Pernahkan anda menyumbang sesuatu kepada negara atau masyarakat setempat? Jika ya, apakah sumbangan tersebut? Bagaimana ia dapat membantu orang yang memerlukan?
Sekecil-kecil bantuan seperti derma atau membantu orang kurang upaya melintas jalan dapat memberikan kesan positif kepada masyarakat. Namun, sejauh manakah kita mahu membantu orang lain tanpa mendapat balasan?
BESARKAN TEKS A- A+
Mungkin anda pernah mendengar nama Dashrath Manjhi atau gelarannya "Mountain Man", seorang warga India yang telah menebuk sebuah bukit bagi memendekkan jarak antara Atri dan Wazirganj daripada 55 kilometer kepada 15 kilometer.
Isteri Dashrath Manjhi mengalami pendarahan yang teruk ketika sarat mengandung dan mati dalam perjalanan ke hospital. Disebabkan tragedi itu, Dashrath berazam untuk membina jalan bagi memudahkan penduduk setempat mendapat rawatan doktor.
Beliau memulakan usaha gila itu pada tahun 1960 hanya dengan menggunakan pahat dan penukul dan bekerja siang dan malam selama 22 tahun.
Lebih menakjubkan, Dashrath melakukan kerja tersebut seorang diri tanpa bantuan sesiapa. Hasilnya, selepas 22 tahun, orang ramai yang pernah mengejeknya satu ketika dahulu dapat menikmati hasil titik peluhnya. Bukit tersebut ditebuk sepanjang 110 meter, 9 meter lebar dan berketinggian 7.6 meter.
"Ketika saya mula menebuk bukit tersebut, orang berkata saya gila namun ia tidak mematahkan semangat saya. Ada juga yang membantu saya dengan memberikan makanan serta membelikan peralatan menebuk bukit," - Dashrath Manjhi
Dashrath mengambil masa 22 tahun menebuk bukit tersebut, namun kerajaan tempatan mengambil masa 30 tahun untuk menurap jalan tersebut. Dashrath Manjhi meninggal dunia pada tahun 2007 ketika berusia 73 tahun akibat barah hempedu.
Perkara yang sama telah dilakukan seorang lelaki di India, apabila beliau telah menggali kolam bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan air di kampungnya. Apa yang lebih menakjubkan, beliau telah melakukannya selama 27 tahun, dan seorang diri tanpa bantuan daripada sesiapa.
Masalah kekurangan air di kampung lelaki hebat ini, Shyamlal Rajwade di Chhatisgarh, India sudah berlaku sejak beliau masih remaja lagi. Kerajaan tempatan tidak menghiraukan permohonan dan rayuan bantuan yang diajukan oleh penduduk kampung.
Melihatkan keadaan itu, Shyamlal yang ketika itu berusia 15 tahun tidak dapat duduk diam dan membuat keputusan untuk berbuat sesuatu mengenainya.
Berbekalkan cangkul dan keazaman yang tinggi, beliau masuk ke hutan berhampiran dan mula menggali lubang dengan harapan menjadi sebuah tasik sebagai takungan air untuk bekalan orang kampung.
Menurut Shyamlal, beliau tidak mendapat bantuan daripada sesiapa termasuklah kerajaan dan orang kampung. Namun, beliau tidak berputus asa dan terus berusaha kerana mengimpikan hidup normal dimana keperluan asas kehidupan tersedia.
Setelah 27 tahun menggali tasik tersebut seorang diri sejak tahun 1990, Shyamlal yang kini berusia 42 tahun berasa bangga dengan pencapaiannnya dalam membantu menyediakan sumber air yang diusahakannya. Semua orang kampung menganggap Shyamlal sebagai hero dan penyelamat, lebih-lebih lagi ketika situasi yang menyerupai kemarau melanda kampung itu.
Bermula daripada sebuah lubang, kini tasik tersebut berukuran 4046 meter persegi, hampir separuh saiz padang bola antarabangsa, dengan kedalaman 4.5 meter.
Berita kejayaan ini tersebar luas di India dan majlis daerah Mahendragarh memberikan sumbangan kepada Shyamlal sebanyak RM670 atas usahanya selama ini. Walaupun sangat sedikit jumlah tersebut, namun itu bukanlah yang diminta, tetapi untuk melihat orang kampungnya hidup dengan lebih baik dari sebelumnya.
Kampung tersebut walaubagaimanapun masih belum mempunyai bekalan elektrik dan jalan yang baik.
Sumber:
1. India Today