Jika ditanyakan soalan apakah perbezaan antara Nabi dan Rasul, rata-rata daripada kita mengetahui perbezaan di antara mereka di mana Nabi diturunkan wahyu kepada dirinya dan tidak wajib untuk menyampaikannya kepada orang lain manakala Rasul diperintahkan menyampaikannya.
Akan tetapi, takrifan ini adalah tidak tepat atas beberapa faktor. iluminasi.com kongsikan perbezaan sebenar antara Nabi dan Rasul menurut hadith dan firman Allah SWT.
BESARKAN TEKS A- A+
Perbezaan antara Nabi dan Rasul telah diisyaratkan dalam firman Allah S.W.T:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ وَلَا نَبِيٍّ إِلَّا إِذَا تَمَنَّى أَلْقَى الشَّيْطَانُ فِي أُمْنِيَّتِهِ
Maksudnya: Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya,". (Surah al-Hajj (52))
Jika diperhatikan dalam ayat ini, perkataan Nabi dan Rasul disebut oleh Allah S.W.T secara berasingan. Jika Nabi dan Rasul adalah sama, sudah tentu penyebutan perkataan ini tidak akan diulang atau hanya menggunakan perkataan yang sama.
Isyarat bahawa akan wujudnya perbezaan antara Nabi dan Rasul juga terdapat dalam beberapa hadith, termasuklah hadith riwayat Abu Dzar al-Ghifari R.A:
قلت : يا رسول الله ، كم الأنبياء ؟ قال : مائة ألف وأربعة وعشرون ألفًاً ، قلت : يا رسول الله ، كم الرسل منهم ؟ قال : ثلاثمائة وثلاثة عشر جَمّ غَفِير
Maksudnya: Aku bertanya kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, berapakah bilangan anbiyaa’? Nabi SAW menjawab “124,000 orang”. Aku bertanya lagi: “Berapakah bilangan Rasul daripada kalangan anbiyaa’ tersebut?” Nabi SAW menjawab: “313 orang, dan jumlah itu adalah ramai”. - Sahih Ibn Hibban (361)
Menurut Pentahqiq bagi Sahih Ibn Hibban iaitu Syeikh Syu’aib al-Arna’ut beliau menyatakan bahawa hadith ini teramat lemah (dha’if jiddan). (Rujuk Tahqiq Sahih Ibn Hibban 2/79).
Imam al-Suyuti juga mendhaifkan hadith ini (rujuk al-Durr al-Manthur 5/132). Imam Ibn Kathir pula menyatakan bahawa Ibrahim bin Hisyam (salah seorang perawi hadith ini) telah menerima kritikan daripada pelbagai ulama seperti Imam Ibn al-Jauzi.
Oleh itu, hadith ini dimasukkan ke dalam himpunan hadith palsu beliau, al-Maudhu’at (rujuk Tafsir Ibn Kathir 2/470)
Definisi dan perbezaan antara Nabi dan Rasul
Antara definisi yang paling masyur yang juga merupakan pandangan pertama adalah wahyu yang diturunkan kepada Nabi adalah dalam bentuk syara' dan tidak diperintahkan untuk menyampaikannya kepada orang lain.
Sebaliknya, Rasul pula diperintahkan menyampaikan wahyu yang diturunkan.
Definisi ini adalah pandangan terpilih di sisi Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi dan Imam al-Sya’rani. (Rujuk Syarh al-‘Aqidah al-Tohawiyyah, hal. 158 dan Al-Yawaqit wa al-Jawahir 2/22)
Akan tetapi, takrifan ini telah ditolak oleh Syeikh Sulaiman al-Asyqar kerana beberapa alasan antaranya termasuklah Nabi diutuskan oleh Allah SWT sebagaimana Rasul diutuskan dan utusan ini wajib menyampaikan wahyu.
Wahyu Allah SWT yang tidak disampaikan kepada orang lain dianggap sebagai tindakan menyembunyikan wahyu, padahal ia diturunkan Allah SWT bukanlah untuk disimpan di dalam hati manusia dan kemudiannya lenyap selepas meninggal dunia. (Rujuk al-Rusul wa al-Risalat, hlm. 14-15)
Menurut riwayat Abdul Rahman ibn Abd al-Rabb, Rasulullah S.A.W bersabda:
إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ نَبِيٌّ قَبْلِي إِلاَّ كَانَ حَقًّا عَلَيْهِ أَنْ يَدُلَّ أُمَّتَهُ عَلَى خَيْرِ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ وَيُنْذِرَهُمْ شَرَّ مَا يَعْلَمُهُ لَهُمْ
Maksudnya: Tiada seorang pun Nabi sebelumku, kecuali menjadi tanggungjawab ke atasnya untuk menunjukkan jalan yang benar kepada umatnya, dan memperingatkan mereka akan jalan keburukan. (Sahih Muslim (1844))
Bagi pandangan kedua, kitab-kitab atau hukum-hakam diturunkan kepada Rasul yang tiada dalam syariat yang datang sebelumnya.
Sebaliknya, Nabi diutuskan bagi menyeru kepada syariat yang diturunkan sebelumnya dan tanpa kitab atau hukum yang baru dari sebelumnya.
Dengan itu, dikatakan bahawa setiap bukan semua Nabi itu adalah Rasul, tetapi setiap Rasul itu adalah Nabi. Juga terdapat pandangan bahawa Nabi dan Rasul adalah sama tetapi yang paling sahih adalah pandangan pertama.
