Kisah Lai Teck menjadi antara kes paling menarik dalam konteks sejarah perisikan di Asia Tenggara. Lai Teck dikatakan mempunyai pelbagai nama samaran dan terdapat sumber mengatakan beliau menggunakan lebih kurang 50 nama.
Antaranya, Lai Te, Lighter, Mr Light, Mr Wright, C. H. Chang, Chan Hung Chang, Chan Hoon, Chang Hung, Soh King, Lao Wu, Lee Soong, Wong Kim Geok, Huang Shao-dong, Jin Tang, D. Ling, dan lain-lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Kisah hidup Lai Teck penuh dengan misteri sejak kelahirannya. Salah satu sumber menerangkan nama diberi ialah Hoang A Nhac dan dilahirkan di provinsi Nghe Tinh, Vietnam. Dia berketurunan Cina atau Cina-Annam dan kemungkinan mencapai usia awal empat puluhan pada tahun 1945.
Sumber dari Vietnam menunjukkan nama sebenarnya ialah Pham Van Dac yang berasal dari Ba Ria, Selatan Vietnam. Beliau berminat terhadap Marxism-Leninism dan mendapat pendidikan menengah di Lycée Petrus Trương Vĩnh Ký.
Minat tersebut memberi peluang kepada Lai Teck menjalani perjalanan amat luar biasa sehingga digelar sebagai super spy.
Leon Comber, bekas pegawai tentera dan polis British, turut berpendapat bahawa Lai Teck adalah salah satu perisik terkenal di Asia dan ejen terpenting yang bertugas dengan Cawangan Khas Singapura.
Dengan mempunyai gelaran yang unggul iaitu super spy, setentunya terdapat aspek-aspek yang membuktikan kebolehan Lai Teck itu. Antaranya adalah:
1. Sebagai Double-Agent di Vietnam
Kerjaya Lai Teck sebagai spy bermula apabila beliau bertugas sebagai Double-Agent di Vietnam dan di situlah beliau memperoleh kemahiran serta pengalaman. Perjalanan Lai Teck bermula dengan menjadi pengikut komunis di Saigon (kini Ho Chi Minh) pada tahun 1920-an.
Dia kemudiannya melarikan diri ke Thailand selepas didapati menyebarkan ajaran komunis dalam kalangan komrad Angkatan Laut Perancis.
Seterusnya, Lai Teck dikatakan menjalankan aktiviti komunis di Shanghai dan Tientsin. Akibatnya, Lai Teck dipenjarakan di penjara China dan diampunkan selepas Insiden Manchuria pada September 1931.
Lai Teck kembali ke Shanghai dan ditangkap semula dalam konsesi Perancis dan dihantar pulang ke Vietnam. Selepas diberi pilihan sama ada dipenjarakan atau bekerjasama dengan perisikan Perancis iaitu Surete Generale Indochinoise, Lai Teck memilih untuk bertugas sebagai double-agent.
Tugasnya tidak berpanjangan selepas identitinya terbongkar semasa membuat penyamaran di Annam pada tahun 1934.
Maka Lai Teck diserahkan kepada Cawangan Khas Singapura kerana permintaan yang dilakukan beberapa tahun yang lalu semasa Rene Onaraet (ketua Cawangan Khas Singapura) melawat Saigon.
Terdapat juga sumber yang menjelaskan bahawa Lai Teck lebih awal menjadi double-agent untuk perisikan Surete disebabkan kegiatan komunis yang dijalankannya itu ketika berusia 22 tahun pada tahun 1925.
Dia menyusup ke dalam Parti Komunis Indochina (PKI), di mana dia juga seorang ahli dalam PKI. Selepas tugasnya diselesaikan, Lai Teck diberi peluang belajar di Perancis dan dari situ Lai Teck bertolak ke Moscow dan bertugas pula di bawah Third Communist International, Komintern.
Dia kemudiannyaa dihantar ke China tetapi terpaksa patah balik ke Moscow selepas berselisih faham dengan panglima perang, Zhang Zuolin. Lai Teck kembali ke Shanghai pada tahun 1932.
Surete kemudiannya ‘memberikan’ Lai Teck kepada Cawangan Khas British di Hong Kong. Pada Ogos 1935, setelah bertemu dengan Wu Si Li dan membuktikan statusnya sebagai ahli Komintern, beliau diberikan tiket kapal kelas pertama ke Singapura.
