Lama sebelum ia dipindahkan ke lokasi terkini di bahagian utara Regent's Park, Zoo London adalah tarikan popular di beberapa tempat yang berbeza. Dari abad ke-12 hingga awal abad ke-19, penduduk London telah biasa mendengar bunyi haiwan buas eksotik di Menagerie Tower (Taman Haiwan Menara) of London.

Pada ketika itu, penduduk London tidak biasa melihat haiwan-haiwan eksotik daripada negara lain. Oleh kerana itu, zoo dianggap sesuatu yang sangat popular dan menjadi bahan bualan di kalangan penduduk.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Para penggemar haiwan ketika itu dapat melihat sendiri pelbagai keunikan termasuk beruang kutub yang dibenarkan berenang dan menangkap ikan untuk dimakan di Sungai Thames di London. Beruang itu bagaimanapun dirantai kakinya supaya tidak dapat merayau jauh.

tugu beruang kutub

Tugu Beruang Kutub

Pada zaman dahulu, haiwan eksotik seperti beruang kutub atau singa biasanya diberi atau ditukarkan sebagai hadiah di kalangan golongan diraja.

Kini, hanya ukiran dan patung haiwan eksotik sahaja yang diletakkan di tapak Menara London yang bersejarah itu. Kedudukan patung-patung haiwan itu dikatakan hampir dengan tempat di mana haiwan eksotik pernah dipamerkan dahulu.

William the Conqueror adalah Raja England yang pertama yang mula mengumpul beberapa haiwan eksotik di kalangan golongan diraja. Dia dilaporkan menyimpannya di istananya di Woodstock Park.

william the conqueror

William the Conqueror

Pada sekitar tahun 1100, anaknya pula iaitu Henry I telah melengkapkan kawasan besar ladang di Woodstock Park dengan pelbagai koleksi haiwan. Dia diketahui memelihara pelbagai spesies yang berbeza seperti singa, unta, harimau bintang, kucing liar, burung hantu, landak dan banyak lagi.

Akan tetapi Henry I tidak memelihara semua haiwan-haiwan itu kerana sifat ingin tahu atau minat semata-mata. Dia akan melepaskan beberapa jenis haiwan buas supaya dia dapat memburu mereka untuk keseronokan.

Walaupun tiada dokumen yang mengesahkan Tower Menagerie (Taman Haiwan Menara London) dibina pada zaman Henry I, tetapi rekod bayaran gaji kepada penjaga singa pada sekitar tahun 1210 menunjukkan bahawa King John yang memerintah England antara 1191 hingga 1216 telah menyimpan beberapa haiwan liar di menara itu. Dia juga diketahui memelihara beberapa ekor beruang juga.

tower menagerie zoo paling gila

Tower Menagerie

Pengganti kepada King John iaitu Henry III telah meneruskan tradisi memelihara haiwan eksotik di Menara London. Henry III dikatakan begitu gembira apabila menerima hadiah perkahwinan daripada Maharaja Rom iaitu Frederick II yang berupa tiga ekor singa.

Pada zaman pemerintahannya, logo diraja telah diubah dengan menampilkan tiga ekor singa seperti yang digunakan oleh pasukan bola sepak England sekarang.

King Henry III juga menerima beberapa lagi haiwan eksotik yang mengagumkan penduduk London seperti beruang putih dan gajah dari Afrika. Hadiah ini telah diberikan kepada Henry III oleh raja-raja dari Norway dan Perancis sekitar tahun 1252 hingga 1255.

zoo london

Tidak lama selepas menerima hadiah gajah itu, semua koleksi haiwannya itu telah dipindahkan ke benteng berhampiran dengan pintu utama menara yang dinamakan sebagai Menara Singa.

Struktur yang telah dirobohkan sekitar tahun 1800-an itu mempunyai sangkar haiwan yang disusun secara memanjang di belakang pagar kawasan menara itu. Sangkar itu disusun secara dua tingkat.

Pada waktu siang, haiwan-haiwan eksotik ini akan diletakkan dalam sangkar di bahagian atas. Pada waktu malam mereka akan dipindahkan ke sangkar di bawah pula.

tugu singa tower of london

Tugu singa di Tower of London Menagerie

Malangnya, kebanyakan haiwan yang disimpan di Menagerie Tower ini mati disebabkan keadaan yang tidak terurus. Haiwan-haiwan itu tidak berada di habitat semula jadi mereka dan dikurung di dalam kawasan yang kecil. 

Walau ada haiwan yang dapat bertahan dengan lebih baik seperti singa dan harimau, namun haiwan seperti gajah tidak dapat bertahan lama. Walaupun ditempatkan dalam sangkar berasingan dan ditugaskan seorang penjaga bagi setiap gajah, haiwan itu hanya bertahan beberapa tahun sahaja selepas tiba di zoo itu.

Hanya pada abad ke-16 ketika England di bawah pemerintahan Queen Elizabeth I, zoo itu dibuka untuk orang awam. Ketika itu, beberapa kemalangan telah berlaku dan membangkitkan kebimbangan dalam isu keselamatan. Dikatakan beberapa orang termasuk penjaga haiwan dan pelawat telah dibunuh oleh haiwan buas dalam kejadian berbeza.

anjing dan kucing

Pada tahun 1700-an pula, zoo itu telah memperkenalkan cara pembayaran yang tidak konvensional kepada para pengunjung. Orang ramai boleh memasuki Zoo London tanpa perlu membayar yuran sebanyak tiga setengah pence tetapi mereka perlu membawa kucing atau anjing sebagai tukaran untuk diberi makan kepada singa yang sentiasa lapar.

Haiwan seperti singa, harimau, beruang dan dubuk terus dipelihara di zoo itu sehingga pada akhir abad ke-18. Selepas abad ke-19, tiada lagi haiwan buas yang dipelihara di kawasan Tower of London itu.

Sebahagian daripada haiwan itu dipindahkan ke Zoo London yang baru dibuka di Regent's Park dan sebahagian lagi pula dihantar ke Dublin. Menagerie Tower akhirnya ditutup sepenuhnya pada tahun 1835 atas arahan Duke of Welllington.

Rujukan:

1. The Vintage News

2. CJ Notebook

3. BBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)