Oleh pada 23 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Youtube / The Malaysian Insight

Seorang lelaki tempatan dicurigai kurang waras ditahan polis kelmarin setelah tularnya sebuah video menyaksikan dia menyerang sekumpulan wanita yang tidak bertudung di sebuah perhentian bas di Bukit Mertajam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid, polis memberkas suspek di Jalan Taman Perwira, Bukit Tengah, pada pukul 11.30 malam kelmarin.

"Selepas soal siasat, suspek mengaku dia menolak wanita itu kerana marah melihatnya tidak memakai tudung. 

"Wanita itu kemudian memarahi suspek dan berkata dia gila," ujarnya menerusi kenyataan tersebut. 

Suspek yang berumur 30 tahun kemudiannya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam pada pukul 2 pagi bagi tujuan pemeriksaan kesihatan. 

Video kejadian tersebut tular di laman sosial, sehingga menerima liputan media antarabangsa seperti The Daily Mail di United Kingdom. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid, berkata kejadian berlaku semasa mangsa bersama kakaknya menunggu bas di Taman Perwira, Bukit Tengah, jam 12 tengah hari pada 6 Januari lepas.

Ujarnya, suspek yang dalam keadaan kusut-masai pada awalnya menyoal mangsa destinasinya dan secara tidak semena-mena memarahinya sambil berkata dia ‘pantang’ jika ada wanita yang tidak bertudung.


“Mangsa yang merupakan rakyat Indonesia dan bekerja di sebuah kilang berhampiran terkejut apabila pengadu menolak kepalanya menggunakan tangan.


“Suspek kemudian beredar selepas dimarahi kakak pengadu dan beberapa rakannya yang berada di perhentian bas berkenaan,” ujarnya kelmarin.


Tambah Nik Ros Azhan, mangsa yang tidak cedera membuat laporan polis setelah menerima nasihat daripada pihak polis.

“Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati lelaki berkenaan berusia 30 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak menghadapi masalah mental sejak 15 tahun lalu,” jelasnya.

Sumber berita: MalaysiakiniUtusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)