2. Sebagai Triple-Agent di Malaya
Gelaran super spy dimantapkan lagi dengan status sebagai triple-agent ketika pendudukan Jepun. Secara umumnya, Lai Teck bekerjasama dengan orang Jepun selepas Jepun menduduki Malaya dan pada masa yang sama merupakan ejen British dan setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) selama 8 tahun.
Lai Teck dengan mudahnya dapat bersekutu dengan mana-mana pihak demi menyelamatkan nyawa sendiri. Kebolehannya seperti boleh bertutur dalam banyak bahasa, kebijaksanaan dan sudah tentu sifat oportunis yang dimiliki kerap ditonjolkan sepanjang Lai Teck menjadi triple agent di Malaya.
Identitinya juga berjaya disembunyikan pada masa itu. Antara peranan yang dimainkan:
a) Ejen British yang dipilih sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM)
Meskipun latar belakang Lai Teck adalah sebagai :
- wakil Komintern yang pernah mengkaji komunisme di Rusia dan Perancis
- ahli Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) cawangan Shanghai
- berperaan dalam gerakan komunis di Vietnam yang tidak dapat dibuktikan oleh sesiapa pun di Singapura
Namun, Lai Teck dihormati ramai kerana apa yang dikatakannya diterimaa serta dikagumi kerana dianggap terlibat dalam kegiatan komunisme di peringkat antarabangsa.
Bukan sahaja itu, demi mengagungkan lagi Lai Teck, Cawangan Khas British telah membekalkan Lai Teck dengan dokumen komunis yang dirampas di Shanghai dan Hong Kong supaya Lai Teck lebih jelas dengan operasi Komintern.
Rekod-rekod cemerlang Lai Teck juga dikhabarkan direka oleh Cawangan Khas supaya Lai Teck dikagumi ramai.
Menurut sumber ketenteraan Jepun, Lai Teck diperkenalkan dalam Parti Komunis Malaya sebagai "penyelesai masalah dan Ketua Perhubungan Comintern di Hong Kong yang telah diperintahkan untuk melawat Malaya bagi menangani krisis Parti Komunis Malaya.
Pada awal 1930-an, PKM berada dalam keadaan defensif kerana Cawangan Khas sering memberi tekanan terhadap parti.
Selain itu, parti juga menghadapi krisis dalaman di mana kumpulan ekstremis mengambil pendekatan militan dan cuba melancarkan serangan agresif terhadap British. Kumpulan ini secara terbuka mencabar kepimpinan Jawatankuasa Pusat dengan membentuk kumpulan serpihan yang kuat dalam kalangan parti.
Malah, penangkapan berturut-turut dua pengerusi PKM, Leong Kun Hoa pada 12 Disember 1935 dan Tan Teck Seng pada 11 Mac 1936 menyebabkan PKM percaya kumpulan pembangkang telah mengkhianati Jawatankuasa Pusat dengan memberikan maklumat kepada Cawangan Khas.
Cawangan Khas melaporkan bahawa situasi PKM penuh ‘sangsi dan curiga’ selepas tiga anggota PKM terbunuh dan seorang lagi tercedera pada bulan April dan Mei.
Cawangan Khas juga sedar bahawa pentadbiran British akan terjejas jika golongan oportunis mengambil alih pucuk pimpinan PKM. Maka, seperti yang dikatakan oleh PKM, Lai Teck menggunakan peluang ini untuk menyusup masuk parti.
Lai Teck berperanan besar dalam gerakan pembersihan parti dengan memulihkan 'ideologi berperpaduan dalam parti' dan menghapuskan 'sisa-sisa yang memiliki pemikiran yang tidak bersehaluan'.
Dalam masa enam bulan sahaja, Lai Teck berjaya menyatukan parti.
Kebolehan Lai Teck terserlah dalam peristiwa ini dan makin dikasihi oleh ahli-ahli parti. Dia juga digelar sebagai ‘Lenin Malaya’ atau ‘Ah Lin’ kerana kefahaman mendalam tentang komunisme.
