Kredit foto: Instagram Khai Bahar

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih Khai Bahar sebagai pasangan duetnya dalam single terbaharu, Cinta Syurga.

Menurut Siti atau lebih mesra disapa Tok Ti, Khai baginya adalah pilihan yang tepat berdasarkan bakat, kelebihan dan populariti yang dimiliki.

“Lagu ini menggunakan melodi Comel Pipi Merah. Cuma lirik ditukar kepada zikir. Dalam erti kata lain, Comel Pipi Merah versi zikir.

“Bersempena sambutan Ramadan ini, jadi saya merancang untuk menerbitkan lagu zikir. Lagu ini siap dirakam pada Selalu lalu yang mana proses rakaman lebih kurang sejam seorang.

“Bagi alunan zikir, kami dipantau Bazli Unic. Apa boleh dikatakan, ketika rakaman, Khai mengalunkan zikir dengan baik sekali. Diakui, saya pilih Khai kerana dia memiliki nyanyian yang baik, suara bagus dan faktor populariti,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Single itu akan menemui pendengar di semua platform digital dalam tempoh terdekat ini.

Penggambaran video muzik lirik pula dilakukan ketika proses rakaman berlangsung di studio.

Dalam pada itu, Khai mengakui tawaran yang diterimanya bagaikan mimpi.

Penyanyi muda yang meledak dengan lagu Bayang dan Luluh itu berasa teruja mengenangkan impian untuk bekerjasama dengan penyanyi pujaan ramai ini menjadi kenyataan.  

khai bahar pilihan siti nurhaliza 2

Kredit foto: Instagram Khai Bahar

“Apabila diberitahu pihak pengurusan mengenai tawaran ini, macam tidak percaya hingga membuatkan saya tidak terkata. Perasaan bercampur baur, gembira, terharu dan teruja.

“Saya merasakan sebagai penyanyi baru, bukan mudah nak bekerjasama dengan Tok Ti (Siti). Selama ini saya sekadar memasang impian. Tidak sangka pula ia menjadi kenyataan. 

“Terima kasih kepada Tok Ti dan pihak pengurusannya kerana memberi peluang serta kepercayaan untuk saya terbabit dalam lagu ini. Sejujurnya, hingga saat ini saya masih tidak percaya,” katanya sambil memberitahu ini kali pertama dia bertemu dengan Siti.

Begitupun, kata Khai, itu tidak bermakna dia boleh mendabik dada dengan pencapaian berkenaan, sebaliknya menganggap ia sebagai ruang untuk mempelajari sesuatu daripada penyanyi berpengalaman luas itu.

“Bukan saja saya, malah ramai lagi penyanyi lain yang mengimpikan untuk berduet dengan Tok Ti. Saya anggap ini rezeki untuk saya. Malah, ia satu pencapaian dalam kehidupan dan kerjaya apabila dapat merakamkan single duet.

“Tok Ti tidak lokek ilmu malah banyak berikan tunjuk ajar dan nasihat. Orangnya sangat baik. Kerjasama ini saya jadikan satu bentuk pengajaran untuk memajukan diri. Peluang sebegini bukan datang selalu,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)