jalaluddin hassan beri hantaran kerusi urut

Kredit foto: Astro Awani

Pelakon veteren Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan kelainan yang dibuat dalam majlis kahwinnya hari ini (Ahad) dengan pemberian hantaran berupa kerusi urut kepada bakal isterinya.

Jalaluddin berkata, hadiah itu untuk kemudahan isterinya, Rapidah Abd Ghani, 44, berehat selepas keletihan membuat kerja rumah.

"Pihak saya akan memberikan lima dulang hantaran termasuk kerusi urut berkenaan, manakala pihak perempuan akan membalas dengan tujuh dulang hantaran.

"Dia memang memerlukan kerusi urut itu kerana banyak membuat kerja-kerja rumah. Dengan adanya kerusi urut, senang untuk dia beristirehat," katanya mengulas kerusi yang bernilai RM20,000 itu.

Pelakon berusia 63 tahun ini bakal mendirikan rumah tangga dengan Rapidah, yang juga seorang ibu tunggal, hari ini di Masjid Bandar Tun Hussein Onn.

Jalaluddin berkata, dia bakal mengadakan sebuah majlis dalam kadar sederhana kerana ianya hanyalah perkahwinan kedua.

"Kali ini saya tidak akan bersanding, buat yang wajib sahaja iaitu akad nikah di masjid.

"Saya memang berniat untuk membuat majlis ala kadar sahaja sebab saya ni bercerai mati, bukannya bercerai hidup," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin merancang untuk berkunjung ke kubur arwah isterinya pada awal pagi sebelum berlangsungnya majlis akad nikah.

Menyentuh persiapan perkahwinan, beliau berkata, segala urusan diserahkan kepada anak dan menantu.

"Sebab majlisnya ringkas sahaja, saya bagi anak dan menantu yang uruskan termasuklah membuat hantaran dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, pada 9 Oktober, menurut portal Mstar, Jalaluddin sedang berkawan dengan seorang ibu tunggal berusia 44 tahun yang ditemui menerusi laman sosial Facebook.

Jalaluddin pernah berkahwin dengan Datin Hashimah Mad Ehsan, namun usia 40 tahun perkahwinan itu berakhir apabila arwah meninggal dunia pada 5 November 2016 kerana komplikasi pelbagai penyakit, antaranya kencing manis dan paru-paru berair.

Sumber berita: Mstar

tags : , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)