Kita semua tahu majoriti kertas yang kita gunakan setiap hari, mempunyai sifat menyerap air. Apabila ada saja air terkena pada permukaan kertas, kertas itu biasanya akan mula mengembang, sebelum terkoyak dan kemudiannya hancur.

Walaupun demikian ada sejenis kertas tahan air yang ramai gunakan atau kenakan setiap hari, iaitu label kertas yang biasanya dipasang atau dijahit pada seluar jeans, tertera nama pembuat, potongan, saiz pinggang dan panjang seluar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dah pakai bertahun-tahun dibasuh berulang kalipun, label yang dipasang pada seluar berkualiti tinggi biasanya susah nak rosak. Apa bahan yang membuatkan label itu tahan dan kenapa pengeluar seluar jeans gemar menggunakan label tersebut?

Pengenalan kain denim ke Amerika Syarikat

sejarah kain denim dari perancis

Kain denim telah dicipta lebih awal pada abad ke 17 di Perancis, menggunakan gabungan sutera dan kain kapas disebuah daerah bernama Nimes.

Kain yang dinamakan sebagai 'serge de Nimes' atau 'kain lasak Nimes' itu mula digunakan khusus untuk kegunaan pekerja ladang. Namanya pula lama-kelamaan lekat digelarkan sebagai 'de Nimes' yang akhirnya menjadi 'denim.'

Levi Strauss merupakan seorang usahawan borong yang bertanggungjawab membawa masuk barangan-barangan seperti tekstil, cadar, pakaian dan sebagainya ke New York.

Hasil perniagaannya, dia menjadi pembekal pakaian dan khemah untuk kegunaan pengusaha ladang, namun pakaian yang terhasil kurang selesa kerana bahannya keras mengakibatkan pekerja sukar bergerak dan mudah bergeser dengan tubuh.

Salah seorang pelanggan memaklumkan kepada Strauss berkenaan bahan tekstil yang dikenali sebagai 'serge de Nimes' yang lasak dan lembut.

Menyedari bahan itu cukup sesuai untuk mengatasi masalah ketidakselesaan yang dihadapi, Strauss mula memfokuskan penghasilan seluar dengan bahan tekstil 'de Nimes', menamakannya semula sebagai 'denim.'

Bagi memperkuatkan lagi struktur seluar rekaannya, Strauss memilih untuk bekerjasama dengan Jacob Davis, pencipta butang rivet yang mampu melindungi kekuatan seluar terutamanya di bahagian poket.

Penggunaan label kulit sejak tahun 1886

label kulit asli levis vintaj

Pada ketika itu nama 'jeans' sudah wujud, ekoran kewujudan sejenis tekstil lasak yang banyak digunakan sebelum kemunculan dalam penghasilan pakaian pekerja.

Diambil daripada tempat asal kelahiran tekstil itu iaitu Genoa, akhirnya semua jenis seluar yang terhasil menggunakan fabrik denim tetap dikenali sebagai 'jeans', kerana pada era tersebut di Eropah - apa saja bentuk seluar tahan lasak untuk kegunaan pekerja dirujuk sebagai 'jeane.'

Selepas seluar jeans dengan fabrik denim mula dipasarkan pada tahun 1873, Levi Strauss dan syarikatnya memperkenalkan idea yang menjadi identiti kuat mereka sehingga ke hari ini pada tahun 1886.

Dikenali dengan nama 'Two Horse Brand' ekoran logo jenama yang memaparkan dua ekor kuda cuba menarik sepasang seluar keluaran Levi Strauss, grafik ikonik itu akhirnya diterjemahkan ke dalam bentuk label kulit yang dijahit pada setiap produk keluaran mereka.

Menjadi jaminan kualiti, label kulit itu akhirnya memulakan trend yang diikuti jenama-jenama lain.

Penciptaan material Jacron mengubah trend industri

label kertas jeans tahan lama

Penghasilan label berasaskan kulit memerlukan kos dan proses yang rumit dan teliti.

Pada tahun 1955 menyedari ada alternatif berbeza, Levi's Strauss Co. Ltd. memilih untuk mengubah identiti yang telah mereka sendiri perkenalkan - mula menggunakan label yang diperbuat daripada sejenis kertas gentian dikenali sebagai 'jacron' untuk menggantikan kulit asli.

Bahan jacron merupakan sebatian kertas semi sintetik yang dihasilkan melalui campuran fiber daripada tumbuhan semulajadi, air dan juga getah asli yang memberikannya sifat mudah lentur serta tahan lasak. 

Jacron kukuh, tahan lasak dan tidak mudah calar kerana selain bahan-bahan di atas, bahan akrilik (arcrylic) yang berasaskan petroliam turut digabung didalamnya yang memberikannya sifat seakan-akan kulit sebenar.

Yang penting, rupanya juga seakan-akan kulit asli. Seakan! Tak adalah sama 100%.

Penggunaan jacron juga memudahkan apa saja informasi dicetak di atasnya, yang mudah dibaca kerana mempunyai gambaran lebih jelas berbanding dengan cetakan pada kulit.

Selepas Levi's mempopularkan penggunaan jacron sebagai alternatif kepada kulit, industri fesyen dunia juga mula melihat jacron mampu digunakan dalam pelbagai produk berbeza, dilihat unik kerana kelasakannya.

Begitulah serba sedikit kenapa kertas yang digunakan sebagai label seluar jeans, mempunyai tahap ketahanan yang tinggi; kadangkala rupanya tahan lebih lama berbanding seluar itu sendiri. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)