Oleh pada 07 Oct 2019 kategori

han byul big stage 289

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza & Instagram Astro Gempak

    

Susulan pertikaian kemenangan penyanyi Korea Selatan, Han Byul dalam pertandingan realiti Big Stage semalam, juri tetap Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menyuarakan pandangan.

Menurut penyanyi Anta Permata itu, isu berkenaan tidak sewajarnya dibangkitkan memandangkan penilaian program itu sendiri berpaksikan bakat peserta.

Justeru tiada istilah mengetepikan anak seni tempatan kerana kesemua finalis bersaing atas satu misi yang sama.

"Muzik ini universal... kita berkongsi bakat dan mempertaruhkan bakat di pentas ini, buat apa kalau kita buka penyertaan untuk negara lain tapi kita nak juga peserta negara kita menang. Itu bukan persaingan namanya.

"Persaingan sihat apabila kita menilai secara telus dan jadikan ini sebagai salah satu cabaran dan peluang untuk artis tanah air kita belajar.

"Bagi saya Big Stage ini terbuka untuk kesemua peserta dan kita juri yang telah diberi tanggungjawab akan menilai setiap peserta dengan bakat yang mereka tunjukkan," katanya kepada portal Mstar.

Beliau membuat kenyataan sewaktu sidang media yang berlangsung usai Konsert Akhir Big Stage musim kedua di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, malam tadi.

Terdahulu, kemenangan Han Byul sebagai juara mengundang pelbagai reaksi di kalangan netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati kerana menganggap penyanyi luar seolah lebih diutamakan.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza berkata, beliau sendiri mempunyai pengalaman bersaing di luar negara, namun masih menerima peluang merangkul trofi utama kerana juri telus menilai daripada sudut bakat.

    

jang han byul 364

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

     

"Macam pengalaman saya dengan Misha Omar (juri jemputan), kita pernah pergi bertanding di satu pertandingan nyanyian di Shanghai, China dan kami berlawan dengan peserta tempatan.

"Tapi disebabkan mereka (juri) menilai lagu itu secara telus... saya dan Misha dipilih menjadi juara, jadi dalam hal ini tak ada masalah siapa yang jadi juara, meskipun orang luar," katanya.

Selain Han Byul, Big Stage 2019 turut mengiktiraf bakat tempatan, Neeta yang menduduki tangga kedua, termasuk Adzrin (ketiga), Irfan Haris (keempat) dan peserta tunggal dari Indonesia iaitu Dinda Permata (kelima).

   

Sumber berita: “Buat Apa Buka Penyertaan Luar Tapi Nak Juga Peserta Negara Sendiri Menang” - Kemenangan Han Byul Dipertikai, Ini Jawapan Siti Nurhaliza!

   



Hakcipta iluminasi.com (2017)