Lai Teck juga dapat menyatukan parti dengan mengambil kira sentimen anti-Jepun yang semakin membara akibat daripada serangan Jepun ke atas China pada tahun 1935 dengan melancarkan kempen pemulauan barang Jepun di bandar utama Malaya.
Cawangan Khas terus menaikkan nama Lai Teck dengan pegawai bertugasnya, Innes Tremlett meluluskan Lai Teck untuk memainkan peranan yang penting dalam Rusuhan Batu Arang tahun 1937 agar dapat menyakinkan ahli yang lain bahawa Lai Teck mampu memimpin parti PKM.
Rusuhan dicetuskan pada 24-26 Mac dengan kuli-kuli lombong yang disokong oleh PKM telah mengisytiharkan "negara Soviet" di kawasan lombong.
Lai Teck yang berkaliber di tambah lagi dengan penangkapan ‘tepat masa’ terhadap mereka yang boleh menghalang kenaikan pangkat Lai Teck akhirnya membantunya dipilih sebagai Setiausaha Agung PKM dalam Persidangan Lanjutan Pusat Keenam pada tahun 1939.
Dilantik sebagai pemegang jawatan tertinggi parti dengan hanya menjadi ahli selama empat tahun adalah sesuatu yang luar biasa. Cawangan Khas berwaspada tidak menimbulkan syak wasangka dalam kalangan PKM terhadap Lai Teck supaya rancangan mampu diteruskan dengan Lai Teck menyalurkan maklumat kepada Cawangan Khas.
Peranan Lai Teck sebagai perisik British dapat dikesan pada awal 1940-an apabila PKM menawarkan bantuan kepada British sekiranya perang tercetus pada bulan Ogos 1941.
Tawaran diterima pada 18 Disember 1941 dengan pertemuan antara pihak tentera yang diwakili oleh Mejar Spencer Chapman, Innes Tremlett, Robert Devonshire dan pihak PKM yang diwakili oleh Lai Teck dan Ng Yeh Lu di sebuah bilik di Geylang, Singapura.
PKM menghantar ahli-ahlinya ke Sekolah Latihan Khas 101 dan setuju membina pasukan gerila di utara Malaya. Komrad yang ditahan di penjara Tanah Melayu pula akan dibebaskan.
Pada 21 Disember 1941, matlamat PKM jelas diterangkan dan salah satu perkara utama ialah menyatukan masyarakat Tanah Melayu membantu British dalam menentang Jepun.
b) Menjadi Ejen Kempeitai ketika pendudukan Jepun
Sepanjang bertugas untuk Kempeitai Jepun, super spy Lai Teck secara sistematik melemahkan aktiviti serta ahli-ahli PKM. Keterangan Mejar R.J. Isaacs, pegawai bertugas di ibu pejabat SEAC telah menunjukkan bahawa pada 26 Mac 1942, Sergant Mitsuo Nakayama telah menangkap seorang yang bernama Wong Show Tong.
Dia dibawa ke ibu pejabat Kempeitai lalu mengaku dia adalah ahli eksekutif PKM. Hal ini menyebabkan Major Onishi memberikan arahan untuk memberi layanan yang baik kepada Wong. Wong Show Tong kemudian mengaku dia sebenarnya ialah Wong Kim Geok (sebenarnya adalah Lai Teck), setiausaha agung PKM.
Beliau mengakui bahawa kegiatan komunis di Malaya dan Singapura adalah di bawah arahannya. Mereka mencapai kata sepakat setelah Lai Teck memberikan nama-nama ahli eksekutif PKM yang lain dan mengumpulkan mereka di satu tempat agar dihapuskan oleh Kempeitai.
Sebagai balasan, Lai Teck dibebaskan dan menerima sejumlah wang.
Lai Teck menjadi aset yang sangat berharga kepada Kempeitai dan hanya empat pegawai Jepun mengetahui identitinya. Antaranya ialah Kolonel Oiishi, Ketua Kempeitai; Kolonel Sartoru Onishi, pegawai kanan Oiishi; dan dua pegawai tidak bertugas, Pegawai Waran Shimomura dan Sarjan Yamaguchi.
Cerita yang digunapakai untuk merahsiakan identitinya ialah dia ditangkap pada bulan Mac ketika menunggang basikal merahnya kerana disyaki sebagai tentera Kuo Min Tang (KMT) ketika sook ching (pembersihan sistematik unsur-unsur bermusuhan di kalangan orang Cina di Singapura oleh tentera Jepun) dijalankan oleh Kempeitai Jepun.
