Oleh pada 09 Jun 2021 kategori

Bagi meningkatkan jualan mereka, rangkaian makanan segera McDonald's telah menjalankan satu peraduan tahunan sejak 1987 yang dinamakan sebagai McDonald's Monopoly.

Peraduan itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadi jutawan segera. Peraduan yang dimulakan di Amerika itu kemudian dikembangkan pula ke cawangan di luar negara.

Namun, seorang lelaki menggunakan nama samaran "Uncle Jerry" telah melakukan skim penipuan yang membolehkannya memenangi puluhan juta dolar selama lebih sedekad. Berikut adalah kisahnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Uncle Jerry dan McDonald's Monopoly

Uncle Jerry atau nama sebenarnya Jeremy P. Jacobson adalah seorang bekas polis yang bersara awal pada 1980 kerana mengalami gangguan saraf pada tangannya.

Jerry kemudian melakukan beberapa pekerjaan sehingga dia mendapat tawaran bekerja di Dittler Brothers, sebuah syarikat percetakan di mana isterinya bertugas sebagai juruaudit keselamatan.

uncle jerry

Jerry Jacobson

Setelah beberapa tahun bekerja, Jerry dinaikkan pangkat sebagai ketua penyelia. Dia ditugaskan untuk menyelia projek syarikatnya bersama Simon Marketing, syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan peraduan McDonald's Monopoly.

Menurut beberapa orang yang pernah bekerja dengannya, Jerry begitu tegas dalam mengendalikan projek itu. Sesiapa sahaja yang terlibat dalam pencetakan peraduan itu akan perlu melalui pemeriksaan ketat. Hanya Jerry sahaja yang tahu kombinasi peti besi di mana semua kepingan kemenangan peraduan itu disimpan.

Harapkan pegar, pegar makan padi

Sebelum memulakan skim penipuan bernilai jutaan dolar, Jerry hanya mencuri sekeping tiket kemenangan bernilai USD 25,000 yang diberikan kepada saudaranya di Miami, Florida, pada tahun 1989. Dia ingin tahu sama ada dia berjaya atau tidak.

Setelah berjaya dan tidak dicurigai, Jerry mula meminta bayaran kepada orang yang ingin memenangi hadiah pantas bernilai USD 10,000. Apabila McDonald's mengesyaki berlaku penyelewengan, mereka menguruskan peraduan itu dengan lebih ketat.

tiket mcdonalds monopoly

Rombakan dilakukan dan Jerry tidak lagi ditugaskan sehinggalah pada tahun 1995 apabila dia diberi peluang sekali lagi menjadi ketua keselamatan bagi pencetakan dan pembahagian tiket kemenangan peraduan itu.

"Bagai bulan jatuh ke riba". Itulah ungkapan yang sesuai apabila Jerry secara tidak sengaja menerima satu set -pelekat anti-tamper atau pelekat keselamatan untuk kepingan kemenangan peraduan McDonald's Monopoly. 

Menggunakan pelekat ini, dia boleh mencuri dan membuatkan seperti bungkusan kepingan kemenangan itu seolah-olah tidak pernah dibuka.

Kehidupan mewah dan hubungan dengan gangster

Jerry mula menjalani hidup mewah apabila mengawal kemenangan peraduan McDonald's Monopoly. Selain menaiki penerbangan kelas pertama ke mana sahaja dia pergi, Jerry juga memakai pakaian berjenama mewah dan membelanjakan wang yang banyak untuk makanan.

Walaupun dibayar dengan gaji yang agak lumayan, Jerry Jacobson mahukan lebih banyak.

gennaro colombo

Gennaro "Jerry" Colombo memenangi sebuah kereta Dodge Viper

Ketika ini, sindiket Jerry mempunyai rakan subahat dari pelbagai latar belakang. Salah seorangnya adalah Gennaro Colombo, pemilik kelab malam dan rangkaian perjudian haram yang dikaitkan dengan Mafia. Colombo telah memperkenalkan Jerry dengan ramai penjenayah dalam dunia gangster.

