Sebelum Steve Jobs berhenti sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Apple pada tahun 2011, beliau pernah memegang iPhone 4S dalam mesyuarat makan tengah hari sambil bertanya kepada SIri, "Adakah anda seorang lelaki atau wanita?" Siri kemudian menjawab. "Mereka tidak menetapkan jantina saya." Jobs berpuas hati dengan jawapan itu.

Namun, suara asli Siri sebenarnya mempunyai wajah, jantina, pekerjaan dan kehidupan sendiri. Dia ialah Susan Bennett yang kini berumur 69 tahun. Susan merupakan seorang artis suara latar dan penyanyi dari Atlanta, Amerika Syarikat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

CNN pernah mendedahkan bahawa suara Susan Bennet adalah suara di belakang pembantu peribadi Apple yang terkenal itu. Susan juga mengakui perkara itu ketika ditemuramah CNN. Malah, Susan juga memberitahu bahawa ramai sebenarnya yang terkejut apabila mendapati suara Siri itu sebenarnya suara manusia sebenar.

susan bennet behind siri voice

Menurut Susan, dia tidak mengetahui bahawa dirinya akan menjadi suara kepada Siri sehinggalah Apple mengintegrasikannya ke dalam iPhone pada tahun 2011. Susan hanya mengetahui hal itu apabila itu rakan-rakannya menghantar email kepadanya memberitahu bahawa mereka telah cuba bercakap dengan Siri pada iPhone baru dan bertanyakan adakah itu suaranya.

Susan sebenarnya adalah pelakon suara latar yang berjaya dan telah melakukan banyak kerja untuk syarikat-syarikat besar seperti AT&T, Delta, Coca-Cola, McDonalds dan banyak lagi.

susan bennett suara di sebalik siri

Susan Bennett, suara sebenar di sebalik Siri

Ketika Susan menandatangani satu kontrak untuk satu pekerjaan pada tahun 2005, dia tidak tahu untuk apakah rakaman itu akan digunakan. Pekerjaan itu memerlukannya untuk merakam suara sebanyak empat jam sehari selama sebulan. 

Walau bagaimanapun, Apple sebagai sebuah syarikat yang suka berahsia tidak mengesahkan bahawa Susan Bennett adalah suara di sebalik pembantu robot itu.

Bagi mengesahkan tentang kesahihan perkara itu, CNN telah mendapatkan pandangan profesional daripada seorang pakar forensik audio untuk menganalisis suara Susan dengan Siri.

ed primeau pakar forensik audio

Ed Primeau, pakar forensik audio

Pakar itu, Ed Primeau, telah mengkaji kedua-dua suara itu dan membuat keputusan bahawa mereka adalah suara yang sama dengan 100% padanan. Ketua Pegawai Eksekutif syarikat di mana Susan melakukan suara latar juga mengesahkan bahawa Siri adalah suara milik Susan Bennett.

Walaupun Susan dibayar oleh syarikat GM Voices untuk rakaman suara itu, Apple tidak terikat secara sah untuk membayar pampasan kerana menggunakan suaranya di pasaran Amerika Syarikat dari tahun 2011 hingga 2013.

Syarikat gergasi peralatan elektronik dunia itu juga tidak terikat untuk melakukan perkara yang sama terhadap Jon Briggs yang merupakan suara Siri untuk pasaran British atau Karen Jacobsen untuk pasaran Australia. Ketiga-tiga individu ini adalah kumpulan pertama yang merakamkan suara Siri.

susan bennett jon briggs dan karen jacobsen

Susan Bennett, Jon Briggs dan Karen Jacobsen

Susan Bennett berkata, mereka semua telah menandatangani perjanjian yang membebaskan semua hak untuk pampasan atau penggunaan suara rakaman mereka. 

Sebelum ini, terdapat banyak spekulasi mengenai suara siapakah di sebalik suara Siri yang terkenal itu. Pernah sekali, The Verge menyiarkan video yang menyebabkan kekeliruan ramai orang apabila mendakwa suara Siri dirakamkan oleh seorang wanita bernama Allison Duffy. Duffy kemudian terpaksa memuatnaik tulisan di blognya menafikan bahawa dia bukanlah suara di sebalik Siri.

logo sri international

Walaupun Siri kini merupakan salah satu ciri asas Apple, pada asalnya ia dicipta oleh SRI International iaitu sebuah institut penyelidikan tanpa keuntungan Menlo Park. Ketika Susan Bennett merakam beribu-ribu perkataan di Atlanta, ia sebenarnya untuk SRI International bukanlah Apple.

Pada tahun 2010, syarikat itu melancarkan Siri di Apple App Store. Dua minggu selepas pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif SRI International, Dag Kittlaus, menerima panggilan telefon daripada Steve Jobs dan akhirnya mereka membincangkan harga pembelian Siri. Steve Jobs kemudian membuat satu tawaran lumayan yang tidak dapat ditolak oleh Kittlaus.

dag kittlaus ceo sri international

Dag Kittlaus, CEO SRI International

Huffington Post mendedahkan bahawa Apple telah mengubah Siri daripada ciri-ciri asalnya yang dianggap lebih baik daripada sekarang. Sebagai contoh, apabila ditanya cadangan mengenai restoran, Siri yang asal akan mencari di pelbagai laman web seperti Yelp, AllMenus dan Google Maps untuk keputusan. Namun, Siri pada hari ini tidaklah begitu maju.

Sejak sistem iOs 7, Apple telah memperkenalkan pilihan suara lelaki untuk pelanggan di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain seperti Perancis dan United Kingdom.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)