Oleh pada 28 Aug 2019 kategori

Warga New York sememangnya terkenal dengan piza dan tidak akan mengambil mudah apa-apa perkara berkaitannya. Para pemilik restoran piza masing-masing bangga dengan menu istimewa tersendiri serta mempunyai resipi rahsia turun-temurun. 

pergaduhan mafia kerana pizza

Kebanyakan rahsia resipi yang disimpan rapi kebiasaannya melibatkan keaslian sos piza kerana ia merupakan asas paling penting kepada sepotong piza yang lazat. Jadi, tidak hairanlah apabila berlaku pertelingkahan yang membawa maut antara dua buah keluarga yang bermusuh akibat resipi sos piza.

Perniagaan piza mafia

Kisah pergaduhan sos piza ini bermula pada tahun 2009 apabila keluarga mafia Colombo yang dikaitkan dengan restoran piza L&B Spumoni Gardens dari Brooklyn menuduh Eugene Lombardo mencuri dan meniru salah satu resipi sos mereka. 

Lombardo yang merupakan ahli keluarga mafia Bonanno pula mempunyai restoran pizanya sendiri di Staten Island iaitu The Square di mana sos itu dipercayai digunakan.

l b spumoni gardens

Menurut keterangan saksi di mahkamah, anak-anak lelaki Lombardo pernah bekerja di L&B. Salah seorang sekutu di restoran itu, Frank Guerra, pernah menyaksikan anak-anak Lombardo memantau dan memerhatikan simpanan tepung di bilik bawah tanah mereka.

Bekas ketua mafia Colombo iaitu Anthony Russo terus dimaklumkan perihal tersebut lalu dia, Guerra dan seorang lagi ahli kumpulan bernama Frank Iannaci terus bergegas ke The Square untuk bersemuka dan memberitahu Lombardo sendiri tentang kesalahan anak-anaknya.

Walau bagaimanapun, sejurus tiba di depan pintu masuk restoran itu, mereka terlihat papan tanda yang tertulis "piza gaya L&B" yang telah menyemarakkan lagi api kemarahan ketiga-tiga ahli mafia itu.

mafia

Mereka terus bertengkar di situ, memanggil lebih ramai ahli lain datang, mencaci sesama sendiri sehingga Lombardo ditampar dengan kuat oleh Iannaci.

Namun begitu, kedua-dua belah pihak akhirnya dilaporkan menemui jalan perdamaian melalui satu perbincangan di Restoran Panera Bread. Pada mulanya, pihak mafia Colombo meminta saham restoran The Square bernilai USD 75,000 tetapi akhirnya bersetuju dengan wang pampasan bernilai USD 4,000. Lombardo membayar wang pampasan itu dan tiada siapa yang tercedera.

Kematian Pemilik L&B Spumoni Gardens

louis barbati

Louis Barbati

Namun begitu, pada 30 Jun 2016, keadaan sekali lagi menjadi tegang apabila Louis Barbati, iaitu pemilik Restoran L&B Spumoni Gardens mati ditembak di luar rumahnya di Dyker Heights beberapa hari sebelum sambutan 4th of July.

Dia telah ditembak sebanyak dua kali di bahagian belakang pada jam 7 malam ketika baru saja tiba ke kediamannya dari tempat kerja. Barbati sedang memegang wang tunai bernilai hampir USD 15,000 dan sebuku roti yang dibawa pulang untuk makan malam.

lokasi louis ditembak mati

Saspek yang memakai kaca mata hitam dan baju hoodie gelap dilaporkan terus melarikan diri sejurus Louis rebah tidak bernyawa. Pada mulanya polis mengesyaki pembunuhan ini ada kaitan dengan pertelingkahan yang berlaku sebelum ini akibat perebutan resepi rahsia sos piza mereka.

Apa yang menghairankan adalah wang tunai dan barangan berharga seperti jam tangan Rolex yang dipakai Louis tidak diambil. Berita pula melaporkan Louis Barbati atau restorannya tiada sebarang kaitan dengan aktiviti Mafia.

ludovico barbati pengasas l b spumoni gardens

Ludovico Barbati, pengasas Restoran L&B Spumoni Gardens

Louis adalah cucu kepada Ludovico Barbati, pengasas yang menubuhkan Restoran L&B Spumoni Gardens pada tahun 1939. Restoran itu terkenal dengan pai gaya Sicily dan ais krim Itali yang dijualnya. New York Time juga menggambarkan Louis sebagai seorang yang dihormati di kejiranannya dan mudah untuk ketawa.

Berdasarkan imej yang diedarkan NYPD, beberapa saksi telah mengecam seorang lelaki bernama Fernandez sebagai suspek yang menembak Louis Barbati sehingga mati. Pada 3 November 2016, pihak polis telah berjaya memberkas suspek berusia 40 tahun itu.

fernandez suspek yang menembak louis barbati

Fernandez, suspek yang menembak Louis Barbati

Walaupun tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak Mafia, kematian Louis dikatakan berpunca daripada balas dendam keluarga Mafia Bonanno terhadap salah seorang ahli Mafia Columbo, Frank Guerra, yang telah ditangkap polis ketika mengedar dadah.

Frank Guerra sebelum ini pernah dikaitkan kerana membunuh dua orang ahli mafia Bonanno iaitu Joseph Scopo dan seorang pemilik kelab di Staten Island iaitu Michael Devine.

Guerra yang juga bekas suami pemilik bersama Restoran L&B Spumoni Gardens, Patricia Barbati Coffey, juga pernah memeras ugut salah seorang pekerja Restoran L&B Spumoni Gardens kerana mencuri 'resepi rahsia' sos piza ketika bekerja di situ.

Rujukan:

1. Kematian pemilik restoran mungkin disebabkan kes pertengkaran resepi rahsia sos piza

2. Dua keluarga Mafia bertengkar kerana resepi sos piza

3. Perperangan Mafia hampir meletus angkara sos piza



Hakcipta iluminasi.com (2017)