Kredit foto: Instagram Neelofa

Mei lalu, Neelofa yang sering dihambat kecaman netizen sekali lagi dihentam kerana mengenakan fesyen pelik berupa jaket dengan seluar jingga yang dipadankan dengan turban bersama ‘pouch bag’ besar di pinggang.

Memperlahankan aktiviti seni kerana ingin memberi tumpuan kepada keluarga dan ibadah di bulan Ramadhan, aktres dan pengacara itu bertanya sama ada kehilangannya daripada radar gosip dan kontroversi dirindui peminat.

“Kenapa? Rindukan sayakah? Tak adalah.. saya cuma berniat mahu melakukan perkara-perkara yang baik sepanjang bulan Ramadhan ini," beritahunya kepada Utusan Online.

Katanya, kehadiran bulan suci ini mahu diluangkan bersama insan tersayang sekalipun ada tuntutan dalam jadual tugasannya.

kenapa rindu sayakah neelofa 2

Kredit foto: Instagram Neelofa

“Sebenarnya memang setiap tahun apabila tiba sahaja bulan puasa, saya sedaya upaya akan cuba mengosongkan jadual kerja. Itu termasuklah tidak menerima sebarang jemputan untuk berbuka puasa di luar kecuali ia sangat penting dan saya tidak dapat mengelak," katanya.

Pelakon yang gemar membahasakan dirinya Lofa itu bertegas mahu memperuntukkan masa yang ada untuk menemani keluarga sepanjang bulan ini.

“Tujuan utama saya adalah mahu bersama-sama keluarga sepanjang Ramadhan ini,” katanya.

Beliau meluahkan rasa nikmat memiliki hampir 80 peratus masa bersama keluarga termasuk peluang untuk berbuka puasa dengan mereka yang dianggap sebagai insan tersayang dalam hidupnya itu.

“Bayangkan, hari-hari lain, saya terlalu sibuk dengan jadual kerja yang padat sehinggakan nak curi peluang untuk makan tengahari atau malam bersama mereka juga sangat susah.

“Selain bertumpu pada ibadah, ini sahajalah masa saya untuk bersama dengan keluarga,” katanya.

Pada masa sama, rakan gandingan Nabil Ahmad dalam program Meletop ini tidak menafikan rasa tenang yang menyelubungi jiwanya sepanjang melayari bulan penuh rahmat ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)