Oleh pada 30 Jul 2019 kategori

Ular memang menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah manusia. Tapi bagi pencinta ular, ular sebenarnya adalah haiwan yang sangat unik dan menarik. Sehinggakan ada sesetengah penganut Hindu di India menganggap ular sebagai binatang suci dan menyambut sambutan tahunan festival ular yang dipanggil "Nag Panchami".

Bagi pengkaji haiwan, Malaysia adalah antara destinasi popular dalam memburu ular dan mempelajari pelbagai jenis ular. Antara ular yang popular di Malaysia adalah "otai" ular iaitu ular tedung selar. Jadi melalui artikel ini, penulis berharap anda semua dapat menimba ilmu tentang ular yang ada di negara kita sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami hanya akan menggunakan bahasa yang mudah difahami khas untuk bacaan awam. 

Fakta tentang bentuk kepala ular dan jenis bisa adalah tidak tepat

Pertama sekali, apa yang anda perlu tahu ialah, fakta mengenai ular berbisa memiliki kepala berbentu tiga segi adalah tidak tepat. Ianya benar, tetapi tidak 100% tepat. Di malaysia masih terdapat ular berkepala bulat tapi memiliki bisa yang mampu membunuh manusia. 

kenal pasti ular berbisa dari kepalanya mitos

Hal ini perlu diperbetulkan supaya persepsi masyarakat tidak salah tentang ular dan pada masa sama mengelakkan kejadian tidak diingini terjadi. Penulis sangat khuatir sekiranya ada yang cuba memegang ular kepala bulat dan berakhir dengan memegang ular yang berbisa contohnya seperti ular karang dan ular katam.

Jadi, sila betulkan pemikiran anda bahawa tidak semua ular berkepala bulat itu selamat dipegang dan tidak semua ular berkepala tiga segi itu berbisa dan mematikan.

Ular karang aka ular pantai (Sangat berbisa)

Ular karang adalah antara ular berkepala bulat dan memiliki bisa yang boleh menyebabkan kematian manusia dalam masa hanya lebih kurang 1 ke 3 jam. Biasanya ular ini memiliki warna-warna yang sangat terang (striking), menarik perhatian dan mudah dikesan oleh pandangan manusia.

Selain dipanggil sebagai ular karang, ada juga sesetengah negeri dalam Malaysia menggelarnya sebagai ular pantai. 

ular karang biru malaya

Malaya Blue Coral / Ular Karang Biru

ular karang ular pantai

Corak dan warna lain bagi ular pantai / ular karang

Ular ini biasanya suka duduk dan melepak di dalam lubang tanah, berteduh di bawah batu-batuan, celahan kayu dan daun. Panjang ular ini biasanya dalam lingkungan 30cm sahaja. Kecil dan comel tapi sangat berbisa. Terdapat juga ular karang yang lebih panjang, contohnya ular karang biru yang boleh membesar sehingga 180cm.

Namun habitat dan sifat-sifatnya masih sama dengan lain-lain ular karang. Jarang kedengaran kes manusia di patuk oleh ular jenis ini. Dalam 7 tahun kebelakangan ini hanya ada 1 kes manusia dipatuk oleh ini. Dan kes ini bukan berlaku dalam Malaysia.

Ular jenis ini sangat susah dijumpai. Sekiranya anda terjumpa, itu tanda anda adalah seorang yang sangat bertuah. Pemburu ular pun susah nak terjumpa dengan ular karang ni.

beza ular karang dengan ular susu

Peringatan : Ular karang biasanya disalah tafsir dengan ular susu dan (tidak terdapat di Malaysia). Selain nama ular karang, ada juga yang menggelarnya dengan nama ular matahari kerana warnanya yang terang.

Tips berhadapan : Ular karang bukanlah jenis ular yang aggresive. Sekiranya ia hadir berhampiran rumah anda (sangat susah berlaku), anda boleh cuba mengangkatnya perlahan-lahan menggunakan kayu ataupun penyepit reptilia khas untuk dibawa ke tempat yang lebih selamat.