Dia dibebaskan selepas ditahan sepuluh hari kerana didapati tidak bersalah.
Penjelasannya mudah diterima oleh ahli PKM dan sangat berpuas hati dengan pembebasannya. Mereka beranggap PKM hanya mempunyai masa depan yang cerah dengan kepimpinan Lai Teck.
Panji-panji digantungkan di ibu pejabat PKM seperti ‘Lai Teck murid paling setia Stalin' dan 'menyokong pemimpin hebat kami Lai Teck' sebagai tanda sokongan.
Kepercayaan terlampau ini menyebabkan ahli-ahli PKM tidak sedar mereka dikhianati oleh setiausaha agung mereka. Lai Teck turut dikagumi oleh komrad parti kerana mampu berulang alik di seluruh Malaya secara bebas.
Juga, hubungan Lai Teck dengan PKM yang rapat membolehkan Lai Teck memperoleh butiran parti dengan mudah.
Setiap bulan Lai Teck akan menjelajak ke Perak, Selangor dan Negeri Sembilan secara terbuka untuk mendapatkan maklumat daripada ketua-ketua negeri PKM. Mereka akan bertemu di satu tempat rahsia.
Misalnya, Lai Teck akan bertemu dengan Chin Peng, pemimpin PKM perak di beberapa kilometer bahagian utara Bidor. Tambahan pula, dia turut mempunyai jaringan penyampai maklumat rahsia yang rumit dan sentiasa berhati-hati ketika melakukan tugasnya.
Semasa di Singapura, Lai Teck akan menerima mesej tentang kegiatan PKM melalui ahli-ahli wanita PKM. Mereka akan pergi ke Singapura melalui keretapi kerana wanita tidak diperiksa secara teliti oleh pihak Jepun.
Maklumat disampaikan terus kepadanya atau meletakkan surat di tempat rahsia yang telah ditetapkan. Dia hanya akan mengutip surat tersebut selepas mengenal pasti tiada orang mengekorinya.
Laporan-laporan rahsia tidak menyebutkan nama Lai Teck dan sebaliknya adalah Soh King atau Jin Tang. Nama, tempat, organisasi, bilangan kakitangan dan pangkat pemimpin ditulis parti.
Meskipun Program Lapan-Isi (Eight-point Programme) PKM merangkumi penubuhan sebuah kerajaan demokratik terdiri daripada Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih oleh pengundi di setiap Negeri tanpa mengira kaum dan tentara-tentera anti-Jepun, namun usul ini tidak pernah dipandang berat oleh Lai Teck.
Tambahan pula, dia begitu mudah dipengaruhi oleh British dengan mengarahkan ahli PKM di Kuala Kangsar untuk menembak mati 30 orang tentera Jepun yang telah menyerah kalah dan sedia berpaling kepada PKM pada tahun 1947.
Lai Teck sebagai ejen British seterusnya memainkan peranan dengan memberi tip kepada Cawangan Khas Selangor yang berjaya mengenal pasti tiga tempat pemyembunyian senjata PKM dalam hutan.
3. Lai Teck Melarikan Diri
Tekanan yang dihadapi sebagai perisik untuk Jepun dan British serta keraguan ramai ahli PKM mengenai kerjasama antara parti dengan British dan corak perjuangan PKM yang bersifat demokratik menyebabkan identiti Lai Teck pada akhirnya juga terbongkar.
Pendedahan Lai Teck bermula pada September 1945 apabila Ng Yeh Lu, wakil parti pada tahun 1941 menulis artikel mengecam Lai Teck dalam akhbar Cina Pulau Pinang pada September 1945.
Khabar angin diteruskan apabila Lai Teck mengusirkan Yeung Kuo, anggota Jawatankuasa Pusat Tetap di Selangor ke Pulau Pinang atas perbezaan pendapat. Hal ini memberi peluang kepada Chin Peng dan Yeung Kuo bekerjasama untuk memulakan siasatan mereka tentang kegiatan-kegiatan semasa dan masa lalu Lai Teck.
Pada bulan Mac 1947, Chin Peng dan Yeung Kuo mengumpulkan maklumat yang mencukupi untuk membongkar identiti Lai Teck.
