'Kedai menjual' kami hanya dibuka pada malam hari.

Selalunya kami hanya mampu mendengar sahaja kumpulan askar datang, sebelum pintu yang mengurung kami dibuka. Kami hidup di bilik itu dalam keadaan daif, muntah memenuhi lantai yang dijadikan alas tidur kami - namun askar-askar yang hadir tidak sedikit pun merasa loya atau geli. Mereka akan datang, memeriksa kami untuk memilih dan bertanya pada penjaga kami sama ada kami masih perawan, bila ada yang mereka berkenan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Aku nekad sekiranya aku terpilih untuk dijadikan mangsa hamba seks militan, aku akan melawan. Pada satu hari datang seorang pegawai tentera bernama Salwan dengan seorang gadis lain orang Yazidi sama seperti aku. Sekiranya aku dipilih pegawai berbadan besar, dia akan menggantikan aku terkurung di situ. Aku?

Aku pula akan menggantikan dia, menjadi hamba pemuas nafsu pegawai tentera bernama Salwan yang menakutkan. Tak dapat aku bayangkan apa akan berlaku pada aku sekiranya aku menentang kemahuannya. Aku terdesak.

"Kau, yang berbaju merah jambu, bangun!" arah Salwan pada aku.

Diselamatkan?

pemenang anugerah nobel keamanan nadia murad

Berdiri memandang ke lantai kerana ketakutan, aku nampak ada sepasang kaki kurus memakai selipar berjalan di koridor berdekatan Salwan. Aku terus tunduk memaut kaki kurus itu merayu meminta dia mengambil aku pulang. Tak mahu aku ikut Salwan. Aku tak mahu dijual pada pegawai sasa itu.

Tidak aku ketahui mengapa lelaki kurus itu bersetuju. Mungkin kerana rayuan aku padanya. Mungkin dia simpati melihat aku. Lelaki itu memandang Salwan yang nampak terkejut dengan tindakan aku.

"Dia aku punya," kata lelaki itu pada Salwan.

Salwan mengangguk, tanda mengalah.

Lelaki itu membawa aku ke bawah, mendaftarkan nama aku dan dia dalam rekod transaksi.

"Siapa nama kau?" tanya dia dengan suara yang lembut, tetapi nadanya menakutkan.

"Nadia," jawab aku.

"Nadia...Haji Salman," kata lelaki itu pada pendaftar memberitahu namaku dan namanya untuk direkod. Selepas itu barulah aku mengetahui mengapa Haji Salman seorang yang sangat dihormati kumpulan militan ISIS.

Dia seorang hakim di Mosul. Aku dibawa pulang ke rumahnya. Sungguh aku tak menyangka penderitaan aku sebenarnya baru saja hendak bermula.

Satu kampung dibunuh

nadia murad

Aku lahir pada tahun 1993 di sebuah kampung bernama Kojo di daerah Sinjar, Iraq. Keluarga aku bukanlah orang senang. Kami adalah kumpulan minoriti berkepercayaan Yazidi menyara diri dengan bekerja sebagai petani.

Ketika aku berusia 19 tahun - pada 15 September 2014, tentera ISIS datang ke kampung aku yang majoritinya dihuni pengikut Yazidi, membunuh hampir 600 orang penduduk termasuklah ahli keluarga aku; ibu dan enam orang adik beradik lelaki aku. Majoriti antara kami dibunuh selepas tawaran untuk meninggalkan kepercayaan asal kami oleh tentera ISIS, kami tolak.

Kami adik beradik perempuan ditangkap, dibawa menaiki sebuah bas sebelum tiba di satu destinasi di Mosul, Iraq.

Kami mula terpisah selepas itu.

Menurut apa yang dikatakan orang, apa yang berlaku pada kami bukanlah sesuatu yang spontan. ISIS melakukan perancangan teliti dalam menyerbu kampung seperti kami untuk mendapatkan hamba dan untuk setiap askar yang menyertai operasi, sudah ditentukan siapa yang layak mendapat seorang 'sabaya' atau hamba seks.

Siapa sangka nasib sama telah menimpa aku dan adik beradik aku.

nadia murad menangis

Aku dikurung dan dipindah-pindahkan di beberapa lokasi sebelum 'diselamatkan' oleh Haji Salman. Nasib aku rupanya bertambah malang. Terpaksa membiarkan diri diratah Haji Salman , aku dikurung dan dijadikan bahan pemuas nafsu beliau walaupun dia sudah mempunyai anak dan isteri.

