Oleh pada 10 Sep 2019 kategori

Mithridates VI adalah seorang pemerintah yang hidup semasa zaman Rom Purba. Pada waktu itu, pengkhianatan dan pembunuhan sering berlaku secara berterusan ke atas golongan yang mempunyai kuasa. Kebanyakan pemerintah akan melakukan pelbagai kaedah untuk melindungi diri mereka dari ancaman.

mithridates vi mencuba pelbagai jenis racun

Sesetengah pemerintah akan menggunakan pengawal peribadi untuk melindungi diri mereka, ada juga yang akan mengupah tukang rasa untuk menguji makanan yang dihidangkan sekiranya mengandungi racun.

Bagi Mithridates VI pula, dia mengambil langkah yang lebih ekstrem. Selain bergantung kepada pengawal dan tukang rasa, Mithridates VI sebaliknya mengambil pelbagai jenis racun sedikit demi sedikit setiap hari supaya dia menjadi imun. Namun, perbuatannya itu akhirnya memakan dirinya sendiri.

Penguasa Kerajaan Pontus

Mithridates VI dilahirkan pada 135 SM di bandar Sinope. Dia merupakan putera kepada penguasa Kerajaan Pontus iaitu Mithridates V. Pada zaman sekarang, jajahan Kerajaan Pontus merangkumi beberapa negara seperti Turki, Rusia, Romania dan Greece.

mithridates vi

Mithridates VI

Pada tahun 120 SM, bapa Mithridates VI telah dibunuh dengan cara diracun makanannya ketika menghadiri satu jamuan. Mithridates VI dan adiknya, Chrestus, tidak terus mengambil alih takhta yang ditinggalkan, sebaliknya ibu mereka, Laodice VI, menjadi pemangku raja.

Laodice VI lebih cenderung untuk memilih Chrestus sebagai pengganti dan ini membimbangkan Mithridates VI kerana nyawanya mungkin dalam bahaya. Jika adiknya terpilih, kemungkinan besar akan berlaku perang saudara kelak kerana perebutan takhta. Jalan terbaik untuk mengelakkan perkara itu berlaku, Laodice VI merancang untuk membunuh anak sulungnya sendiri.

Mithridates VI lari bersembunyi bagi memastikan dirinya selamat daripada genggaman ibunya sehingga dia bersedia untuk mengambil semula takhta miliknya. Pada masa yang sama, dia memastikan bahawa dirinya tidak akan menerima nasib yang sama menimpa bapanya.

racun 961

Dia mula mengambil racun secara berterusan tetapi berhati-hati untuk mengambil dos yang tidak membawa maut. Dia percaya bahawa pendedahan berterusan ini akan membina sistem imunisasi supaya tidak mati diracun musuh.

Pada waktu ini jugalah muncul legenda tentang campuran khas herba yang boleh menjadi penawar kepada semua jenis racun. Penawar ini dikenali sebagai Mithridate, sempena nama penciptanya.

Menjadi pemerintah Pontus

wang zaman mithridates vi

Di antara 116 hingga 113 SM, Mithridates VI kembali ke kediamannya di Sinope dan merampas takhta setelah menangkap dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas ibunya sendiri. Bagi memastikan takhtanya selamat, Mithridates VI juga membunuh adiknya, Chrestus.

Sebagai raja baru Kerajaan Pontus, Mithridates VI menetapkan untuk melakukan perubahan besar kepada kemakmuran rakyatnya. Sebelum ini, bapanya mempunyai hubungan baik dengan pihak Rom tetapi Mithridates VI akhirnya merosakkan perhubungan itu dari masa ke semasa.

Pada awal misi ketenteraannya, Mithridates VI tidak mempunyai masalah dengan Republik Rom. Dia bergerak melintasi Laut Hitam dan mula melawan orang Scythia ketika proses menakluk kerajaan Bosporus (barat laut Turki moden).

patung mitrhidates vi 143

Patung Mithridates VI

Dengan setiap kemenangan, jajahan Pontus bertambah besar dan berkuasa. Akhirnya ketika perebutan yang berlaku di rantau Cappadocia telah membawa kepada konflik antara Kerajaan Pontus dan Rom. Mithridates VI berusaha menjadikan Cappadocia sebagai wilayahnya sendiri dengan gerakan politik melalui perkahwinan.

Selain Mithridates VI, Raja Nicomedes III dari Bithynia juga menginginkan Cappadocia. Kedua-dua pemerintah ini meminta Rom agar membenarkan tuntutan masing-masing. Walau bagaimanapun, Rom akhirnya memerintahkan agar kedua-dua pemerintah itu melepaskan cengkaman mereka ke atas Cappadocia.

Perang Mithridatic

perang mithridatic pertama

Pada mulanya, Mithridates VI mematuhi tuntutan Rom tetapi dia mula menyerang Cappadocia semula pada tahun 89 SM. Ini mendorong tindak balas ketenteraan Rom dalam kempen yang dikenali sebagai Perang Mithridatic Pertama.

Mithridates VI tidak dapat mempertahankan wilayah-wilayah di bawah jajahannya. Selepas lima tahun berperang, dia akhirnya berundur ke Pontus. Dia telah menandatangi sebuah perjanjian damai dan dibenarkan untuk membina semula kekuatan tenteranya.

Dua lagi perperangan Mithridatic berlaku selepas itu tetapi yang ketiga adalah paling lama dan dahsyat. Tidak lama selepas itu, Mithridates kehilangan kekuatannya dan terpaksa melarikan diri ke utara melintasi Laut Hitam.

perang mithridatic 837

Dia cuba membina semula kekuatan tenteranya tetapi kaedah rekrutnya terlalu zalim dan telah membawa kepada pemberontakan tempatan ingin menamatkan pemerintahannya.

Setelah dikepung oleh kumpulan pemberontak, Mithridates VI memutuskan bahawa dia tidak mahu dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Dia mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan meminum racun.

Malangnya, tubuh Mithridates VI telah kebal terhadap kesan racun dan dia tidak mati setelah meminumnya. Terdapat dua kisah bagaimana Mithridates VI menemui ajalnya. 

mithridates vi 2

Pertama, dia meminta agar teman rapatnya untuk menamatkan riwayatnya dengan menggunakan pedang manakala kisah kedua pula dia akhirnya mati di tangan pemberontak.

Walaupun kaedah meminum racun sedikit demi sedikit mampu membuat dirinya kebal, ironiknya dia sendiri ingin membunuh diri dengan meminum racun tetapi gagal.

Rujukan:

1. Raja yang ingin kebal dengan meminum racun

2. Teknik menjadi kebal yang akhirnya memakan diri sendiri

3. Raja yang meracun dirinya sendiri



Hakcipta iluminasi.com (2017)