Oleh pada 03 Mar 2018 kategori

Kredit foto: najibrazak.com

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan skim sewa beli terhadap rumah transit di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar memberitahu, tujuan pembinaan rumah transit PPR terdahulu adalah untuk membenarkan orang ramai menyewa kediaman itu dengan bayaran bulanan yang rendah tanpa perlu memperoleh pinjaman daripada bank, lalu dipindahkan ke perumahan kekal.

Tambahnya, kemudahan itu diwujudkan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mempunyai kediaman sendiri.

“Kementerian akan mengkaji semula dasar bagi membolehkan penyewa memiliki rumah transit PPR menerusi skim sewa beli.

“Skim tersebut akan diperluaskan pelaksanaannya ke semua rumah transit PPR di seluruh negara,” ujarnya ketika sidang media setelah melawat PPR Harmoni di Paya Nahu, Sungai Petani, kelmarin.

Program itu juga menyaksikan kedatangan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Semasa lawatan itu, Noh memberitahu khabar baik kepada penyewa 592 unit rumah transit tersebut, iaitu mereka bakal ditawarkan bagi mempunyai kediaman terbabit menerusi skim sewa beli.

Pada masa ini, bayaran sewa bulanan yang dikenakan terhadap mereka adalah RM90.

Jelasnya lagi, kerajaan Kedah bakal melakukan operasi pemutihan untuk memastikan hanya penyewa asal yang berdaftar ditawarkan bagi mempunyai rumah transit di sini.

Beliau juga mendedahkan peruntukan tambahan RM6 juta untuk tujuan membaiki kerosakan dan mengindahkan kawasan rumah transit berkenaan.

"Kita juga berharap dengan inisiatif ini, penyewa akan lebih proaktif untuk memelihara kebersihan dan keindahan kawasan perumahan berkenaan kerana kebanyakan mereka tidak berbuat demikian kerana tidak mempunyai perasaan pemilikan ke atas perumahan ini," ujarnya.

Pada Mei tahun lepas, beliau mendedahkan peruntukan RM2 juta untuk tujuan kerja terbabit.

Sumber berita: BH Online & Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)