Kredit foto: New Straits Times

Tewas selepas berhabis RM20,000 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Azwan Ali, 52, akui tidak kecewa kerana sudah menjangkakan kekalahannya.

Azwan berkata, dia sedar akan hakikat menawan Bukit Antarabangsa yang dianggap mustahil untuk diusahakan dalam sekelip mata, apatah lagi dia bukanlah seorang ahli politik.

"Lebih afdal saya tidur saja. SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menghubungi saya minta datang ke tempat pengiraan undi tetapi saya beritahu takkan hadir kerana saya seorang saja dan tiada jentera penyokong.

"Saya bukan orang politik dan siapapun yang menang terpaksalah terima kerana itu kehendak rakyat," katanya memetik laporan BH Online.

Namun, katanya, apa yang lebih bermakna diraih dalam pengalamannya bertanding kali ini ialah perjuangan menentang abang kandungnya sendiri yang disifatkan sebagai sejarah dalam pencapaian hidup.

kalah bertanding pilihan raya umum 14 inilah jumlah undian diraih azwan ali 2

Kredit foto: The Star

"Saya tahu jika kalah akan hilang wang pertaruhan dan saya sudah niat sedekahkan kepada SPR. Tetapi perjuangan saya menentang Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) tetap menjadi satu sejarah dan pengalaman yang cukup menarik serta pencapaian yang membanggakan saya," katanya.

Tambah pemilik Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya itu, dia juga membiayai sendiri perjuangan sebagai calon Bebas tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan sebagaimana didakwa Azmin.

"Sejak awal saya tahu, saya adalah calon yang menang sorak tetapi orang melihat keunikan saya. Kalau saya nak bertanding, saya buat dan tidak 'propa' sehingga sanggup menggunakan wang sendiri tanpa adanya penaja walau difitnah pihak Azmin kononnya saya dapat dana daripada kerajaan," katanya.

Mengulas kekalahannya yang turut melibatkan kerugian wang ringgit, Azwan menegaskan ia tidak sewajarnya dijadikan isu memandangkan dia menggunakan duit sendiri yang dikumpul hasil kerjaya sebagai anak seni.

"Jika saya bertanding bukan di kawasan Azmin, mungkin akan dapat undi lebih besar. Apapun ini pengalaman pertama dan syukur dengan apa yang saya dapat,

"Saya tak luak apa-apa meskipun dikecam dan jika 'followers' semak status di Facebook, saya sudah tutup persoalan mengenai PRU-14. Saya tak mahu cakap lagi," katanya.

DUN Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan lima penjuru oleh penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari PKR, ditentang Azwan, Salwa Yunus (BN), Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamarudin (PRM).

Azwan bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan jumlah kutipan 90 undi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)