Sering kali kita dengar dan baca kisah pembantu rumah bermasalah. Ada yang lari dari rumah, ada yang mencuri, ada juga yang mendera anak majikan. Jika dibandingkan dengan pembantu rumah dari era 80-an dan 90-an, rata-rata pembantu rumah kini kerap benar menimbulkan kesulitan pada majikan.
Jika anda pernah atau sedang mengalami masalah seperti ini, boleh baca panduan berikut yang telah dikongsi oleh saudara Shamsul Qamar yang merupakan seorang peguam dari The Chambers of Shamsul Qamar. Pihak Iluminasi telahpun mendapatkan keizinan beliau untuk menerbitkan semula artikel tersebut di sini.
BESARKAN TEKS A- A+
Setiap urusan yang melalui agensi berdaftar sewajibnya mempunyai kontrak yang jelas. Fahami hak-hak anda jika agensi/pembantu rumah tidak memenuhi kehendak kontrak tersebut.
1. Kenalpasti agensi tersebut samada berdaftar atau tidak. Anda boleh rujuk ke persatuan agensi pembantu rumah bertauliah seperti MAMA atau PIKAP untuk menyemak status agensi tersebut. Lazimnya mereka akan memastikan agensi ini mematuhi kriteria yang ditetapkan Kementerian Sumber Manusia.
2. Pastikan anda tahu pemilik agensi tersebut dan dapatkan personal contact untuk rujukan jika terdapat isu di kemudian hari berkaitan dengan kontrak. Tak kurang juga agensi yang "fly by the night" dan cuba memanipulasi sistem yang sedia ada.
3. Jika terdapat perlanggaran kontrak, anda boleh ambil tindakan di bawah undang-undang kontrak. Setidak-tidaknya anda boleh menuntut gantirugi dan memohon untuk agensi tersebut disenaraihitamkan oleh imigresen Malaysia.
4. Sekiranya terdapat isu jenayah seperti kecurian atau mencederakan ahli keluarga anda, terus laporkan kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya. Tindakan mengambil video live untuk diviralkan hanyalah sekadar untuk kepuasan diri. Hati-hati jika anda pula dianggap menfitnah atau menceroboh privasi jika tuduhan tersebut tidak benar. Jangan sesekali mengambil undang-undang di tangan sendiri!
5. Jika pembantu rumah lari, sepatutnya agensi harus bertanggungjawab sepenuhnya memandangkan kontrak adalah antara anda dan agensi dan kebiasaannya adalah 2 tahun. Pastikan kontrak tersebut jelas tentang perkara ini. Lapor kepada polis dan terus buat laporan kepada imigresen untuk menyenaraihitamkan pembantu tersebut.
6. Ada juga agensi yang menawarkan kontrak pembantu rumah tempatan. Pastikan agensi adalah entiti yang sah dan mempunyai lesen berkaitan, jika ada. Ia sama juga seperti kontrak perkhidmatan yang lain di mana seharusnya agensi bertanggungjawab sepenuhnya sepanjang tempoh kontrak. Jika ada elemen penipuan, terus lapor kepada polis beserta dengan nama pemilik untuk siasatan selanjutnya.
Jangan sesekali berurusan dengan agensi untuk mengambil pembantu rumah yang "illegal". Dari segi undang-undang kontrak itu adalah TIDAK SAH sama sekali dan anda tidak dilindungi oleh undang-undang jika berlaku masalah. Tidak ada guna apa saja kontrak yang anda tandatangani jika ia adalah kontrak tak sah!
Nah, sekarang anda tahu apa tindakan wajar yang perlu diambil. Elakkan buat video viral. Kelak memakan diri sendiri.
Sumber: CSQLaw