Ular Katam (Sangat berbisa)

Ular katam juga terdapat dalam pelbagai jenis. Tapi yang popular adalah ular katam kuning (ramai panggil katam belang atau katang) dan juga katam tebu (belang hitam putih). Ular katam sebenarnya tidak "aggresive" dan cuma bersifat "defensive" yang melampau. Sekiranya anda mengganggu ular ini, biasanya ular ini akan melarikan diri. Sekiranya anda mencuit ular ini dengan kayu, ia akan menggulungkan badannya dan menyembunyikan kepalanya.

ular katam tebu

Ular katam belang / kuning

ular katam tebu 60

Ular katam tebu / welang. Kredit foto ThaiPark

Sekiranya anda terjumpa ular ini, biarkan ia lari jangan sesekali diusik. Racunnya amat berbisa dan mampu membuatkan anda kejang seluruh badan dalam masa tak sampai sejam.

Ular katam biasanya ditemui di kebun-kebun, kawasan berhampiran sungai dan hutan tebal. Ular katam juga seperti tedung selar, pemakan ular lain. Namun bezanya adalah ular katam juga boleh bertoleransi untuk memakan tikus, anak ayam dan haiwan-haiwan kecil lain. 

Kata orang-orang tua, sekiranya ada bertemu dengan ular katam, anda perlu berhati-hati dengan kawasan sekeliling kerana kebiasaannya dimana ada ular katam, di situ ada ular tedung selar kerana dikatakan ular katam adalah makanan kegemaran ular tedung selar. Ini teori orang-orang tua sajalah. 

ular punti tiong

Ular Punti aka Tiong yang selalu disangka Katam Tebu. Ular ini bisanya tidak kuat dan tidak mematikan 

beza katam tebu dengan ular punti tiong 2

Perbezaan pada bentuk tubuh dan corak ular katam belang (kuning) dengan ular punti

ular katam kepala merah

Ular Katam Kepala Merah hampir menyerupai Ular Karang Biru. Bezanya adalah pada bentuk tubuh dan berwarna biru gelap seakan-akan kelabu/hitam. 

Peringatan : Ramai yang tersalah mengenalpasti antara ular punti dengan ular katam kuning. Namun bagi anda yang tidak biasa dengan ular, jangan sesekali diganggu ular itu walaupun ianya hanya ular punti. Ular punti pun tetap memiliki bisa yang boleh membuatkan anda demam panas sekiranya dipatuk.

Petua berhadapan dengan ular katam : Jangan diusik walaupun ianya bersifat pemalu dan "cool". Kalau berada dekat dengan kawasan rumah anda, ketuk-ketuk tanah sehingga dia lari ke tempat lain.

Ular Kapak (Sangat berbisa)

Ular kapak juga adalah antara ular paling dibenci pekebun dan petani di Malaysia kerana sifatnya yang suka serang hendap dan bersembunyi sambil menunggu mangsa. Habitat ular ini bergantung pada warna dan jenis ular kapak tersebut.

Yang paling banyak ditemui Malaysia adalah jenis "ular kapak bodoh". Ia berwarna coklat dan corak kehitaman membuatkan amat susah untuk dikenal pasti apabila ular ini bersembunyi di dalam timbunan daun-daun kering.

ular kapak bodoh

Ular Kapak Bodoh

Banyak kes patukan oleh ular ini adalah kerana kebanyakan mangsa tidak menyedari kehadiran ular itu dan ada diantaranya kerana mangsa terpijak ular kapak tersebut. Jadi anda perlu berhati-hati ketika berjalan di dalam kebun ataupun hutan. Pastikan anda tidak suka-suka hati berjalan di atas dedaunan kering, plastik PE tanaman, dan kawasan rimbun.

Ada juga ular kapak yang duduk di atas pokok. Warnanya pula adalah hijau yang menyerupai warna daun. Rupa bentuk untuk semua jenis ular kapak adalah hampir sama. Cuma warna dan corak tubuh dipengaruhi oleh habitat mereka.

ular kapak gunung kapak tokong kapak hijau

Variasi Ular Kapak : Ular kapak gunung, ular kapak tokong, dan ular kapak ekor merah (hijau)

Sekiranya anda masuk ke hutan atau sedang melakukan aktiviti berkebun, biasakan diri anda membawa kayu untuk anda pastikan dulu bahawa tiada ular kapak sedang bersedia untuk menyerang hendap anda.

