Internet dan meme memang tidak dapat dipisahkan. Perkataan "meme" ini mula digunakan oleh Richard Dawkins pada tahun 1976 sebagai salah satu cara menyampaikan ekspresi terhadap sesuatu isu di internet. Budaya penggunaan meme semakin popular pada tahun 1980-an apabila ramai pengguna internet makin berjinak-jinak dengan forum seperti Usenet.

Pada masa kini, meme baru boleh dikatakan muncul setiap bulan dan begitu pantas viral. Walaupun meme moden begitu cepat tercipta dan hilang, terdapat meme-meme lama yang masih diingati dan digunakan sehingga kini. Berikut merupakan antara 5 meme terawal yang wujud dalam dunia internet.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Godwin’s Law – 1990  

godwin s law

Godwin's Law adalah salah satu meme terawal dan popular yang masih relevan pada masa kini. Nama meme ini diberikan sempena nama individu bernama Mike Godwin yang telah memperkenalkan istilah meme ini pada tahun 1990 dalam forum Usenet. Meme ini berbunyi “As an online discussion grows longer, the probability of a comparison involving Hitler approaches 1."

Jika diterjemahkan, ianya bermaksud semakin lama sesuatu perbincangan dilakukan, semakin tinggi kebarangkalian ianya akan dikaitkan dengan Hitler. Dalam erti kata mudah, makin lama sesuatu perbincangan di forum, makin banyak perkara mengarut yang diperkatakan. Meme ini juga biasanya digunakan untuk mengakhiri sesuatu perbincangan di internet.

2. Dancing Baby atau Baby Cha Cha - 1996

dancing baby 231

Meme "Dancing Baby" atau "Baby Cha Cha" merupakan antara meme terawal yang viral terutamanya melalui rantaian emel pada tahun 1996. Meme ini berasal daripada animasi 3D yang dimuatkan dalam lagu “Hooked on a Feeling" oleh kumpulan rock Blue Swede.

Meme ini merupakan imej dengan format .gif, bermaknya ianya adalah sebuah animasi yang bergerak. Ianya telah dihasilkan oleh John Woodell, seorang pembangun laman web. Beliau pada asalnya hanya menghasilkan imej ini sebagai demonstrasi bagaimana sesuatu video boleh ditukar kepada sebuah imej bergerak dan tidak menyangka ianya menjadi sebuah meme.

3. All Your Base Are Belong to Us - 1998

all your base are belong to us 936

Ayat popular di internet “All Your Base Are Belong to Us” mula viral sekitar tahu 1998 akibat daripada meme ini. Ianya merupakan alih bahasa atau terjemahan daripada permainan video arked berasal daripada Jepun, Zero Wing yang dihasilkan pada tahun 1989. Namun, terjemahan ini tidaklah 100% tepat sebaliknya telah diubah.

Meme ini viral melalui forum Something Awful apabila seorang pengaturcara yang juga seorang DJ, Jefferey Ray Roberts memuat naik lagunya yang sudah dicampur dengan muzik lagu daripada permainan video Zero Wing dan ayat “All your base are belong to us”.

4. Hampster Dance - 1999

hampster dance 256

Hampster Dance (sengaja disalah eja) merupakan antara laman web terawal dibina yang mempunyai satu fungsi sahaja, iaitu memaparkan animasi tikus hamster secara berulang-ulang. Laman web ini telah dibangunkan oleh seorang pelajar bidang kesenian daripada Kanada, Deidre LeCarte pada tahun 1998.

Beliau telah mencipta laman web ini kerana beliau telah mencabar adik perempuannya siapakah antara mereka yang boleh mendapat trafik yang lebih banyak. Laman webnya diberi nama Hampton’s Hamster House sempena nama hamster peliharaannya, Hampton Hamster. Laman web tersebut hanya popular menjelang Mac 1999 dimana ianya memperoleh 17 juta pelawat.

5. It’s a Trap! - Awal 2000

its a trap

Walaupun terlalu banyak meme yang wujud kini, meme ini masih lagi popular dan digunakan secara meluas. Meme ini biasanya digunakan untuk memberi amaran terdapat potensi bahawa sesuatu keadaan atau persoalan itu merupakan satu perangkap. 

Meme ini memaparkan imej dan ayat daripada Admiral Ackbar, salah satu karakter dalam filem Star Wars Episode VI: The Return of the Jedi. Walaupun filem ini sudah diterbitkan pada tahun 1983 lagi, meme ini hanya viral sekitar awal tahun 20-an.

Kredit:

  1. Washington Post
  2. Newsweek
  3. Techopedia
  4. Techcrunch
  5. Vice



Hakcipta iluminasi.com (2017)