Ia merupakan pandangan Imam al-Zamakhsyari, Imam al-Baidhawi, Imam al-Nasafi, Syeikh Abd al-Razzaq ‘Afifi dan Syeikh Sulaiman al-Asyqa. (Rujuk Tafsir al-Kasyyaf 3/37, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil 4/57, Tafsir al-Nasafi 3/106, Muzakkirah al-Tauhid 1/43 dan al-Rusul wa al-Risalat, hlm. 14-15)
Pandangan ini disandarkan melalui dalil dalam firman Allah SWT:
إِنَّا أَنزَلْنَا التَّوْرَاةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا النَّبِيُّونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi menetapkan hukum," - Surah al-Ma’idah (44)
Walaubagaimanapun, ada yang mengkritik pandangan ini. Dalam satu hadith, disebutkan bahawa Rasul yang pertama adalah Nabi Nuh.
Dengan ini, ia membawa maksud bahawa Nabi pertama yang diutuskan 10 kurun sebelumnya iaitu Nabi Adam adalah seorang Nabi dan bukannya seorang Rasul.
Dan jika definisi terdahulu digunapakai iaitu bahawa Nabi diutuskan untuk menguatkan syariat, maka syariat Nabi manaka yang dibawa oleh Nabi Adam sedangkan baginda adalah Nabi yang pertama?
Lihat pula dalam firman Allah SWT:
قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّـهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا
Maksudnya: Sesungguhnya aku (Nabi Isa) ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan aku seorang Nabi. (Surah Maryam (30))
Ayat ini membuktikan bahawa bukan Rasul sahaja yang diturunkan kita tetapi Nabi juga memilikinya.
Dan bagi pandangan ketiga, perutusan Rasul oleh Allah SWT adalah untuk kaum yang kafir dan ingkar, berbeza dengan Nabi yang diutuskan kepada kaum beriman bagi mengajar mereka hal-hal yang sudah diajarkan sebelumnya.
Bagi seorang Rasul, tidak diwajibkan untuk membawa syariat yang baru seperti yang kita boleh lihat dalam hal Nabi Yusuf. Nabi Yusuf merupakan seorang Rasul tetapi baginda berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim.
Manakala Nabi Daud dan Nabi Sulaiman pula merupakan Rasul tetapi membawa ajaran Taurat.
Oleh sebab ini, dalam hadith ada menyebut bahawa "ulama merupakan waris para Nabi", kerana para ulama tidak membawa ajaran baharu melainkan meneruskan ajaran Islam yang sudah diwarisi daripada Rasulullah SAW.
Ini merupakan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah. (Rujuk al-Nubuwwat 2/714-718)
Sebagai dalil sokongan, firman Allah SWT ditafsir oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ
Maksudnya: Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan," (Surah al-Baqarah (213))
Ibn ‘Abbas R.Anhuma menjelaskan melalui firman ini bahawa zaman antara Nabi Nuh dan Nabi Adam itu adalah selama 10 kurun dan ketika itu semua manusia berpegang kepada syariat Allah SWT.
Akan tetapi, berlaku perselisihan faham yang membuatkan manusia ingkar dan kufur. Ini membuatkan Allah SWT mengutuskan para Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan.
Ibn Kathir, menyatakan bahawa ketika inilah Nabi Nuh diutuskan kepada umat manusia sebagai seorang Rasul. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir 1/425)
Selain itu, ia diperkuatkan oleh hadith tentang daripada Rasulullah SAW tentang syafaat pada hari akhirat:
فَيَأْتُونَ نُوحًا فَيَقُولُونَ يَا نُوحُ إِنَّكَ أَنْتَ أَوَّلُ الرُّسُلِ إِلَى أَهْلِ الأَرْضِ
Maksudnya: Manusia berbondong-bondong datang kepada Nabi Nuh (untuk meminta syafaat) lalu berkata: Wahai Nabi Nuh! Sesungguhnya kamu ialah rasul pertama kepada penduduk di bumi," (Sahih al-Bukhari (4712))
Hadith ini memperkuatkan bahawa Nabi Adam bukanlah seorang Rasul tetapi seorang Nabi kerana kaum keluarganya semuanya beriman kepada Allah SWT.
Allah SWT juga telah menyatakan dengan begitu jelas tentang perutusan Rasul bersama dengan kaum mereka bersama misi untuk mengembalikan mereka ke jalan tauhid:
لَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ فَقَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. - Surah al-A’raf (59)
وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۚ
Maksudnya: Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. - Surah al-A’raf (65)
وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۗ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّـهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرُهُ ۖ
Maksudnya: Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. - Surah al-A’raf (73)
Sama juga seperti Firaun yang diutuskan Nabi Musa kepadanya dan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada kaum Musyrikin Quraisy dengan mesej tauhid, yang mana menjadi petunjuk jelas bahawa mereka adalah para Rasul yang diperintahkan untuk mengembalikan manusia ke jalan yang benar selepas berlakunya syirik menyembah selain daripada Allah SWT.
Kesimpulannya, takrifan yang sangat popular bahawa Nabi tidak diutuskan untuk menyampaikan wahyu adalah tidak tepat malah ia telah mendapat kritikan ramai ulama.
Kita seharusnya berpegang kepada definisi Ibn Taimiyyah, bahawa Rasul itu diutuskan kepada kaum yang kafir dan ingkar, samada dengan membawa syariat yang baharu seperti Nabi Muhammad SAW, atau dengan meneruskan syariat sebelumnya, seperti Nabi Ismail yang diutuskan kepada bani Jurhum dengan membawa syariat bapanya Nabi Ibrahim.
Nabi pula diturunkan kepada kaum yang sudah beriman seperti Nabi Adam, Nabi Idris, Nabi Syith dan sebagainya.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
1. MuftiWP
2. Azhan