Rangkaian sindiket mereka memenangi hampir setiap hadiah peraduan McDonald's Monopoly selama 12 tahun merangkumi jutaan dolar wang tunai dan kereta mewah.

Taktik sindikit Uncle Jerry

Jerry akan meminta bayaran wang pendahuluan daripada ahli sindiketnya untuk tiket kemenangan yang diinginkan. Jika mereka ingin memenangi USD 1 juta, mereka perlu membayar wang tunai pendahuluan sebanyak USD 50,000 serta peratusan yang dipersetujui apabila sudah menebus hadiah.

Malah, sebahagian "pemenang" sanggup menggadaikan rumah mereka untuk tiket kemenangan ini. Terdapat sebuah keluarga besar di Jacksonville di mana saudara-mara mereka memperolehi jumlah kemenangan keseluruhan bernilai USD 3 juta.

peraduan mcdonald monopoly 514

Mereka menggunakan taktik dengan pergi ke negeri lain untuk menebus hadiah. Mereka kononnya sedang bercuti atau bertugas di negeri lain dan tanpa diduga memenangi peraduan ketika berhenti makan di McDonald's. Keadaan sedikit mencurigakan apabila ramai pemenang berasal dari Florida.

Namun, Jerry masih tidak disyaki dan bebas melakukan penipuannya. Semuanya berjalan lancar sehingga pada tahun 2000, seorang pemberi maklumat rahsia memberitahu FBI tentang skim penipuan melibatkan seorang pemenang hadiah bernilai USD 1 juta.

FBI memulakan siasatan

FBI memandang serius aduan itu dan memulakan operasi yang digelar "Final Answer". Mereka mula mengintip talian telefon Jerry dan mendapati sindikit ini lebih besar daripada sangkaan mereka.

michael hoover

Michael Hoover

Pihak FBI kemudian menyamar sebagai kru wartawan dan membuat wawancara dengan pemenang terkini McDonald's Monopoly iaitu Michael Hoover. Ketika diwawancara, Hoover kelihatan sedikit gelisah dan FBI tahu bahawa dia berbohong.

19 hari kemudian, FBI menangkap Hoover dan pemenang lain pada 22 Ogos 2001. Mereka juga menyerbu kediaman Jerry Jacobson dan menahannya atas penglibatannya dalam sindikit penipuan.

Hasil soal siasat FBI, mereka mendapati lebih daripada 50 orang terlibat dalam sindiket ini. FBI juga membuat senarai semua "pemenang" dan mendapati sebahagian besar mereka tinggal dalam lingkungan 50 km dari kediaman Jerry Jacobson.

Pemberi maklumat yang misteri

FBI telah menjejaki kesemua pemenang yang telah terlibat dengan sindiket penipuan itu. Kesemua "pemenang" telah dibicarakan sekali gus di Jacksonville, Florida. Semua pemenang dan ahli sindiket didapati bersalah dan dikenakan denda yang tinggi.

Ahli teratas sindiket itu pula dikenakan hukuman penjara selama satu tahun manakala dalang utama, Jerry Jacobson, dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun.

Perbicaraan Jerry bermula pada 10 September 2001, sehari sebelum serangan World Trade Centre 9/11. Kes skandal McDonald's Monopoly tidak mendapat liputan meluas kerana kebanyakan media membuat liputan mengenai peristiwa tragis 9/11.

mcdonald s monopoly 883

Selama bertahun-tahun lamanya, identiti pemberi maklumat yang menjurus kepada penangkapan "Uncle Jerry" kekal misteri. Pada siri akhir dokumentari mengenai sindiket "Uncle Jerry" berjudul McMillions yang diterbitkan HBO pada 2020, Ejen Khas Doug Mathews mendedahkan identiti pemberi maklumat itu.

Pemberi maklumat itu ialah "Ma" Colombo iaitu ibu kepada Gennaro Colombo. Dia mendedahkan perkara ini dengan niat untuk menjatuhkan reputasi anaknya agar mendapat hak penjagaan cucunya, Francesco.




Hakcipta iluminasi.com (2017)