Nutella mempunyai peminat setia yang bukan sahaja sangat menggemari produk itu tetapi juga menyokong kafe-kafe Nutella dan juga hotel bertemakan Nutella di Nappa Valley.

Namun, tiada siapa yang lebih mencintai Nutella berbanding Giovanni Ferrero, bilionaire Itali yang membina kekayaannya yang tidak terhingga daripada produk sapuan coklat ini.

Bapa Giovanni, Michele Ferrero mencipta Nutella pada tahun 1964, dan popularitinya yang dahsyat di Itali telah membantu mengembangkan kedai coklat milik keluarga ini menjadi perniagaan berbilion ringgit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun produk-produknya sangat popular di seluruh dunia, namun Giovanni dan syarikatnya telah mengekalkan sikap low profile.

Permulaan Giovanni Ferrero

giovanni ferrero ketua kumpulan ferrero

Giovanni Ferrero dilahirkan di Itali pada April 1964 dan menghadiri Sekolah Eropah iaitu sebuah sekolah berasrama penuh di Belgium. 

Giovanni yang merupakan anak bongsu dalam keluarga Michele Ferrero kemudiannya menyambungkan pelajaran dalam bidang pemasaran di Lebanon Valley College di Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Selepas menamatkan pelajaran, beliau menyertai abang dan bapanya dalam perniagaan keluarga. Kerja pertama Giovanni di syarikat tersebut adalah untuk jenama Tic Tac di Belgium.

ibu pejabat ferrero

Kumpulan Ferrero bermula apabila datuk Giovanni, Pietro Ferrero, membuka kedai coklat di Alba, Itali pada tahun 1946.

Produk utama kedai ini adalah Supercrema, sapuan hazelnut yang lahir dari kekurangan coklat ketika perang dan ia adalah pendahulu Nutella.

Selepas lebih daripada 70 tahun kemudian, Kumpulan Ferrero merupakan syarikat konfeksi kedua terbesar di dunia.

Syarikat itu menjual produk manisan bernilai RM48.8 bilion pada tahun fiskal yang berakhir pada Ogos 2018.

supercrema pendahulu nutella 687

Hasil daripada penambahan produk dan pengambilalihan syarikat, produk Ferrero Group kini termasuklah Tic Tac, coklat Kinder, Baby Ruth, Butterfinger, Crunch, Keebler, Famous Amos dan biskut Little Brownie Bakers, sebagai tambahan kepada Nutella dan Ferrero Rocher.

Giovanni dan abangnya Pietro Jr. menjadi Ketua Pegawai Eksekutif bersama pada tahun 1997. Pietro bertanggungjawab dalam menguruskan logistik harian dan perkembangan produk, sementara Giovanni memberi tumpuan kepada aspek kreatif.

Walau bagaimanapun, percaturan mereka berakhir dengan tiba-tiba apabila Pietro meninggal dunia akibat serangan jantung ketika kemalangan berbasikal pada tahun 2011 di Afrika Selatan.

Berikutan itu, Giovanni kemudiannya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif tunggal bagi Kumpulan Ferrero, sementara ayahnya Michele kekal sebagai pengerusi eksekutif.

giovanni ferrero manusia terkaya di itali

Dan pada tahun 2015, kematian Michele telah membuatkan seluruh syarikat Kumpulan Fererro jatuh ke tangan Giovanni.

Beliau kemudiannya mengambil alih peranan pengerusi eksekutif pada tahun 2015.

Giovanni memegang kedua-dua jawatan CEO dan pengerusi eksekutif selama dua tahun sehingga beliau membawa masuk Lapo Civiletti untuk mengambil alih sebagai CEO syarikat pada tahun 2017.

Tidak memiliki sikap seperti bilionaire biasa

giovanni ferrero dan nutella

Giovanni tidak mempunyai personaliti yang anda jangkakan bagi seorang ahli perniagaan bertaraf bilionaire.  

Menurut The Wall Street Journal, beliau mempunyai personaliti yang agak introvert daripada adik-beradik Ferrero.

Selepas menemuramah Giovanni pada Jun 2018, Noah Kirsch dari Forbes menggambarkan beliau sebagai "kurus, berpakaian kemas dengan ketawa yang menenangkan". 

