Jika anda tergolong dalam golongan yang mana tidak memahami bagaimana seseorang itu boleh membayar sejumlah wang yang tersangat besar untuk memiliki aset digital seperti dalam permainan video, maka penjualan "arca" oleh artis Itali iaitu Salvatore Garau akan membuatkan anda tercengang.

Arca tanpa sebarang bentuk fizikal dan tidak boleh dilihat dengan mata yang diberi nama "Io Sono" atau "I Am" itu dijual oleh Salvatore Garau dengan harga RM74,570.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ia dijual dalam satu lelongan yang dianjurkan oleh Art-Rite, salah satu rumah lelong Itali yang mengendalikan pameran khas untuk seni kontemporari.

I Am adalah satu karya seni yang tidak kelihatan dan pada dasarnya mewakili kekosongan, iaitu satu ruang kosong yang secara teknikalnya dihuni oleh tenaga arca itu sendiri.

Dalam kata mudah, arca ini tidak wujud dalam dunia nyata dan hanya wujud dalam imaginasi artis ini sahaja.

io sono atau i am arca halimunan oleh salvatore garau

Menurut Salvatore, arca ini memang tidak wujud secara fizikal tetapi wujud dalam ruang vakum serta dalam imaginasi artis ini sahaja.

"Vakum tidak lebih dari ruang yang penuh dengan tenaga. Dan walaupun kita mengosongkannya dan "tiada apa yang tinggal", menurut prinsip ketidakpastian Heisenberg, "tiada apa yang tinggal" itu sebenarnya mempunyai berat. Oleh itu, ia mempunyai tenaga yang terkondensasi dan berubah menjadi zarah, iaitu, ke dalam diri kita," kata Salvatore.

Harga arca ini pada mulanya adalah antara RM29,828 dan RM44,742, tetapi melonjak dengan mendadak selepas beberapa bidaan dibuat.

Akhirnya, ia dilaporkan dijual kepada seorang pembeli yang tidak mahu namanya didedahkan dengan harga RM74,570. Dan sudah tentunya sebahagian besar atau semua daripada kita beranggapan bahawa pembeli ini agak aneh dan tidak siuman, kan?

Jadi dengan wang yang mana mampu membeli kereta kegemaran rakyat Malaysia iaitu Perodua Myvi secara tunai ini, apa yang diperolehi oleh pembeli tersebut dan bagaimana karya ini berfungsi?

Dengan membayar wang sebanyak itu, pemilik arca halimunan itu menerima sijil jaminan yang menjamin keaslian arca ini dan sebagai tanda bahawa ia dimiliki individu tersebut.

sijil pembelian arca i am oleh salvatore garau

Menurut Salvatore, karya seni ini perlu dipamerkan dalam ruang istimewa dengan dimensi sekitar 150 cm x 150 cm dan bebas daripada sebarang halangan.

Ia juga mesti dipamerkan di rumah persendirian dan pencahayaan khas serta kawalan iklim tidak diwajibkan, kerana karya ini tidak dapat dilihat.

Salvatore mengganggap bahawa arca halimunannya ini sebagai metafora yang sangat sempurna pada masa ini.

Malah, ia bukan sahaja unik dan tidak boleh ditiru, tetapi juga tidak mampunyai sebarang kesan terhadap alam sekitar.

Walaupun I Am ini bukanlah karya seni halimunan pertama yang dihasilkan oleh Salvatore, tetapi ia merupakan yang pertama dijualnya.

karya buddha in contemplation oleh salvatore garau

((Karya "Buddha in Contemplation" oleh Salvatore Garau)

Pada April 2021, Salvatore mempamerkan satu lagi arca halimunan yang diberi nama "Buddha in Contemplation" di Piazza della Scala di Milan, berhampiran pintu masuk Gallerie d'Italia.

Salvatore menyiarkan video "karya" itu ke laman Instagramnya, dengan kapsyen "Kini ia wujud dan akan kekal dalam ruangan ini selama-lamanya. Anda tidak dapat melihatnya, tetapi ia wujud. Ia diperbuat daripada udara dan semangat," kata artis Itali itu.

Pameran baru ini memberikan takrifan baharu kepada seni.

Dan walaupun ramai yang tertanya-tanya apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan "seni", namun tiada siapa yang sampai ke tahap yang dilakukan oleh Salvatore yang menganggap seni tidak kelihatan ini sebagai bentuk seni yang berdaya maju.

Penjualan arca halimunan oleh Salvatore Garau ini sudah tentunya akan membuka pintu baru ke dalam apa yang dianggap sebagai seni.

Adakah ia akan ditiru oleh artis lain dengan kejayaan yang sama? Atau adakah rayuannya adalah kenyataan bahawa ia adalah yang pertama seumpamanya? Masa akan menentukan.

Secara teknikalnya, pembeli tersebut sebenarnya telah membeli sekeping kertas yang dicop dengan harga RM74,570.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)