Dalam zaman ada kemudahan membeli-belah dalam talian, mudah untuk kita terlupa asas industri ini sebenarnya bermula melalui kaedah memesan barangan runcit melalui alat kawalan jauh televisyen.

Jane Snowball, seorang warga emas dari Gateshead, England, tanpa disedari menjadi perintis apa yang akan menjadi fenomena global bernilai berbilion ringgit.

Pada Mei 1984, lama sebelum kemunculan e-dagang dan pasaran digital, Jane Snowball duduk di kerusi rehat yang selesa di rumahnya di Gateshead; melakukan pembelian secara dalam talian pertama dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

'Perintis' belian online

bagaimana pembelian online pertama dibuat

Dilengkapi alat kawalan jauh televisyen serta senarai belanjawan harian yang biasa hanya merangkumi barangan asas: marjerin, kelapa sawit dan telur, Snowball memulakan sesuatu yang akan mengubah cara kita membeli-belah selamanya. .

Di sebalik kemudahan yang disediakan untuk Nenek Snowball, ada teknologi yang dibangunkan dalam ujian percubaan dikenali sebagai Videotex. Dengan menggunakan alat kawalan jauh sebagai perantara utama, Snowball boleh menghantar pesanan melalui talian telefon ke pasar runcit Tesco berdekatan.

Teknologi mudah ini mampu mengubah televisyen di kediaman Snowball menjadi terminal komputer, pada waktu tersebut merupakan satu lonjakan teknologi yang luar biasa pada masanya.

Michael Aldrich, individu di sebalik sistem ini telah berjaya membangunkan sistem yang mampu menghubungkan televisyen dengan komputer milik peniaga, membina hubungan perintis antara pengguna dan destinasi membeli-belah pilihan mereka.

Ciptaan Aldrich pula bukanlah sebuah kebetulan. Perisian yang terhasil merupakan proses pembangunan panjang Aldrich, yang mahu mencipta visi baru masa depan membeli-belah.

Ciptaannya memudahkan warga emas seperti Snowball; menggabungkan kemudahan menggunakan televisyen yang sudah dimiliki majoriti pengguna dengan kekuatan teknologi komputer di belakangnya, membolehkan aktiviti perdagangan dijalankan dari keselesaan rumah seseorang secara maya.

Teknologi yang jauh mendahului zamannya

teknologi beli belah online pertama

Dikenali sebagai Eksperimen Beli-Belah Gateshead, sebuah inisiatif masyarakat oleh majlis kebajikan Gateshead; sistem Videotex direka dengan tujuan membantu memudahkan individu tua, terutamanya mereka yang mempunyai pergerakan terhad.

Teknologi Aldrich menjadi pilihan usaha ini. Tiga pasaraya besar menjadi perintis projek - Tesco, Greggs, dan Lloyds Pharmacy - bekerjasama untuk menjadikan eksperimen ini menjadi kenyataan. 

Jane Snowball terpilih menjadi perintis tanpa disengajakan. Dia patah tulang pinggul akibat terjatuh yang mengehadkan pergerakan.

Dilengkapi televisyen biasa yang dipasangkan cip yang diperlukan dan alat kawalan jauh yang mempunyai modifikasi butang tambahan, Snowball memulakan proses pertama dunia membeli-belah dalam talian.

Ekoran keterbatasan penggunaan internet ketika itu, skrin televisyen menunjukkan direktori peniaga dalam format halaman teletext. Siapa pernah pakai teletext, mesti tahu sulit prosesnya dan buruk sekali antaramukanya.

Prosesnya memerlukan Snowball memilih pasaraya dan kemudiannya memilih produk yang diingini. Pesanan akan dihantar melalui talian telefon, dengan barangan yang dibungkus kemas dihantar terus ke pintu rumahnya.

Pada era di mana penggunaan kad kredit tidak begitu meluas, Jane Snowball membayar secara tunai setelah menerima barangan pesanannya. Semua transaksi selesai dilakukan Snowball dalam hanya 15 minit, satu bukti keberkesanan ciptaan Aldrich.

Eksperimen yang menjadi perintis dunia

pembelian online pertama dunia

Ketika dunia masih belum menyedari potensi jaringan internet, eksperimen yang dijalankan ini menjadi batu loncatan dan petanda penting ke arah masa depan.

Gabungan inovasi teknologi yang meletakkan keselesaan pengguna sebagai faktor penting, jelas menjadi penanda aras yang terus digunapakai sehingga sekarang.

Eksperimen ini menjadi petunjuk awal ada kebolehpercayaan untuk tamadun manusia menjalankan proses urus niaga hanya dari rumah, tanpa perlu keluar seperti biasa.

Ciptaan Michael Aldrich menjadi pembuka jalan bagi lebih banyak pembangunan sistem membeli-belah dalam talian. 

Kini semua ada di hujung jari kita

jane snowball transaksi online pertama dunia

Impaknya besar kepada kerajaan Britain, yang melantik Aldrich sebagai penasihat teknologi maklumat kepada kerajaan Britain di bawah Margaret Thatcher.

Tesco muncul sebagai salah satu pengguna awal perkhidmatan membeli-belah dalam talian dan Jane Snowball diiktiraf peranannya dalam satu pengumuman oleh komuniti ahli majlis Gateshead pada tahun 2009.

Ramalan dibuat Michael Aldrich pada dekad 1980-an benar-benar menjadi kenyataan: membeli-belah dalam talian akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Eksperimen ini bukan menjadi bukti atau prototaip adanya potensi berlaku lonjakan teknologi, tetapi juga bukti visi yang segar dan potensi yang dibantu, mampu mengubah sesuatu yang biasa menjadi luar biasa.

Transaksi ini menjadi asas penting bahawa seorang nenek yang patah pinggul boleh dibantu alat kawalan jauh televisyen, mampu mencetus revolusi yang mengubah dunia; dari keselesaan empuknya sofa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)