Di tambah lagi dengan sebanyak 213 senjata dan lebih daripada 16,000 peluru dirampas oleh pihak British, Jawatankuasa Pusat mengadakan sesi khas di Kuala Lumpur pada 6 Mac 1947 namun Lai Teck tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat tersebut.
Pada mulanya, ia kelihatan seperti Ketua Setiausaha telah diculik oleh pihak British tetapi secara perlahan-perlahan, mereka mula mempercayai Lai Teck telah melarikan diri. Bukan sahaja itu, dia juga membawa sama wang tunai $130,000, 170 syiling emas dan 23 tael emas.
Dua bulan selepas pemergiannya, mesyuarat parti mengisytiharkan identiti sebenar Lai Teck didedahkan dan dipecat dari PKM sebagai perisik Jepun. Identiti Lai Teck terus didedahkan selepas mendapat butiran daripada mesyuarat Liga Pemuda Demokratik Dunia (WDYL) di Prague.
Penemuan yang dilakukan Chin Peng setelah menerima maklumat daripada anggota Parti Komunis Indochina yang melawat Tanah Melayu mengukuhkan lagi penuduhan Lai Teck sebagai perisik.
Mereka yang bekerja di Southern Hotel pernah melihat Lai Teck bermakan malam dengan ketua Kempeitai. Satu pasukan pembunuh telah ditubuhkan untuk membunuh Lai Teck sekiranya bertembung dengan bekas ketua mereka dan setiap orang dibekalkan dengan gambarnya.
Usaha ini gagal dan kedudukan Lai Teck hanya dikesan selepas Chin Peng ternampak kelibat Lai Teck di Bangkok tetapi gagal menangkapnya. Peluang kedua muncul apabila Chin Peng terlihat nama Chang Chan Hong dalam senarai penerbangan Hong Kong – Bangkok.
Nama tersebut adalah nama samaran yang digunakan untuk pasport palsu Lai Teck. Chin Peng dengan bantuan ahli Komunis Vietnam mengesan Lai Teck tinggal sebuah hotel.
Chin Peng seterusnya mengarahkan Parti Komunis Thailand menghantar kumpulan untuk mencari Lai Teck. Dia telah diserbu dan dicekik sampai mati dan badannya dibalut dengan linen lalu dibuang ke dalam sungai Chao Praya.
Juga terdapat sumber mengatakan bahawa Chin Peng menghantar dua orang pembunuh upahan bagi membunuh Lai Teck. Mereka melaporkan misi tersebut berjaya tetapi badan Lai Teck tidak pernah dijumpai.
Kesimpulan
Kesimpulannya, sepanjang tempoh lebih kurang 20 tahun dalam kerja-kerja tambahan, Lai Teck pernah bertugas sebagai perisik untuk Perancis, British dan Jepun. Sebagai super spy, Lai Teck telah menjalankan tugasnya dengan lengkap.
Seperti yang dikatakan oleh Spencer Chapman, “kita tak akan mampu berkembang tanpanya (Lai Teck)”.
Kepintaran Lai Teck, di tambah lagi dengan sifat oportunis dan kejam membolehkkan Lai Teck mempertimbangkan pilihan yang ada supaya mendapatkan faedah yang maksimum.
Oleh kerana tiada mana-mana pusat perisikan yang memprofilkan Lai Teck secara menyeluruh, motifnya susah untuk dikesan.
Menurut Anthony Short, penyusupan Lai Teck sebagai Setiausaha Agung PKM dan pengekalan hubungan dengannya adalah salah satu kejayaan yang paling ketara dalam perisikan British.
Lai Teck sebagai Setiausaha Agung PKM tetapi berurusan dengan pusat perisikan British dan Jepun telah berkali-kali mengkhiatnati parti sehingga diterangkan dalam PKM sebagai ‘Dalang terbesar dalam sejarah PKM".
Akhirnya, kematian Lai Teck membuka jalan kepada Chin Peng untuk menjadi Setiausaha Agung PKM dan memimpin PKM dan pasukan gerilanya, Tentera Pembebasan Kebangsaan Malaya, ketika zaman darurat (1948-1960) terhadap kolonial British dan kerajaan Malaya selepas tahun 1957.