Tips berhadapan : Ular kapak tidak akan menyerang anda secara bertalu-talu seperti ular tedung. Taktikalnya lebih kepada menunggu mangsa. Kalau anda masuk ke hutan, kebun, ataupun hiking, bawa tongkat untuk anda kenalpasti dulu sesuatu lokasi itu selamat untuk dipijak ataupun tidak.

Kalau terjumpa berhampiran rumah anda, gunakan kayu atau ranting panjang untuk mengangkatnya. INGAT! pastikan anda guna objek PANJANG. Kerana ada juga spesis ular kapak yang boleh melompat tinggi sambil mematuk.

Ular kapak adalah antara ular berbisa di Malaysia yang paling pantas. Pastikan anda tidak main acah-acah dengannya. Kebanyakan pakar ular mengendalikan ular ini dengan menggunakan hook (cangkuk) atau sepit reptilia. Bukan dengan tangan kosong.

cef2e48a4f3d6a5918a41b750ebba62f

Gigitan ular kapak adalah antara yang paling menyakitkan berbanding ular-ular berbisa lain.

Sekiranya tersalah teknik pegang kepalanya, giginya yang panjang dan melengkung masih dapat menyuntik bisa pada tangan kita.

Ular tedung hitam / ular senduk (Sangat berbisa)

Ular tedung senduk atau lebih dikenali sebagai "cobra" adalah antara ular yang paling ditakuti rakyat Malaysia. Sebenarnya bisa ular ini adalah lebih lemah berbanding ular karang dan ular katam. Namun tetap berbahaya dan boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat dengan kadar segera. 

ular tedung senduk

Ular tedung adalah sangat istimewa. Ia boleh mengikuti perkembangan zaman dan menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis keadaan persekitaran termasuklah di kawasan-kawasan bandar besar.

Di Malaysia kebiasaanya ular tedung tinggal di kawasan-kawasan hutan, sawah padi, dan tapak-tapak binaan. Ia boleh hidup di dalam lubang tanah, timbunan batu, celahan pokok yang sudah mati dan bermacam-macam lagi. Hebat bukan?

Makanan utama ular tedung adalah tikus, biawak dan haiwan-haiwan kecil lain. Sebab itulah kita kerap mendengar kejadian ular tedung masuk rumah. Diantaranya yang menjadi punca utama ialah kehadiran tikus di rumah atau mungkin juga kerana ia terhidu ayam KFC bucket yang anda beli.

anak ular tedung dalam baldi

Anak ular tedung senduk (bercincin putih) yang dijumpai oleh pengguna Facebook

Ular tedung yang masuk ke rumah biasanya bersembunyi di tempat-tempat sempit seperti bawah peti ais, belakang pintu dan di celahan atau bawah almari. Sekiranya anda terserempak dengan ular tedung di dalam rumah anda, pertama sekali jangan bergerak. Ular tedung sangat sensitif dengan gerakan. Kemudian cubalah untuk hentak kaki (tapping) anda dengan perlahan. Biasanya ular tedung akan lari bila dia merasai getaran lantai.

Peringatan : Walaupun ular tedung bukanlah dikalangan ular yang pantas, namun anda perlu berhati-hati kerana patukannya boleh menyebabkan kematian. Malah terdapat ular tedung yang boleh menyemburkan bisanya ke mata manusia.

ular tedung senduk kepala bulat cincin

Antara salah satu cara untuk mengenalpasti tedung sembur ialah, tedung biasa memiliki bentuk bulat "cincin" di belakang kepalanya manakala tedung sembur, tidak memiliki bentuk bulat. Tapi tak semua begitulah, ini hanya petua dari orang yang mahir tentang ular sendiri.

Namun begitu, dikatakan anak-anak ular tedung ini, selalu menyemburkan bisanya walaupun bukan dari jenis tedung sembur. Ini berlaku kerana anak-anak ular tedung tidak mampu untuk mengawal kelenjar bisanya lagi. Jadi apabila ia berdengus, melimpah-limpah keluar bisa dari giginya angkara masih belum pandai kawal aliran bisa.

ular tedung senduk sembur bisa

Kredit Foto : Vince Adam

Tips berhadapan : Sekiranya anda tidak mahu tanggung risiko disembur bisa, pakai helmet yang ada visor. Kemudian gunakan kayu atau buluh panjang untuk menekan kepalanya. Kemudian telangkupkan besen atau baldi besar ke atasnya. 

