Sebagai anak kepada Al Capone yang merupakan gangster terkenal Amerika, Albert Francis Capone mempunyai masa hadapan yang cerah untuk hidup mewah dan terkenal.

anak lelaki al capone sonny

Al Capone (kanan) bersama anaknya, Sonny, ketika menonton perlawanan baseball

Namun, realitinya tidaklah seperti yang disangkakan. Berikut adalah kisah hidup Albert Francis Capone atau lebih dikenali sebagai "Sonny", satu-satunya anak lelaki Al Capone.

Kehidupan awal Albert Francis Capone

Sonny dilahirkan pada 4 Disember 1918 di Brooklyn, New York. Bapanya bernama Alphonse Gabriel Capone atau lebih dikenali sebagai Al manakala ibunya pula bernama Mae Josephine Coughlin.

Namun, kesahihan status Sonny sebagai anak kandung Al Capone telah dipersoalkan.

Menurut khabar angin, Al Capone telah dijangkiti siflis daripada seorang pelacur ketika dia menjadi seorang samseng jalanan di Chicago. Penyakit siflisnya itu tidak dapat dirawat dan Capone dikatakan telah menjalani proses pemandulan.

Ada yang mengatakan bahawa isteri Al Capone, Mae, dijangkiti siflis daripada suaminya yang kemudian menjangkiti anaknya pula. Malah, ada juga laporan mengatakan bahawa Mae sebenarnya sudah menjalani proses pemandulan sejak awal jadi dia bukanlah ibu kandung Sonny.

mae capone dan sonny capone

Mae Capone bersama Sonny

Walau apa pun kebenaran tentang kesahihan asal usul Sonny, Al Capone tetap menyayanginya dengan sepenuh hati. Al Capone pernah berkata bahawa dia tidak mahu mati ditembak di jalanan kerana dia mempunyai anak dan sangat menyayangi budak itu.

Al Capone sanggup melakukan apa sahaja demi anak tunggalnya itu. Ketika Sonny Capone mendapat mastoiditis (jangkitan serius dalam proses mastoid iaitu tulang keras dan menonjol tepat di belakang dan bawah telinga), dia menjadi mudah terdedah kepada jangkitan dan bapanya segera bertindak.

Apabila doktor di Chicago memberitahu bahawa rawatan penyakit Sonny itu mungkin akan membuatkan anaknya pekak secara kekal, Al Capone menghubungi doktor di New York pula. Capone menawarkan USD 100,000 (bersamaan USD 1.5 juta atau RM 6.1 juta pada hari ini) jika doktor berjaya menyelamatkan pendengaran anaknya, Sonny.

Ketika anaknya mendapat rawatan di New York, Al Capone mengambil kesempatan untuk bertemu dengan mafia Frank Yale di bandar itu bagi membincangkan perniagaan minuman keras. 

Sonny menempa jalan hidupnya sendiri

ketua gangster al capone

Walaupun bapanya sering terlibat dengan pelbagai perniagaan yang diragui, Sonny Capone memilih untuk mengikuti jalan yang lurus. Dia dihantar untuk belajar di sekolah berprestij St. Patrick di Pantai Miami, Florida.

Di sekolah inilah dia berkawan baik dengan Desiderio Arnaz atau lebih dikenali sebagai Desi Arnaz, pengasas Desilu Productions yang menghasilkan banyak filem terkenal seperti The Untouchables, Mission: Impossible dan Star Trek.

Sonny kemudian melanjutkan pengajian di Notre Dame tetapi menamatkan pengajiannya di University of Miami. Pencapaian ini berbeza dengan Al Capone yang berhenti sekolah pada usia 14 tahun setelah membelasah gurunya.

Ketika mendaftar sekolah, Sonny telah menyatakan pekerjaan ayahnya sebagai "pesara". Sebenarnya, Al Capone telah dipenjarakan pada tahun 1932 atas kesalahan mengelak cukai. Ini mungkin cubaan pertama Sonny untuk tidak dikaitkan dengan bapanya walaupun hubungan mereka masih baik. Al Capone sering mengutus surat kepada anaknya ketika dipenjarakan di Alcatraz dan menggelar Sonny sebagai "heart of mine".

Menukar identiti

sonny capone ketika perkahwinannya

Sonny Capone ketika perkahwinannya

Sonny Capone menjalani kehidupan yang tenang dan sederhana walaupun mempunyai nama keluarga Capone. Sonny pernah menjadi jurujual kereta terpakai, bekerja di syarikat pencetakan, bekerja di restoran bahkan menjadi pengedar tayar.

Pada 21 Januari 1947, Al Capone telah mengalami strok yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pada 25 Januari 1947, ketua gangster Chicago Outfit itu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Mempunyai "Capone" sebagai nama keluarga juga boleh mendatangkan masalah. Apabila rakannya Desi Arnaz menghasilkan siri TV The Untouchables pada 1959, Sonny dan ibunya sangat marah dengan watak Al Capone yang dilakonkan dalam filem itu.

Siri TV itu menceritakan tentang seorang penguat kuasa bernama Elliot Ness dan usahanya menjatuhkan ketua gangster seperti Al Capone dan Frank Nitti. Arnaz tahu bahawa rakan baiknya di sekolah dahulu pasti marah dengan rancangan TV itu.

Sonny dan ibunya, Mae Capone, telah memfailkan saman fitnah terhadap Desilu Productions bernilai jutaan dolar. Mae mendakwa pihak produksi memberi gambaran salah tentang mendiang suaminya sehingga cucu-cucunya menjadi mangsa buli di sekolah. Namun, tuntutan mereka ditolak mahkamah.

al capone dan sonny

Sonny bersama bapanya ketika kecil

Pada 7 Ogos 1965, Sonny ditangkap kerana mencuri dua botol aspirin dan beberapa biji bateri. Dia telah diarahkan mahkamah untuk berkelakuan baik dan dalam tempoh pemerhatian selama dua tahun. 

Selepas kejadian itu, dia menukar namanya kepada Albert Francis Brown. Menurut peguamnya, Sonny Capone sudah "muak dan penat" membawa nama Capone.

Kematian Albert Francis Capone

Pada 8 Julai 2004, Albert Francis Capone meninggal dunia di bandar kecil Auburn Lake Trails di California. Isterinya memberitahu bahawa Sonny tidak mahu lagi dikaitkan dengan Al Capone dan cukup menderita membawa nama keluarga itu.

Setelah menukar namanya, Albert Francis Brown menjalani kehidupan yang tenang dan patuh kepada undang-undang. Dia dikurniakan dengan anak, cucu dan cicit yang ramai. Kisah Sonny ini membuktikan kuah tidak semestinya tumpah ke nasi.

Rujukan:

1. Kisah anak Al Capone

2. Pewaris tunggal ketua Mafia Amerika

3. Kehidupan Al Capone dan anaknya



Hakcipta iluminasi.com (2017)