Jika anda pernah menonton filem the Silence of the Lambs (1991), anda pasti kenal dengan watak Hannibal Lecter yang merupakan seorang psiko kanibal.
Barangkali tiada perkara yang lebih membingungkan daripada kanibalisme. Ia merupakan satu perkara larangan dalam mana-mana masyarakat dunia sekalipun dan seringkali dikaitkan dengan kejahatan, namun pada masa yang sama, ia membuatkan kita berasa ingin tahu dan tertanya-tanya mengapa ada manusia yang sanggup bertindak sedemikian.
Upacara amal yang melibatkan kanibalisme sebenarnya telah banyak direkodkan. Kami kongsikan lima faktor kanibalisme dan contoh-contoh manusia kanibal yang pernah terjadi sebelum ini:
#1 Menunjukkan kasih sayang
Puak Fore di Papua New Guinea misalnya, dikenali kerana memakan tubuh mayat sebagai tanda hormat dan rasa sayang untuk mengelakkan mayat daripada mereput atau dimamah haiwan dan serangga lain. Selain itu, upacara menjamah mayat itu dikatakan dapat memeliharanya daripada diganggu oleh roh jahat.
Puak Wari' dari Amazon berhampiran Brazil juga menggunakan kanibalisme sebagai salah satu upacara dalam ritual kematian mereka seperti puak Fore. Mereka mengamalkan upacara memakan mayat orang yang disayangi sehingga sekitar tahun 1960-an sebelum mubaligh Kristian menarik mereka memeluk agama itu.
#2 Membalas dendam
Memakan tubuh seorang musuh yang telah mati mungkin dianggap sebagai perbuatan membalas dendam yang paling ulung. Selain menunjukkan dominasi dan mencetuskan perasaan takut, memakan mayat musuh juga dikhabarkan boleh memindahkan kejayaan dan keberanian si mati.
Semasa berlakunya Perang Dunia Kedua, tentera Jepun telah melapah dan memakan tubuh tawanan perang yang telah mati.
Puak Korowai dari New Guinea pula mengamalkan upacara menjamah tubuh mayat yang merupakan ahli sihir jahat.
Semasa rejim pemerintahan bekas pemimpin Uganda, Idi Amin Dada dari 1971 hingga 1979, dia dilabel sebagai seorang pemimpin yang ganas, kejam sehingga dituduh memakan tubuh musuh-musuhnya. Apabila ditanya tentang perbuatan kanibalisme itu, dengan lantang dia menjawab "Saya tidak sukakan daging manusia. Dagingnya terlalu masin buat saya." Sama ada dia benar-benar bersalah atau tidak, hanya dia yang tahu.
#3 Perubatan
Tahukah anda, wujud juga unsur kanibalisme dalam bidang perubatan di seluruh dunia. Ada saja bahagian-bahagian badan yang dicampurkan ke dalam bancuhan ubat-ubatan.
Orang Cina menggunakan organ manusia selain kuku dan rambut dalam campuran ubatan mereka. Manakala pada zaman awal Greek pula, darah manusia digunakan untuk merawat penyakit sawan.
Walaupun manusia kanibal dilabel sebagai kejam, orang Eropah tetap memakan bahagian tubuh badan manusia sebagai rawatan perubatan. Sebagai contoh pada abad ke-16, pengikut ahli fizik Swiss bernama Paracelsus mengubati disenteri (berak darah) dengan memakan ubat yang mengandungi serbuk tengkorak manusia.
Pada kurun ke-17 pula, mumia yang dikisar lumat hingga menjadi serbuk digunakan untuk merawat sawan dan sakit perut di England. Dalam sesetengah kes, bukan calang-calang mumia yang digunakan - ada ramuan ubat yang memerlukan tubuh lelaki berambut merah yang mati digantung.
#4 Bahan masakan
Dikhabarkan daging manusia mempunyai rasa yang seakan-akan sama daging anak lembu dan juga daging khinzir.
Mungkin sebab itulah kaum Batak di Sumatra dilaporkan pernah menjual daging manusia di pasar.
Selain itu, di China, makanan yang berasaskan daging manusia pernah dianggap hidangan mewah semasa dinasti Yuan (abad ke-13 dan 14). Ketika itu, dikhabarkan daging kanak-kanak merupakan makanan paling enak atas muka bumi.
Negara itu juga melaporkan terdapat kes di mana kanak-kanak memotong anggota badan seperti paha atau lengan untuk digunakan dalam masakan sebagai tanda hormat.
#5 Ikhtiar dan kelangsungan hidup
Walaupun kanibalisme merupakan perkara larangan di seluruh dunia, ada kes-kes terpencil di mana ia boleh diterima akal seperti keadaan darurat untuk meneruskan hidup.
Menurut satu kajian, tubuh manusia secara puratanya dapat membekalkan 125,000 kalori kepada si pemakan. Bayangkanlah, seorang manusia normal hanya memerlukan sekitar 1,500 hingga 3,000 kalori sahaja setiap hari. Jika dapat makan satu mayat, seolah-olah makan kenduri berminggu-minggu lamanya.
Salah satu contoh terkenal kanibalisme untuk ikhtiar hidup ini melibatkan kisah jemaah Donner. Pada tahun 1846, seramai 87 emigran yang diketuai oleh George Donner meninggalkan Missouri untuk berhijrah ke California. Dalam perjalanan, mereka terperangkap dalam ribut salji yang tebal di Sierra Nevada.
Setelah berhadapan dengan kebuluran, mereka akhirnya terpaksa menjadi kanibal dengan memakan mayat yang telah mati.
Lagi satu kisah kanibalisme untuk meneruskan hidup ialah semasa berlakunya satu nahas kapal terbang di Pergunungan Andes pada tahun 1972. Antara 45 penumpang yang kebanyakannya merupakan pemain ragbi Uruguay, hanya 15 terselamat di penghujung pengalaman pahit selama 72 hari itu. Bagaimana mereka terselamat? Sudah tentulah dengan menjadi kanibal.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa kebanyakan kisah kanibalisme ini tidak dapat dibuktikan secara sahih kerana ia merupakan satu perkara terlarang dan tidak dapat dibincangkan secara terbuka. Mereka yang pernah memakan mungkin mengamalkan prinsip "Pandai makan, pandai simpan."
Adakah anda sanggup memakan daging manusia walaupun darurat? Bagaimana pula daging orang yang anda sayang?
2. History
4. Britannica
5. National Public Radio (NPR)
6. Time
7. Smithsonian