Ketika anda memberus atau memeriksa gigi di hadapan cermin, pernahkah anda terfikir mengapa gigi anda berbeza bentuk dan saiznya? Ada yang kecil, besar, rata dan agak runcing. Mengapa ia tidak sama semuanya?

Gigi membantu kita untuk mengunyah makanan, menyebut perkataan dan menjadi struktur kepada bentuk muka kita. Mengapa semua gigi di dalam mulut kita tidak diciptakan sama adalah kerana mereka mempunyai fungsi yang tersendiri.

Mari kita kenali jenis-jenis gigi yang berbeza dan kelebihannya kepada kita.

Jenis-jenis gigi

Setiap bentuk dan saiz gigi sebenarnya mempunyai fungsi khas terutamanya dalam mengunyah makanan.

Gigi Kacip @ Incisor (8 Batang)

gigi kacip

Gigi yang berada di barisan paling hadapan di dalam mulut anda dikenali sebagai Gigi Kacip. Terdapat empat gigi kacip pada rahang atas dan empat lagi pada rahang bawah.

Gigi kacip berbentuk rata dan nipis seperti pahat. Gigi kacip membantu anda memotong dan menggigit makanan menjadi kepingan yang lebih kecil semasa memulakan proses mengunyah.

Gigi kacip amat penting untuk membantu anda menyebut sesuatu perkataan. Selain itu, ia turut menyokong bibir dan struktur muka anda.

Gigi Taring @ Canine (4 Batang)

gigi taring

Taring ialah gigi tajam dan runcing yang terletak di sebelah kiri dan kanan gigi kacip. Terdapat dua gigi taring di setiap rahang menjadikannya empat secara keseluruhannya. Sebahagian orang memanggil gigi ini sebagai gigi siung.

Gigi yang panjang dan runcing ini penting untuk mencengkam dan mengoyakkan bahan makanan seperti daging. Dalam dunia haiwan pula terutamanya haiwan karnivor, gigi taring mereka adalah lebih panjang dan tajam supaya mereka senang memburu dan mengoyakkan daging mangsa.

Dalam dunia fiksyen pula, hanya puntianak (vampire) yang mempunyai gigi seperti ini. Malah, mereka dapat mengubahnya menjadi gigi taring biasa sesuka hati!

Geraham Kecil @ Premolar (8 Batang)

premolars

Gigi premolar ini adalah gigi yang lebih besar dan rata yang memanjang ke arah belakang mulut anda. Ia terletak di belakang gigi taring.

Gigi premolar mempunyai permukaan rata dengan rabung atau lekuk. Gigi ini membantu kita mengunyah serta mengisar makanan dan menjadikannya cukup kecil untuk ditelan.

Orang dewasa biasanya mempunyai 8 batang gigi premolar di dalam mulut mereka. Kanak-kanak yang masih kecil tidak mempunyai gigi premolar dan biasanya muncul apabila mereka mencapai umur antara 10 hingga 12 tahun.

Gigi Geraham @ Molar (8-12 Batang)

gigi geraham

Gigi geraham adalah gigi yang paling besar. Gigi ini mempunyai permukaan yang besar dan rata dengan lekuk yang membolehkan anda mengunyah makanan dan mengisarnya.

Orang dewasa mempunyai 12 batang gigi geraham kekal iaitu enam di atas dan enam di bawah. Manakala kanak-kanak pula mempunyai lapan gigi geraham primer.

Gigi geraham terakhir yang akan keluar ialah gigi geraham ketiga. Ia biasanya keluar ketika seseorang itu berusia antara 17 hingga 21 tahun. Gigi geraham ketiga terletak di sudut paling belakang rahang.

Walau bagaimanapun, sesetengah orang tidak mempunyai gigi geraham ketiga ini dan ia kekal berada di dalam tulang rahang.

Gigi sementara vs Gigi kekal

Bilangan dan jenis gigi seseorang itu berubah apabila mereka meningkat usia. Biasanya, manusia mempunyai dua set gigi seumur hidup mereka. Set pertama dikenali sebagai gigi utama atau gigi susu manakala set kedua pula dikenali sebagai gigi kekal atau gigi dewasa.

gigi susu dan gigi kekal

Ketika kira-kira berusia enam bulan, seorang bayi itu akan menghasilkan sepasang gigi susu pertama mereka. Beberapa gigi akan terus tumbuh setiap satu atau dua bulan sehingga bayi itu mempunyai set gigi yang lengkap sekitar usia dua hingga tiga tahun.

Apabila gigi kekal tumbuh di dalam tulang di bawah gigi susu sepanjang zaman kanak-kanak, akar gigi susu akan mula diserap ke dalam gusi. Proses ini akan membuatkan gigi susu menjadi longgar dan memberi ruang untuk digantikan dengan gigi kekal.

Seorang kanak-kanak itu biasanya akan mula kehilangan gigi susu mereka pada usia sekitar enam tahun dan prosesnya akan selesai sekitar usia 12 tahun.

Tulang rahang yang membesar selari dengan usia seseorang itu akan memberikan ruang kepada gigi geraham yang lebih besar untuk tumbuh. Biasanya, set gigi susu yang lengkap merangkumi 20 batang gigi manakala set gigi kekal yang lengkap pula adalah sebanyak 28 hingga 32 batang gigi.

Inilah sebab mengapa gigi manusia diciptakan berbeza bentuk dan saiznya. Jika semua gigi berbentuk sama, ia hanya dapat melakukan satu tugasan yang sama sahaja dan sukar untuk kita makan makanan yang pelbagai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)