Oleh pada 14 Mar 2017 kategori

Menurut laman web Kementerian Pendidikan, bilangan pelajar di seluruh Malaysia (termasuk prasekolah) pada pertengahan 2016 adalah sebanyak 5,074,612 manakala jumlah guru pula hanyalah 421,828 orang sahaja. Ini bermakna nisbah guru dan murid adalah 1:12. Dalam erti kata lain, seorang guru perlu bertanggungjawab terhadap 12 orang anak murid. 

Sebagai seorang ibu atau bapa, jujurlah jawab, adakah anda mampu menjaga dan mendidik anak seramai ini?

cikgu cantik

Itu baru kita ambil nisbah secara umum dan 'pukul rata'. Kalau kita ambil nisbah semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pula, 1 guru perlu bertanggungjawab kepada lebih kurang 40 orang anak murid. Anda mampu jaga anak seramai itu?

Kalau anda jawab tak boleh, maka janganlah memandang profesion guru ini sebagai suatu benda yang remeh. Selalu benar kita dengar orang kata kerja cikgu ni senang. Tengah hari dah boleh balik rumah. Cuti banyak. Boleh jalan-jalan pergi kursus. Rilek je makan gaji tiap bulan. Tapi kita lupa, mereka punya tanggungjawab yang besar dan pada masa yang sama, mereka juga manusia biasa punya kehidupan berkeluarga seperti anda.

pelajar ugut cikgu sebab suruh baca buku teks 199

Banyak kali dah kita baca berita tentang ibu bapa yang menyerang guru, menyalahkan guru, saman guru, bagi arahan pada kementerian supaya transfer atau pecat guru...macam-macam lagilah. Tapi semua yang terjadi itu adakah semata-mata salah pihak sekolah dan guru? Ataupun anak kitalah puncanya?

Dulu, pekerjaan guru ini dipandang mulia dan dihormati masyarakat. Tapi lama-kelamaan orang kita seolah-olah dah tak peduli pun dengan cikgu. Sikit-sikit nak viral. Sikit-sikit terus serang pihak sekolah. Adakah ibu bapa generasi kini terlalu manjakan anak atau kita bertukar menjadi masyarakat yang semakin kurang beradab?

pelajar makin ramai yang kurang ajar dan biadap terhadap guru salah siapa

Dalam satu kelas, seorang guru perlu mengajar dan mendidik sehingga 40 orang pelajar. Anda yang baru beranak 3-4 orang pun boleh tersasul nama dan tak tahu pun apa minat anak-anak. Bayangkan cikgu yang kena mengajar banyak kelas. Berapa ramai pelajar yang perlu dihafal namanya dan dikenalpasti tahap pencapaian setiap seorang.

Kalau balik rumah awal pun cikgu perlu menyemak puluhan buku yang mempunyai berbagai-bagai jenis jawapan dan tulisan. Anda pernah tanda 40 esei pelajar? Anda di pejabat setakat semak kertas kerja seorang dua staf pun dah pening, inikan pula karangan pelajar yang ditulis tangan.

guru perlu menjada 40 orang murid pada satu satu masa 769

Selain itu guru-guru yang 'balik rumah awal' ni dah kena sediakan segala isi dan bahan bantu mengajar untuk keesokan hari. Kalau guru tu jadi penyelaras badan beruniform atau guru sukan pula mereka akan pulang lebih lewat dan perlu berada di sekolah sehingga ke petang.

Cuti sekolah sememangnya adalah panjang, namun seorang guru masih perlu hadir ke sekolah untuk menghadiri mesyuarat dan kursus. Mereka juga boleh dipanggil pada bila-bila masa oleh pihak sekolah apabila diperlukan. Guru yang terlibat dengan buku teks, misalnya, perlu korbankan cuti untuk datang ke sekolah sebelum sesi persekolahan bermula. Guru yang terlibat dengan murid yang menghadapi peperiksaan (seperti UPSR, SPM) pula perlu hadir ke sekolah pada hujung minggu untuk menguruskan kem motivasi, kelas tambahan, gotong-royong dan sebagainya. Jadi, apa guna cuti sekolah panjang pun?guru punya kerja sama macam pekerja lain juga tapi tanggungjawab itu lebih besar

Anda ada group whatsapp kelas? Kami percaya, anda sendiri boleh faham perangai ibu bapa zaman sekarang yang suka tanya soalan entah apa-apa. Kerap sangat bila cikgu dah bagi satu info, ibu-ibu ni boleh tanya lagi soalan yang sama 2-3 kali walaupun info yang diberi sudah jelas dan nyata. Kadang-kadang pukul 10-11 malam pun masih nak hantar mesej tanya ada homework atau tidak. Anda pernah tak terfikir, cikgu itu juga punya keluarga untuk dijaga dan anak-anak sendiri di rumah?

Ni belum sentuh bab ibu bapa yang suka memberi arahan kepada guru. "Cikgu, nanti ingatkan anak saya minum air." "Cikgu, tolong tengokkan anak saya masa turun tangga nanti. Takut dia jatuh." "Cikgu, tolong tangkap gambar anak saya."

Apa erti semua ini?

kumpulan whatsapp ibu bapa banyak memberi arahan kepada guru

Foto kredit: Oh My Media

Guru-guru ni dah terlalu ramai bos di sekolah dan jabatan yang sentiasa memberi arahan. Kalau ibu bapa pun sibuk nak jadi bos juga, susahlah. Lepas tu apabila guru tak ikut cakap anda, buat tak kena gaya, anda terus viralkan. Apa kata, kalau anda rasa tidak berpuas hati apa-apa, bawalah berbincang terlebih dahulu dengan guru terbabit dan pihak sekolah. Takkanlah cikgu jentik anak sikit sebab tak siapkan kerja sekolah, anda dah nak melenting buat laporan di surat khabar? Janganlah manjakan sangat anak. 

Buat para guru, semoga anda terus menjadi inspirasi, sentiasa istiqomah dan ikhlas dalam mendidik anak-anak bangsa ini supaya menjadi 'manusia' apabila dewasa kelak. 

Para ibu bapa pula, jadilah ibu bapa yang terbaik buat anak-anak dan ingatlah bahawa didikan anak semuanya bermula dari rumah. Guru hanya bertanggungjawab mengajar dan mendidik pada waktu sekolah. Itu pun hanya terhad kepada beberapa waktu mengajar sahaja. Selebihnya, andalah mentor utama anak-anak. Ajarlah anak supaya hormatkan guru dan sentiasa berdisiplin dengan mematuhi peraturan sekolah. Di sinilah peranan anda untuk lead by example. 

didik anak dari rumah dan jangan lepas tangan dan berharap cikgu pula boleh mendisiplinkan anak anda 688

Tapi kalau dah tak suka sangat pada pihak sekolah dan guru, bolehlah cuba homeschoolkan anak. Ajar dan bentuklah mereka sesuka hati anda. Nak acuan bentuk bahulu ke, bentuk donat ke, pilihan di tangan anda.


tags : , , , , , , , , ,








Hakcipta iluminasi.com (2017)