Atau kalau anda berani, lebih mudah sekiranya anda angkatnya (menggunakan sepit reptilia) terus ke dalam tong sampah hijau di hadapan rumah anda. Kemudian telefonlah jabatan perhilitan atau bomba untuk mengambilnya.

Ular tedung selar (Sangat berbisa)

Inilah keunikan Malaysia. Negara kita ada banyak tedung selar. Kebanyakan rakaman National Geographic tentang ular tedung selar adalah dirakam di Malaysia dan Thailand. Ular tedung selar Malaysia memang sangat cantik pada masa sama mengerikan. Berwarna coklat gelap dan adakalanya berwarna kuning keemasan. 

ular tedung selar

Biasanya kita boleh mengagak umur tedung selar daripada belang di badannya. Kalau belang di badannya kelihatan jelas dan terang, itu tandanya ia masih muda. Semakin tua, belang di badan ini akan semakin kurang kelihatan.

Pasti anda pernah dengar kisah bahawa ular tedung selar ini selalu mengejar manusia kan? Sebenarnya fakta ini adalah salah. Tedung selar sebenarnya adalah makhluk yang sangat 'defensive'. Biasanya dia tidak akan mengganggu atau mematuk makhluk yang tidak boleh dimakannya (besar dan tak muat mulut) melainkan ia merasa terancam.

Ular tedung selar akan menjadi 'aggresive' apabila anda sangat hampir dengan sarangnya ataupun pada musim mengawan. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, tidak ada kes manusia yang mati dipatuk tedung selar kerana terserempak dengannya secara tidak sengaja. Biasanya kes patukan tedung selar ini adalah disebabkan mereka bermain dengannya, membelanya ataupun ada percubaan untuk menangkap dan membunuhnya.

ular tedung selar makan burger

Tedung selar paling kerap ditemui di ladang-ladang sawit dalam Malaysia. Antara khabar angin yang selalu didengari ialah "memang ramai peladang sengaja melepaskan tedung selar untuk membunuh tikus dalam ladang". Pernyataan ini adalah salah sama sekali. Kenapa? sebab tedung selar tidak makan tikus. 

Tedung selar digelar "KING cobra" kerana sifatnya yang hanya makan ular-ular yang lain. Sebab itulah ia digelar sebagai "KING". Haiwan ini amat tidak sesuai untuk dijadikan peliharan. Pertama, kerana ia perlu diberi makan ular yang lain. Kedua kerana bisanya boleh membuatkan anda bukan sekadar mati pucuk, malah terus tersembam rebah ke liang lahad. 

anak ular tedung selar bayi

Anak ular tedung selar yang usianya tidak sampai sebulan

bapak tedung selar

Tedung selar dewasa. Kredit Natgeo

Tips berhadapan : Sebenarnya tiada tips terbaik berhadapan dengan ular ini. Pakar ular tedung selar pun belum tentu berani berhadapan dan bermain-main dengan ular "liar" yang berbeza-beza perangainya.

Namun sekiranya anda terserempak secara tidak sengaja dengan ular tedung selar, pertama sekali ialah keraskan tubuh anda. Jadilah seperti patung dan cuba untuk bertenang. Ular tedung selar tidak akan menyerang objek yang tidak bergerak. Kemudian perlahan-lahan undurkan diri sambil mata anda perlu fokus pada pergerakan ular tersebut.

Bila sudah berjaya menjarakkan diri anda melebihi 3 meter, kenalpasti dulu halangan-halangan yang mungkin ada disekeliling anda. Bila sudah yakin, larilah sekuat mungkin.

Apa perlu dilakukan sekiranya dipatuk ular?

Pertama sekali, kenal pasti ular apa yang mematuk anda. Kalau boleh, bunuh sahaja ular itu dan bawa bersama-sama ke hospital. Jangan luangkan terlalu banyak masa dan tenaga untuk membunuhnya. 

Kedua, anda perlu bertenang dan kurangkan pergerakan tubuh. Cuba untuk rilekskan badan anda, jiwa anda dan pemikiran anda.

Balut kawasan dipatuk dengan kain bersih ataupun bandage. Ini bagi mengelakkan anda dijangkiti kuman lain, mengelakkan pendarahan, dan mengurangkan tekanan darah pada kawasan tersebut.

kb66ltag

Jangan cuba untuk sedut bisa. Atau jangan cuba untuk menyiat-nyiat tubuh anda di bahagian yang dipatuk menggunakan pisau untuk mengelakkan bisa merebak.

