Pada usia 5 tahun, anak kecil bernama Olivia Farnsworth terjatuh sehingga menyebabkan giginya terlanggar bibir sendiri, mengakibatkan luka teruk pada bahagian mulutnya.
Dengan mulut berdarah-darah, Olivia kemudiannya bangun dan terus bersikap tenang seperti tiada apa-apa berlaku walaupun kecederaan yang dialaminya, memerlukan pembedahan kecil.
Doktor yang melakukan pembedahan itu menjalankan pembedahan tersebut tanpa memberikan Olivia ubat bius. Sejak kecil, Olivia telah menunjukkan beberapa keganjilan dalam dirinya, tidak lagi tidur siang sejak berusia 9 bulan dan tidak pernah menangis.
BESARKAN TEKS A- A+
Ini disebabkan beliau adalah satu-satunya manusia yang di dunia yang mempunyai kecacatan genetik yang sangat luar biasa - dia tidak mampu rasa sakit, letih dan lapar.
Tidak merasai sakit kemalangan
Bagi manusia biasa khasnya kanak-kanak, rasa sakit merupakan antara tindak balas semulajadi yang akan dirasai apabila tubuh telah melepasi had selamat dan kecederaan berisiko untuk berlaku. Berbeza dengan kanak-kanak lain, Olivia tidak mampu merasai sensasi tersebut.
Dalam satu kemalangan ngeri pada usia 7 tahun, Olivia diheret sebuah kereta lebih 100 kaki. Bekas tayar melekat di dadanya. Kulitnya terkoyak di pinggang dan jari kaki. Dia masih mampu bangun dalam keadaan tersebut, bertanyakan kepada ibunya apa yang berlaku.
Dua insiden kemalangan ini menunjukkan ketidakmampuan Olivia untuk tubuhnya merasai kesakitan, disebabkan oleh kecacatan genetik yang dinamakan 'Chromosome 6 Ring deletion' atau 'penghapusan rantai kromosom-6', di mana tubuh beliau gagal untuk menghasilkan kromosom dengan sempurna.
Kecacatan ini wujud akibatkan kerosakan genetik yang boleh berlaku kepada seseorang, semasa individu itu masih lagi dalam kandungan lagi. Sangat jarang berlaku dan hanya 23 kes dilaporkan setakat ini, kecacatan yang dialami Olivia amat unik.
Dalam kes yang berjaya ditemui, kanak-kanak biasanya akan mengalami masalah tumbesaran fizikal dan mental, lambat untuk mempunyai kebolehan psikomotor serta abnormaliti pada bahagian tengkorak.
Simptom-simptom tersebut tidak kelihatan pada Olivia setakat ini (dia kini berusia 12 tahun) tetapi kegagalan dia untuk rasa lapar, letih dan sakit menjadi faktor utama yang sangat menyukarkan hidupnya dan ibunya; walaupun dia adalah satu-satunya individu yang ditemui mempunyai keadaan sedemikian rupa.
Cabaran membesarkan anak yang tidak mahu tidur
Salah satu cabaran membesarkan anak, adalah memastikan diri sendiri cukup tidur. Bagi ibu kepada Olivia, Niki Trepak - dugaan yang dihadapinya jauh luar biasa berbanding ibu bapa lain.
Selepas tidak lagi mahu tidur siang pada usia 9 bulan, Olivia mula mengalami perubahan jadual tidur yang ekstrim. Dia berjaga sepanjang malam, paling lama terlelap pun selama 2 jam dan mula menunjukkan petanda tidak merasa letih.
Dalam masa yang sama, Olivia mula memberhentikan dirinya dari menyusu dan tidak lagi merengek minta disusukan. Tabiat tidur dan makan ini terus kekal sehinggalah dia mula bergelar kanak-kanak. Olivia hanya makan kerana melihat orang lain di sekelilingnya makan.
Jika dia makan pun, dia akan makan makanan yang sama untuk beberapa bulan seperti susu kocak, sandwich atau mee sup.
Walau bagaimanapun, Olivia dalam masa yang turut mula menampakkan abnormaliti-abnormaliti lain yang menyebabkan tampak perbezaannya, dalam tumbesaran fizikal dan mentaliti.
Keganjilan yang jarang-jarang ditemui
Insiden terjatuh sehingga berdarah bibir itu menemukan keluarga Olivia dengan pakar-pakar perubatan yang membantu memperjelaskan situasi sebenar Olivia. Bagi Niki, dia tidak menyangka keadaan anaknya luar biasa walaupun ada tanda-tanda aneh ditemui pada anaknya.
Olivia hanya mula mempunyai rambut pada usia 4 tahun setengah, sehingga mengakibatkan ramai tersalah sangka jantina kanak-kanak itu. Selain itu, Olivia juga mempunyai kecenderungan untuk menampakkan tanda-tanda ketidak stabilan emosi, mampu meradang dan bertindak ganas apabila situasinya datang.
Apabila tiba waktu manusia sepatutnya tidur, Olivia akan mencipta 1001 alasan untuk terus berjaga, menyalahkan warna-warna di sekeliling biliknya sebagai punca kenapa dia hendak terus celik.
Solusi kepada 'anak bionik'
Jadi persoalannya - bagaimanakah situasi ini diselia ibu Olivia? Kini tinggal di Huddersfield City, United Kingdom bersama ibunya - menguruskan Olivia merupakan satu cabaran yang sangat besar.
Dalam isu kegagalan untuk berasa sakit, satu-satunya cara untuk mengelakkan sebarang kejadian buruk berlaku tanpa disedari adalah dengan memastikan Olivia sentiasa selamat. Tidak ada cara lebih mudah.
Olivia perlu dipaksa makan mengikut jadual bagi memastikan dirinya mendapat kalori dan khasiat yang diperlukan - walaupun dia tidak pernah mengadu lapar.
Bagi mengurus masalah tidak tidur, hendak tak hendak Olivia terpaksa diberikan pil tidur setiap malam yang akan 'merehatkan' dirinya selama 6 jam setiap hari, diharapkan cukup untuk ibunya yang turut sama perlu menjaga lagi 3 orang adik-beradik Olivia setiap hari.
Ketidak stabilan emosi Olivia pula merupakan masalah paling merisaukan ibunya. Apatah lagi selepas dia sudah beberapa kali mengamuk selepas diejek kawan-kawan dan bertindak balas dalam kaedah yang agak fizikal. Solusinya jelas tidak mudah. Pihak sekolah Olivia perlu memastikan keadaan di sekeliling Olivia tenang dan rakan-rakannya faham ragam anak kecil tersebut.
Lagipun, semua orang patut tahu risiko besar yang menanti sekiranya kita terbuat orang yang tak tahu rasa sakit - marah. Kalau lawan bertumbuk pun, besar kemungkinan Olivia yang menang kerana dirinya tidak ada sempadan.