Dengan kehebatan teknologi masa kini, jenayah semakin mudah untuk dilakukan. Internet menjadi salah satu platform kepada mereka yang sangat bijak mengambil kesempatan di atas kelalaian orang lain.
Baru-baru ini seorang lelaki dari Lithuania yang bernama Evaldas Rimasauskas mengaku bersalah terhadap penipuan atas talian, kecurian identiti yang sulit dan caj pengubahan wang haram setelah mengakui dia telah mencuri RM404 juta dari Facebook dan RM94 juta dari Google, antara tahun 2013 dan 2015.
BESARKAN TEKS A- A+
Dan pasti anda tertanya-tanya, bagaimana seseorang itu boleh menipu dan mencuri wang hampir RM500 juta daripada 2 gergasi korporat terbesar di dunia?
Modus operandi Evaldas adalah sangat ringkas dan mudah.
Dia hanya menghantar invois-invois kepada 2 syarikat ini di atas pembelian yang tidak dilakukan oleh Facebook dan Google, serta tiada langsung servis yang diberikan oleh Evaldas.
Dan apa yang mengejutkan adalah, kedua-dua syarikat ini dengan taatnya membayar sejumlah wang yang banyak kepada Evaldas, tanpa mempersoalkan apa-apa.
Invois-invois tersebut disertakan dengan invois palsu, kontrak, dan surat yang palsu yang kelihatan telah disempurnakan dan ditandatangani oleh eksekutif dan ejen syarikat mangsa.
Semua invois tersebut juga mempunyai setem korporat palsu syarikat mangsa, lalu diserahkan kepada bank untuk menyokong pemindahan sejumlah wang yang besar melalui pemindahan elektronik.
Untuk memperlihatkan semua ini seolah-olah sah, Evaldas juga memalsukan e-mel yang kelihatan seperti datang daripada eksekutif korporat.
Nampaknya tiada siapa yang peduli untuk memeriksa sama ada invois tersebut adalah sah atau tidak. Dengan itu, mereka akan memenuhi permintaan wang daripada Evaldas, setiap kali "diminta".
Evaldas berpura-pura menjadi syarikat pengeluar peralatan gergasi dari Taiwan iaitu Quanta Computer Inc, dan telah mendaftarkan sebuah syarikat di Latvia dengan nama yang sama.
Evaldas dilaporkan telah memindahkan wang tersebut ke beberapa buah akaun bank di Latvia, Lithuania, Cyprus dan Slovakia.
Lebih mengejutkan, Facebook langsung tidak menyedari penipuan selama ini. Malangnya bagi Evaldas, Google akhirnya dapat mengesan penipuan ini membawa kepada penangkapannya.
Ecaldas bersetuju untuk memulangkan semula RM204 juta daripada jumlah keseluruhan dan masih belum jelas apa yang dilakukannya dengan baki RM294 juta.
Google mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mengesan penipuan tersebut dan memaklumkan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.
Hukuman ke atas Evaldas Rimasauskas akan ditentukan pada 29 Julai 2019, di mana dia berhadapan dengan hukuman 30 tahun penjara.
Pada dasarnya, Evaldas Rimasauskas dilihat sebagai Robin Hood moden, kecuali dia tidak memberikan wang tersebut kepada orang miskin sebaliknya menggunakannya untuk diri sendiri.
Namun dari segi mencuri daripada orang kaya, dia benar-benar berjaya menyerupai Robin Hood.
Walaupun ia menyalahi undang-undang, namun apa yang dilakukan oleh Evaldas adalah sangat berani dan agak membingungkan bagaimana dengan mudah dia boleh menipu 2 syarikat terbesar di dunia.
Menurut sumber, jika Evaldas tidak melakukan jenayah ini terhadap Google, dia berkemungkinan tidak akan dapat dikesan kerana Facebook tidak menyedari bahawa perkara ini sedang berlaku.