Jangan cuba pandu sendiri ke hospital. Suruh rakan, pasangan atau keluarga anda yang bawa anda ke hospital.

Sebolehnya terus ke hospital besar terdekat dengan kawasan anda. Jangan pergi ke klinik kesihatan mahupun klinik swasta. Klinik tidak menyimpan antivenom untuk patukan ular. Dan untuk pengetahuan anda, tidak semua hospital ada antivenom yang dikhaskan untuk ular tertentu.

Fakta tambahan tentang ular di Malaysia

1. Semua ular boleh berenang. Maka kalau anda terserempak ular, jangan larikan diri ke dalam air. Itu lebih mengeruhkan keadaan.

2. Ular tidak boleh bergerak pantas dari kebiasaannya di atas jalan tar (laluan kenderaan). Ular boleh bergerak pantas di atas rumput dan tanah. Dan ular seperti tedung selar, akan lebih pantas sekiranya memburu dalam air.

3. Ular ada tulang. Maka ular tidak boleh memusing-musingkan badannya (rotating) dengan melampau. Sebab itu pemain ular biasanya sudah tahu had pergerakan ular apabila kita memegang ekornya atau tengkuknya.

polistangkapulau field image listing featured variant

4. Serangan Ular sawa adalah lebih pantas berbanding ular tedung selar. Ramai yang menyangka ular sawa adalah spesis yang perlahan. Fakta ini salah sama sekali. Kalau jumpa tedung selar, jarak selamat adalah dalam lingkungan 2 ke 3 meter. Namun bagi ular sawa, jarak selamat adalah 4 ke 5 meter.

5. Tidak ada ular dalam dunia ini tidak takutkan manusia. Semua ular sebenarnya takutkan manusia dan sebolehnya mahu mengelak berjumpa manusia. Namun adakalanya ular-ular ini terpaksa, kerana habitatnya dimusnahkan oleh manusia sendiri.

6. Bukan semua ular berwarna hijau adalah tidak merbahaya. Selain ular daun, ular pucuk dan ular tikus (hijau), masih terdapat ular lain berwarna hijau yang sangat merbahaya. Antaranya ialah ular kapak hijau sumatera dan ular kapak ekor merah.

Petua elak ular masuk rumah

Salah satu petua yang paling popular adalah menaburkan belerang kuning di sekeliling rumah. Fungsi belerang ini adalah kerana baunya dibenci ular. Itu sahaja. Bukannya kerana ular terlampau takut akan belerang.

Selain itu, anda boleh menanam pokok limau purut atau limau kasturi berhampiran rumah anda. Pokok ini juga amat dibenci ular keranya baunya.

Membela haiwan peliharan seperti anjing dan kucing juga dapat menghindarkan rumah anda dimasuki ular. Pada masa yang sama menjadi penghapus haiwan perosak seperti tikus.

Dan paling penting sekali adalah menjaga kebersihan laman rumah anda. 

panji petualang

Kredit gambar : Panji Petualang

Peringatan terakhir

Semua ular akan bertindak lebih ganas sekiranya terasa diancam dengan sentuhan, tubuhnya terluka, musim mengawan dan banyak faktor lain.

Tips di dalam artikel ini sekadar untuk ilmu pengetahuan dan bukan untuk dipraktikkan. Mana lah tahu tiba-tiba bangun tidur ternampak ular di sebelah, jadi anda sudah tahu apa patut dilakukan. 

Perkara terbaik adalah, jauhkan diri daripada ular, perangkap ular itu sekiranya mampu, telefon bomba, RELA atau jabatan perhilitan dan biarkan tugas menangkap ular dilakukan oleh pakar berserta peralatan yang betul.

Nombor telefon Jabatan Perhilitan mengikut negeri

nombor telefon contact jabatan perhilitan 1

nombor telefon contact jabatan perhilitan 2

nombor telefon contact jabatan perhilitan 3

  • Jabatan Hidupan Liar (Sabah) Tel: (088) 215353 / 214442
  • Forest Department Sarawak Tel : (082) 442180 / 319102



Hakcipta iluminasi.com (2017)