibunuh atau diseksa disebabkan kerja-kerja risikan dan penyamaran yang mereka lakukan.

datuk leong chee woh sedang berunding dengan pengganas komunis 462

Kredit: Ipoh World

'Rahsia' pasukan ini hanya diketahui umum baru-baru ini apabila PDRM akhirnya mendedahkan kewujudan mereka sebagai tanda terima kasih dan penghargaan terhadap pengorbanan yang mereka lakukan.

Terbaru, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan untuk menganugerahkan pingat keberanian kedua tertinggi negara, Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Chee Woh atas sumbangan yang tiada tolok bandingnya ini.

datuk leong chee woh

Kredit: Ipoh World

Beliau dan anak-anak buahnya adalah wira yang tak didendang tetapi jasa yang mereka taburkan akan terus tersimpan kemas dalam tinta emas sejarah sebuah negara yang merdeka bernama Malaysia.

Salute Datuk Leong Chee Woh dan pasukan F!


tags : , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)