Giovanni juga dikatakan mempunyai aura seperti hos rancangan permainan berbanding seorang pemilik kilang bilionaire.

Walau bagaimanapun, Noah menyedari bahawa Giovanni bercakap dalam aliran jargon korporat (seperti 'dimensional thresholds,' 'growth momentum,' 'focalization') disulami dengan data yang sukar difahami.

produk kumpulan ferrero

(Produk milik Kumpulan Ferrero)

Sejak menjadi peneraju tunggal syarikat, Giovanni melawan arus beberapa tradisi Kumpulan Ferrero yang telah berlangsung selama beberapa dekad.

Beliau adalah individu yang membuat pengambilalihan pertama dalam sejarah syarikat coklat ini dan mengupah CEO pertama yang bukan dalam kalangan ahli keluarga Ferrero.

Kumpulan Ferrero dibawah pimpinan Giovanni membeli syarikat pembuat coklat British iaitu Thorntons dengan harga hampir RM700 pada 2015, perniagaan gula-gula Nestlé US yang membuat Butterfinger dan Baby Ruth dengan harga RM11.5 bilion pada tahun 2018, dan perniagaan biskut Kellogg pada tahun 2019.

Pengambilalihan syarikat dan perniagaan-perniagaan ini yang dilakukan oleh Giovanni adalah sangat berbeza dengan rancangan perniagaan bapa beliau, yang memberikan tumpuan kepada pembinaan jenama sedia ada.

sejarah nutella

"Tradisi adalah seperti busur panah. Semakin kita menarik tali busur, semakin jauh kita boleh lontarkan panah kemodenan dan inovasi," kata Giovanni Ferrero.

Dan inovasi pintar yang dilancarkan oleh Giovanni ini sangat membuahkan hasil apabila beliau menambahkan nilai kekayannya hampir RM40 bilion pada tahun 2019.

Menurut anggaran Bloomberg, nilai kekayaan Giovanni ketika ini adalah sekitar RM131 bilion, 43.1% lebih daripada permulaan tahun 2019.

Ini menjadikan beliau sebagai manusia ke-27 terkaya di dunia, melebihi kekayaan yang dimiliki oleh Elon Musk dan Michael Dell, serta manusia terkaya di Itali.

Giovanni juga merupakan manusia terkaya di Itali.

Mempunyai minat selain daripada coklat

giovanni ferrero menulis novel

Seperti orang lain, Giovanni tidak menghabiskan seluruh waktunya dengan bekerja. Beliau juga mempunyai minat seperti menulis novel.

Setakat ini, beliau telah menulis 8 buah novel, beberapa daripadanya di Afrika. Buku terbaru Giovanni yang bertajuk "Il cacciatore di luce" ("Pemburu Cahaya"), berdasarkan seorang pelukis Afrika yang menghidap leukemia, telah diterbitkan pada tahun 2016. 

Giovanni dan syarikatnya mempunyai tahap privasi yang sangat tinggi sehinggakan pada tahun 2010, penulis The Guardian, John Hooper menyatakan Kumpulan Ferrero sebagai "salah satu syarikat yang paling berahsia di dunia". 

Pada tahun 2010, syarikat pembuat coklat ini membenarkan wartawan untuk membuat lawatan di kilang mereka di Alba, Itali untuk kali pertama dalam sejarah 65 tahun syarikat.

lawatan ke kilang nutella buat kali pertama pada tahun 2011

Dan Giovanni melakukan wawancara pertama beliau dengan sebuah saluran media Amerika pada tahun 2018.

Menurut Washington Post, Kumpulan Ferrero sebelum ini mengharamkan lawatan ke kilang-kilangnya kerana takut berlakunya "pengintipan perindustrian," kerana reka bentuk peralatannya dan resipi Nutella adalah satu rahsia yang sangat ketat.

Terlalu ketat sehinggakan seorang eksekutif Kumpulan Ferrero membandingkan langkah keselamatan syarikat mereka dengan yang dimiliki oleh NASA.

Bapa Giovanni juga bertindak dengan cara yang sama dengan menyembunyikan butiran hidupnya dari media dan memakai kacamata gelap setiap kali muncul di khalayak ramai.

Rujukan:

1. Business Insider

2. Daily Mail

2. Forbes

3. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)