Sekiranya anda seorang pengguna internet yang aktif, anda pasti tahu apa itu meme. Meme merupakan satu bentuk ekspresi dan reaksi terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan di internet. Malah, ianya kerap kali dapat dilihat digunakan oleh banyak pengguna di Reddit dan Facebook.

Setiap meme yang wujud kebiasaannya menggambarkan situasi dan senario tertentu. Ianya juga satu cara untuk berkomunikasi dalam tema santai dan lucu. Kebanyakan meme yang popular bukanlah diinspirasikan daripada manusia sebenar tetapi daripada pelbagai karakter yang wujud dalam filem dan kartun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, terdapat banyak meme pada zaman ini yang sebenarnya diinspirasikan daripada karakter manusia sebenar. Menariknya, kebanyakan individu ini tidak sedar bahawa imej mereka telah dijadikan meme sehinggalah beberapa tahun kemudian apabila meme tersebut menjadi popular.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi idea dan sejarah kemunculan beberapa meme popular yang diinspirasikan oleh manusia di dunia sebenar.

1. Success Kid

success kid meme

Tidak dapat dinafikan bahawa meme "Success Kid" merupakan antara meme paling popular di dunia. Meme ini digunakan sebagai ekspresi gembira atas kejayaan yang dikecapi. Sebenarnya, individu yang menjadi meme ini adalah seorang kanak-kanak yang bernama Sammy.

Ibunya jelas tidak gembira apabila mengetahui gambar anaknya digunakan sebagai meme dan begitu popular di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kemudian beliau telah memanfaatkan populariti meme anaknya itu untuk mengumpul dana sebanyak $100,000 untuk menampung rawatan dialisis suaminya.

2. Bad Luck Brian

bad luck brian

Individu yang imejnya digunakan sebagai meme ini bernama Kyle Craven. Ianya mula menjadi perbualan apabila rakannya berkongsi gambar ini yang diambil daripada buku tahunan sekolah ke laman web Reddit.

Dalam sebuah wawancara bersama akhbar Washington Post, beliau mengatakan bahawa imejnya itu sengaja dibuat-buat sebagai bahan lawak memandangkan ianya akan dimuatkan dalam majalah tahunan sekolah. Beliau sama sekali tidak menyangka bahawa imejnya itu dijadikan meme dan begitu popular beberapa tahun kemudian.

3. Scumbag Steve

scumbag steve

Scumbag Steve mungkin antara meme popular yang dibenci ramai. Karakter meme ini sebenarnya adalah seorang remaja yang bernama Blake Boston. Gambar yang digunakan sebagai meme ini merupakan gambar daripada tahun 2006 yang diambil daripada akaun Myspace ibunya.

Kini, badan beliau lebih berisi daripada gambar yang digunakan sebagai meme itu. Menurutnya lagi, beliau sengaja membiarkan gambarnya viral sebagai meme dan tidak berusaha menghentikannya kerana beranggapan ianya "cool". Dalam dunia sebenar, beliau juga bukanlah seorang penyanyi rapper yang bagus.

4. Ridiculously Photogenic Guy

photogenic guy

Kebiasaannya, apabila terdapat sebuah acara marathon, terdapat jurugambar yang ditugaskan untuk mengambil gambar pelari. Gambar yang menjadi meme "Ridiculously Photogenic Guy" merupakan sebuah gambar sebenar yang diambil oleh seorang jurugambar amatur bernama Will King.

Gambar tersebut diambil dalam sebuah acara larian marathon dan individu dalam gambar tersebut bernama Zeddie Little. Meme ini menjadi popular setelah juru gambarnya telah memuat naik gambar ini di akaun Flickr dan meletakkan keterangan "Ridiculously Photogenic Guy" pada gambar ini.

5. The Rent Is Too Damn High 

rent is damn too high

Meme ini begitu popular tetapi mungkin ramai yang tidak tahu meme ini juga dikenali sebagai "The Rent Is Too Damn High Guy". Menariknya, individu yang menjadi meme ini sebenarnya merupakan seorang ahli politik yang bernama Jimmy McMillan.

Kata-kata "the rent is too damn high" ini dipopularkan dan digunakan ketika beliau berkempen untuk menjadi Datuk Bandar New York pada tahun 2010. Beliau berjaya menjadikan kempen "Rent Is Too Damn High" popular pada ketika itu walaupun tewas. Beliau kembali bertanding pada tahun 2014. Walaupun tewas, beliau masih menjadi seorang ahli politik yang aktif di kawasannya.

Bonus: "Gadis Jeng Jeng Jeng"

gadis jeng jeng jeng

Baru-baru ini telah tular sebuah video tarian unik bagi mempromosikan teater Kembang Layarku. Akibat gaya tarian tersebut yang sangat pelik, netizen telah memberikan pelbagai pandangan, kritikan dan juga komen-komen yang lucu di media sosial.

Akibatnya, wanita dalam video tersebut, Nurul Syuhada Mohamad A'zi telah diberi gelaran "Gadis Jeng Jeng Jeng". Ketika ditanya mengenai gelaran ini, beliau menyatakan sama sekali tidak ambil hati sambil menyifatkan ramai netizen tidak memahami tarian tersebut kerana tidak menonton sendiri keseluruhan pementasan teater itu.

video penuh teaser teater kembang layarku di RTM

Teaser untuk persembahan teater memang biasa disalah tafsir oleh penonton yang bukan dikalangan peminat seni kebudayaan dan pementasan teater. Video yang tular itu telah membuatkan pementasan teater mereka meletup-letup sehingga habis tiket terjual.

Meme gadis jeng jeng jeng kerapkali digunakan apabila netizen menghasilkan posting yang pelik, aneh, bersifat sarkastik dan halus yang sukar difahami kebanyakan orang. Ada juga menggunakan gambar animasi (GIF) gadis jeng jeng jeng sebagai tanda mereka faham dan setuju dengan posting bersifat halus itu.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Know Your Meme
  3. Washington Post
  4. USA Today
  5. Daily Mail



Hakcipta iluminasi.com (2017)