Oleh pada 05 Jul 2019 kategori

Teknologi penerbangan telah berkembang dengan pesat sejak permulaan abad ke-20. Pesawat pada zaman sekarang pula sering diselia dengan baik dan sangat selamat untuk digunakan.

Perjalanan melalui penerbangan dianggap lebih selamat daripada sebarang jenis perjalanan di atas tanah. Ini kerana bilangan kenderaan darat yang terlalu banyak, meningkatkan risiko yang lebih tinggi untuk berlaku sebarang kecelakaan yang boleh membawa kepada kemalangan maut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, ia tidak bermaksud kemalangan pesawat tidak berlaku sama sekali. Apabila berlakunya kemalangan melibatkan pesawat, ia biasanya mengorbankan banyak nyawa. 

japan airlines flight 123 797

Antara kemalangan yang tidak dapat dilupakan melibatkan Japan Airlines Pesawat 123 yang terhempas pada tahun 1985. Kemalangan itu dikenali sebagai kemalangan pesawat tunggal yang paling dahsyat dalam sejarah. 505 orang penumpang dan 15 anak kapal telah terkorban dalam tragedi malang itu.

Pada 12 Ogos 1985, pesawat jenis Boeing 747SR milik Japan Airlines itu berlepas dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo ke destinasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Osaka. Kira-kira selepas 12 minit penerbangan yang lancar, Pesawat 123 itu tiba-tiba mengalami letupan yang teruk sehingga memusnahkan penstabil pesawat dan memecahkan sebahagian ekor pesawat.

laluan pesawat 123 sebelum terhempas

Laluan Pesawat 123 sebelum terhempas

Tekanan udara dalam kabin pesawat itu menjadi tinggi sehingga menyebabkan penumpang terpaksa memakai topeng oksigen kecemasan. Tambahan pula, penyahmampatan telah menyebabkan juruterbang hilang sepenuhnya kawalan hidraulik pesawat.

Ini menyebabkan pesawat itu berputar dengan laju dan kemudian terhempas pula secara kuat di dua rabung Gunung Takamagahara, Wilayah Gunma, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Tokyo.

pesawat 123 japan airlines 354

Bangkai Pesawat 123

Siasatan rasmi telah menunjukkan bahawa Kapten Masami Takahama, juruterbang Pesawat 123 berjaya mengawal pesawat itu selama 32 minit selepas mengalami masalah. Ramai pakar penerbangan telah melakonkan semula kemalangan itu melalui simulator penerbangan tetapi tiada seorang pun daripada mereka yang berjaya mengawal pesawat itu di udara melebihi tempoh 12 minit selepas berlakunya kerosakan hidraulik.

Walaupun keadaan yang berlaku terhadap Pesawat 123 agak esktrem, ia membuktikan bahawa para juruterbang masih lagi mempunyai harapan dan mereka telah mencuba dengan sedaya upaya untuk menyelamatkan para penumpang yang dibawa. Ajaibnya, empat orang penumpang wanita telah terselamat daripada bencana buruk itu.

keadaan pesawat 123 sebelum terhempas

Keadaan dalam Pesawat 123 kira-kira 30 minit sebelum terhempas

Mangsa yang terselamat ialah Yumi Ochiai, pramugari berusia 26 tahun, Keiko Kawakami, seorang remaja berusia 12 tahun pasangan ibu dan anak iaitu Hiroki Yoshizaki dan Mikiko Yoshizaki. Mereka semua duduk di barisan kiri di bahagian belakang pesawat. Bahagian itu merupakan satu-satunya bahagian pesawat yang masih utuh ketika terhempas.

Walau bagaimanapun, Keiko Kawakami yang berusia 12 tahun itu ditemui di bawah serpihan yang bertaburan di kawasan pesawat itu terhempas. Dia tercampak dari tempat duduknya ketika pesawat terhempat dan mendarat di timbunan semak berdekatan.

keiko kawakami 186

Keiko Kawakami ketika diselamatkan

Keiko mengalami kecederaan yang agak teruk dan terpaksa dirawat di hospital selama tiga bulan. Dia pulih sepenuhnya dan meneruskan kehidupannya walaupun segalanya telah berubah akibat kedua-dua ibu bapanya dan adik perempuannya terbunuh dalam kemalangan itu.

Satu siasatan telah mendedahkan bahawa punca utama berlakunya tragedi itu adalah akibat salah satu daripada pengimbang pesawat itu telah diperbaiki secara tidak sempurna tujuh tahun sebelum kejadian.

tapak pesawat 123 terhempas

Walaupun demikian, syarikat Japan Airlines tidak pernah mengaku bertanggungjawab ke atas kemalangan Pesawat 123 itu tetapi membayar pampasan sebanyak RM 313.9 juta kepada keluarga mangsa. Namun, presiden syarikat penerbangan Japan Airlines ketika itu, Yasumoto Takagi, telah meletakkan jawatan.

Selama berbulan-bulan selepas tragedi itu, penggunaan pesawat domestik menunjukkan penurunan sebanyak 25%. Ramai juga pengguna yang bertukar kepada All Nippon Airways sebagai salah satu pilihan yang lebih selamat.

Manakala pengurus penyelenggaraan, Hiroo Tominaga, dan seorang jurutera, Susumu Tajima, yang telah memberi kebenaran pesawat itu untuk beroperasi telah membunuh diri akibat rasa bersalah yang melampau. Tominaga telah ditemui mati akibat pendarahan akibat tikaman pisau yang dilakukannya sendiri manakala Tajima pula telah meminum racun rumpai.

tapak memorial mangsa pesawat 123

Tapak memorial mangsa Pesawat 123

Untuk mengelakkan memori buruk mengenai tragedi itu, Japan Airlines tidak lagi menggunakan nama "Pesawat 123" untuk penerbangan dari Tokyo ke Osaka sebaliknya menukar kepada "Pesawat 127". Mereka juga menghentikan penggunaan pesawat Boeing 747 kepada Boeing 767 dan 777.




Hakcipta iluminasi.com (2017)