Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, kes kecurian bahagian pada ekzos kenderaan yang dinamakan sebagai catalytic converter atau pengubah bermangkin semakin kerap dilaporkan di negara kita.
Kes sama sebenarnya sudah lama berlaku di negara-negara luar, ekoran mudahnya pencuri mampu mendapatkan bahagian tersebut dari kenderaan. Kenapa pencuri semakin gemar mengambil bahagian pemangkin ini?
BESARKAN TEKS A- A+
Mari kita huraikan secara lebih lanjut isu ini dan kenapa pengubah bermangkin menjadi perhatian individu berniat jahat.
Apa itu catalytic converter?
Catalytic converter atau pengubah bermangkin dalam bahasa Melayu, adalah peranti yang dipasang pada semua kenderaan bagi mengawal kualiti gas yang dilepaskan daripada proses pembakaran dalam enjin.
Digunakan di mana risiko gas beracun boleh dibebaskan, sistem ini dipasang bukan saja pada kenderaan bahkan kepada bermacam jenis mesin atau peranti yang menjalankan proses pembakaran yang melepaskan asap.
Idea untuk memperkenalkan sistem pemangkin yang menapis rembesan gas ini sudah mula dibangunkan di Perancis pada penghujung abad ke 19, sebelum seorang pesara tentera dan jurutera bernama Eugene Houdry dari Domont, Perancis mula membangunkan standard yang dijadikan asas kepada semua pengubah bermangkin moden.
Houdry berpendapat semua ekzos kenderaan perlu mengurangkan gas karbon monoksida dan hidrokarbon ke udara dalam setiap kenderaan, sama ada jenis petrol atau diesel.
Sistem itu dinamakan 'catalytic' sempena kemampuannya. 'Catalytic' bermaksud 'mampu menjalankan proses menguraikan bahan kimia', diambil daripada istilah Latin 'katalytikos.'
Penggunaannya mula meluas selepas kerajaan Amerika Syarikat mewajibkan pemasangan alat ini pada semua kenderaan dengan pengenalan Akta Udara Bersih 1970, bagi mengawal kualiti pelepasan gas kenderaan yang dijual di sana.
Houdry yang bertindak sebagai pemegang paten yang didaftarkan di negara itu, mula melihat ciptaannya menjadi satu kemestian di atas jalan raya.
Kenapa catalytic converter menjadi buruan?
Pasti ada sebabnya kenapa penukar bermangkin menjadi antara barang panas yang diintai pencuri kan? Mestilah!
Catalytic converter dibina sebagai sebuah kebuk menempatkan penapis berbentuk sarang lebah. Penapis ini biasanya dibuat daripada baham unsur nadir bumi iaitu palladium, rodium dan platinum yang mempunyai harga tinggi sekiranya dijual sebagai bahan mentah.
Fungsi utama ketiga-tiga bahan dijadikan struktur utama penapis adalah disebabkan kemampuan tindak balas bahan nadir itu terhadap gas yang dilepaskan oleh enjin semasa berlakunya pembakaran.
Kesan toksik yang dibentuk dua bahan beracun utama iaitu karbon monoksida dan hidrokarbon yang dinyahkan, berkurangan selepas melalui penapisan - ditukarkan kepada karbon dioksida dan juga air melalui tindak balas yang berlaku.
Oleh kerana sebuah pengubah bermangkin memerlukan suhu tinggi untuk mencapai tahap optimum penukaran, pemasangannya akan dilakukan pada lokasi di mana suhunya panas.
Disebabkan itulah secara standard, pengubah pemangkin akan dipasang pada bahagian ekzos yang mengakibatkannya mudah diakses sesiapa yang tahu.
Pasaran yang besar permintaannya
Kebanyakan pencuri mencuri peralatan ini kepada pembeli yang sudah pasti mereka kenali.
Pembeli pula akan berurusan dengan mereka yang mempunyai kepentingan dalam mendapatkan unsur nadir bumi yang ada seperti rodium, platinum dan palladium; untuk tujuan masing-masing.
Angka kes kecurian di negara kita kini sudah semakin meningkat disebabkan oleh pengetahuan sindiket jenayah curi tentang nilai sebenar bahan yang ada dipasang pada majoriti kereta yang ada.
Dalam pasaran gelap, seorang pencuri boleh memperolehi keuntungan bersih sekitar RM1,200 untuk pengubah bermangkin jenis biasa yang dipasang pada kenderaan-kenderaan berasaskan petrol atau diesel.
Sistem kereta hibrid yang memerlukan pengubah lebih baik, membolehkan harga lebih tinggi diterima pencuri. Secara puratanya pengubah kenderaan hibrid mampu dijual dalam pasaran gelap pada harga sekitar RM6,000 ke RM7,500 jika ada permintaannya.
Ketika artikel ini ditulis, satu gram rodium mempunyai harga RM1,995, platinum pada harga RM144.75 per gram dan RM272.70 untuk setiap satu gram palladium. Bagi setiap satu unit pengubah bermangkin biasa, jumlah bahan yang akan digunakan adalah 3 ke 7 gram platinum, 2 ke 7 gram palladium dan 1 ke 2 gram rodium.
Anda kiralah sendiri berapa nilai bahan yang dipasang secara keseluruhannya dan kenapa segelintir individu sanggup melakukan kerja terkutuk ini.
Untung mudah dengan kerja haram
Kedudukan pengubah bermangkin pada ekzos motorsikal
Oleh sebab itulah jika anda menelaah harga jualan alat ganti catalytic converter dalam pasaran sebenarnya, memang harganya agak tinggi.
Bagi kenderaan biasa seperti Perodua Myvi dan Perodua Alza, harganya mencecah sehingga lebih RM1,000.
Nasihat kami, pastikan anda meletakkan kenderaan anda di tempat yang selamat. Jika anda nampak ada individu sedang menggodek ekzos kenderaan bersendirian, siasatlah apa tujuannya.
Komponen ini memang agak mudah dibuka kerana rekaannya sudah sedia mudah aksesnya. Alat ini boleh dibuka tanpa memerlukan peralatan khas, hanya spanar biasa saja boleh diguna.
Kami menulis artikel ini bukanlah untuk mengajar anda mencuri ya. Ekoran peningkatan kes yang mendadak kecurian komponen ini, kami harap anda ada kesedaran bahawa perkara ini akan semakin kerap berlaku.
Jika anda mulakan enjin dan mendapati bunyi ekzos anda aneh semacam saja, mungkin anda telah menjadi mangsanya.
Berhati-hatilah kerana jenayah ini melibatkan pengguna kenderaan, khususnya kenderaan hibrid yang memang menjadi sasaran utama serta kita semua yang memiliki kenderaan jenis biasa, baik motorsikal ataupun kereta.