Kali pertama aku cuba melarikan diri adalah pada bulan Disember 2014. Aku berjaya ditangkap semula. Seksaan yang perlu aku lalui semakin teruk selepas itu. Aku diingatkan untuk keberapa kali, hukuman yang bakal aku terima sekiranya aku cuba melarikan diri.

Selepas ditangkap dan gagal melarikan diri, aku dikurung dalam satu bilik gelap. Sebagai hukuman, enam orang tentera dibenarkan melakukan apa saja yang mereka mahu, untuk mengingatkan aku kesalahan aku.

Aku dihempas ke katil lalu dikerjakan beberapa kali bergilir-gilir oleh mereka. Baunya ketika itu, tak mungkin dapat aku lupa.

Berjaya melarikan diri

nadia murad pemenang anugerah nobel

Aku tidak pasti pada hari apa aku terlihat pintu rumah yang mengurung aku, dibiarkan terbuka. Pengawal yang mengawal juga tidak kelihatan.

Senyap-senyap aku menyusup keluar, memanjat dinding dalam ketakutan. Aku menunggu waktu malam untuk berjalan bagi mengelakkan diri aku dikesan. Aku  mengetuk mana-mana pintu rumah yang membenarkan aku menyorok. Ada juga rumah yang aku tersalah ketuk, dipenuhi dengan penyokong gerakan ISIS yang menyebabkan aku terpaksa melarikan diri.

Begitulah kehidupan aku dalam satu tempoh, sebelum aku berjaya sampai ke khemah pelarian, berjaya keluar daripada Iraq dan dihantar ke Jerman. Aku mula memegang status sebagai seorang pelarian pada awal tahun 2015.

Memulakan hidup semula memang sukar akibat trauma dan memori tentang apa yang telah menimpa aku. Kebanyakan masa aku pada awalnya dihabiskan dengan menangis, terkenang kembali kehidupan dan kampung kami yang masih lagi dikuasai ISIS.

Aku cuba menghabiskan masa aku dengan memasak. Sesi terapi bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Kedatangan seorang wartawan menemuramah aku pada Februari 2015 semasa aku masih di kem pelarian, membuka ruang pada aku untuk menyuarakan pengalaman aku agar lebih ramai yang peka apa yang telah menimpa kami.

Pada Disember 2015, aku dipelawa untuk hadir ke Switzerland bagi berkongsi pengalaman aku di depan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Itu adalah kali pertama aku secara terbuka berdiri di hadapan ramai orang, menceritakan apa yang telah aku lalui.

Ingin aku ceritakan segala-galanya tentang keadaan di sana; keluarga yang masih terperangkap, wanita dan kanak-kanak yang dijadikan hamba serta insiden bunuh yang aku saksikan sendiri depan mata. Tentang Haji Salman serta pengawal-pengawalnya yang bergilir-gilir menjadikan aku pemuas nafsu mereka.

Aku memberanikan diri melawat kembali kampung lama aku, Kojo diiringi pasukan tentera pada Jun 2017.

Masih banyak yang perlu dilakukan masyarakat dunia dalam melindungi kelompok minoriti ini daripada ancaman gerakan ISIS.

Walaupun aku pernah melalui pengalaman ngeri, aku masih boleh berkata aku bernasib baik sudah terlepas daripada seksaan. Namun aku sedar, aku bertanggungjawab untuk tidak membiarkan saja ramai lagi yang sedang melalui apa yang sudah aku lalui. Aku menjadi hamba seks ISIS selama lebih satu tahun. Aku pasti ramai di luar sana yang mungkin sedang melalui pengalaman serupa, sudah berminggu, berbulan-bulan atau bertahun lamanya.


Nadia Murad adalah salah seorang daripada ribuan wanita berkepercayaan Yazidi yang hidup di Iraq sebelum dijadikan tawanan tentera ISIS. Selepas berjaya melepaskan diri, dia menggunakan pengalamannya menjelaskan tentang isu penyeludupan manusia secara terperinci di PBB.

Kini bergelar seorang aktivis, Nadia berharap agar seluruh masyarakat dunia bergabung untuk membantu melindungi masyarakat tidak bersalah di Iraq daripada dicabuli.

Pada Oktober 2018, Nadia dianugerahkan Nobel Keamanan Dunia atas usahanya. Dia menjadi warga Iraq pertama memenangi anugerah tersebut. Artikel ini adalah olahan semula artikel "I was an Isis sex slave. I tell my story because it is the best weapon I have" yang terbit pada 6 Oktober 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)