video youtube paling banyak dislike

Anda boleh menekan butang "Like" dan "Dislike" di Youtube bagi menunjukkan reaksi anda terhadap sesuatu video yang ditonton. Walaupun butang "Like" secara umumnya menunjukkan anda gemar akan video yang ditonton, fungsi butang "Dislike" pula boleh menggambarkan sesuatu yang berlainan dan tidak semestinya video tersebut dibennci.

Kadang-kala, penonton bukanlah sengaja menekan butang "Dislike" kerana tidak menggemari video atau isi kandungan video itu sendiri, tetapi isu sekeliling yang berkaitan dengannya. Jumlah "Dislike" yang tinggi terhadap sesuatu video merupakan indikasi bagus bahawa orang ramai mempunyai pandangan yang sama terhadap sesuatu isu yang dipertontonkan dalam video tersebut.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongi 5 senarai video Youtube yang memiliki jumlah "Dislike" yang paling tinggi sepanjang zaman. Selain itu, akan disertakan juga penjelasan ringkas mengapa ramai penonton memilih untuk memberi respon "Dislike" pada sesuatu video itu.

5. Despacito - Luis Fonsi ft Daddy Yankee: 4 juta Dislike

Ketika artikel ini ditulis, lagu Despacito nyanyian Luis Fonsi bergandingan Daddy Yankee ini memegang takhta sebagai video paling banyak ditonton di Youtube dengan tontonan melebihi 6 bilion. Menariknya, ia adalah sebuah lagu menggunakan bahasa Sepanyol yang sudah pasti tidak difahami kebanyakan pendengar.

Mula dipasarkan pada tahun 2017, video ini menjadi satu fenomena seluruh dunia dan kerap dimainkan di corong-corong radio, kelab malam dan sebagainya. Walau bagaimanapun, video ini mendapat jumlah "Dislike" yang tinggi kerana penonton ingin memberi reaksi bahawa mereka sudah muak dengan lagu ini kerana terlalu kerap mendengar lagu ini dimainkan di pelbagai platform.

4. Can This Video Get 1 million Dislikes? - PewDiePie: 4 juta Dislike

Video ini mendapat "Dislike" yang tinggi atas sebab yang berbeza. Seorang selebriti Youtube, PewDiePie sengaja mencipta sebuah video untuk mendapatkan jumlah "Dislike" yang banyak dan bukannya "Like". Menurutnya, jumlah "Like" dan "Dislike" sebenarnya tidak mempengaruhi jumlah pendapatan yang dijananya daripada Youtube.

Maka, video ini dihasilkan untuk membuktikan teori tersebut. Tidak apa yang menarik mengenai video ini tetapi ia memaparkan PewDiePie membuat simulasi menelefon pihak Google dan pelbagai perkara rawak lain. Ia dianggap berjaya apabila seorang lagi Youtuber popular, Ricegum membuat video bermotifkan sama dan mendapat lebih 1 juta "Dislike"

3. It’s Everyday Bro, by Jake Paul feat. Team 10: 4 Juta Dislike

Sekali tonton, tidak ada sebab mengapa video ini layak mendapat "Dislike" yang sebegitu tinggi. Walau bagaimanapun, apabila anda berada dalam komuniti Youtube itu sendiri, anda akan faham mengapa video ini mendapat jumlah "Dislike" yang begitu banyak.

Sebelum video ini dimuatnaik, Jake Paul, seorang selebriti Youtube sememangnya sudah mempunyai reputasi yang buruk kerana beberapa video negatif yang dihasilkannya dan abangnya, Logan Paul. Video ini memaparkan Jake Paul rapping mengenai kejayaannya dan mengkritik Youtube dan bekas teman wanitanya.

2. Baby - Justin Bieber ft. Ludacris: 10 Juta Dislike

Justib Bieber merupakan bakat besar pertama yang ditemui melalui platform Youtube apabila seorang produser melihat satu videonya menyanyi. Justin Bieber mencetuskan fenomenanya sendiri dan mempunyai golonga pengikut fanatik yang digelar "Belieber".

Walaupun begitu, ramai pihak menganggap beliau sebenarnya tidaklah begitu bagus malah mendakwa beliau begitu popular kerana ramainya golongan wanita yang tergila-gilakan wajahnya, bukanlah bakat dan suaranya. Selain video lagu Baby ini, beberapa video lagunya yang lain turut mendapat tempias dan jumlah "Dislike" yang tinggi daripada komuniti Youtube.

1. YouTube Rewind 2018: Everyone Controls Rewind : 16 Juta Dislike

Agak ironik apabila video yang dihasilkan oleh pihak Youtube sendiri mendapat jumlah "Dislike" yang paling tinggi. Ketika artikel ini ditulis, video yang bertajuk "YouTube Rewind 2018: Everyone Controls Rewind" ini sudahpun menerima 16.2 juta "Dislike". 

Video ini memaparkan kompilasi perkara menarik dan mendapat perhatian luas sepanjang tahun 2018. Jadi, bagaimanakah video ini boleh mendapat reaksi negatif daripada orang ramai?

Video ini dikritik kerena tidak memaparkan realiti sebenarnya isu-isu penting yang berlaku sepanjang tahun 2018 contohnya seperti mengabaikan Youtuber terkenal seperti PewDiePie dan tidak memaparkan isu kematian celebriti seperti Stephen Hawking dan banyak lagi.

Pada awal tahun 2018, Youtube juga telah mendapat protes hebat daripada komuniti pencipta video di Youtube yang tidak berpuas hati dengan polisi baru mengenai pendapatan daripada pengiklanan di Youtube. Apabila video ini keluar, komuniti ini memberikan respon "Dislike" terhadap video ini sebagai tanda protes terhadap polisi baru Youtube itu.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Business Insider


Hakcipta iluminasi.com (2017)