perkahwinan jalaluddin rapidah mulanya dihalang

Kredit foto: Astro Gempak

Pelakon veteren Datuk Jalaluddin Hassan hampir tidak bersama isteri, Rapidah Abd Ghani pada awal hubungan yang mendapat tentangan ibu mertuanya iaitu Esah Samad, 77.

Hanya kerana dia seorang selebriti, keputusan memperisterikan Rapidah hampir dihalang, sebelum dia berjaya meyakinkan dengan sokongan abang kepada isterinya, pengarah dan aktivis teater iaitu Lokman Ghani.

"Alhamdulillah anak-anak memang tidak menghalang saya berkahwin malah mereka rasa berdosa kerana tidak dapat jaga saya dengan baik sebelum arwah isteri meninggal.

"Bagaimanapun ibu mertua kurang bersetuju, maklumlah artiskan, girlfriend banyak... hahaha!

"Namun ibunya terbuka hati menerima saya selepas diyakinkan oleh Lokman yang juga rakan baik saya dan kami pun banyak mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini," katanya.

Pagi Ahad menyaksikan Jalaluddin dan Rapidah, 44, disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn.

Aktor yang pernah diangkat Pelakon Drama Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama 3 tahun itu berkata, Rapidah mengingatkan dirinya kepada Allahyarham isterinya, Hashimah Mad Ehsan yang meninggal dunia pada 5 November 2016.

"Kami kali pertama bertemu ketika menghadiri rumah terbuka Lokman pada Aidifitri yang lalu dan apabila melihatnya melayan tetamu dan pergerakannya ia mengingatkan saya kepada arwah isteri.

"Kami sempat bergambar bersama dan saya berikan nombor telefon saya kepadanya kerana ingin meminta dia menghantar gambar yang diambil kepada saya.

"Selepas itu barulah kami mula berkenalan dan seterusnya Alhamdulillah dipertemukan jodoh," katanya.

Rapidah yang juga ibu tunggal kepada empat orang anak berkata, dia tidak menyangka akan menjadi isteri kepada Jalaluddin.

Mengambil tempoh lama untuk mempertimbangkan lamaran pelakon itu, Rapidah akhirnya terbuka hati selepas melihat sikap bertanggungjawab serta penyayangnya terhadap anak-anak dan cucu-cucu beliau.

"Pada awalnya memang tiada niat hendak berkahwin pun tetapi apabila dah berkenalan saya lihat beliau seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.

"Anak-anak saya pun semua bersetuju saya berkahwin kerana kata mereka solat saya tidak banyak pahala berbanding solat bersama suami lebih banyak ganjaran," katanya.

Ditanya tentang reaksinya yang sebak ketika membaca taklik selepas akad nikah, Jalaluddin memberitahu dia teringatkan arwah isteri, di samping mengenangkan peranan besar yang akan dipikul sebagai suami kepada Rapidah.

"Saya sedar tanggungjawab saya berat dan itu membuatkan saya sebak namun saya bersyukur kerana sepanjang 40 tahun perkahwinan dengan arwah isteri saya sudah melatih diri tentang erti kesetiaan dan tanggungjawab.

"Saya berhenti membaca taklik itu kerana janji itu adalah pada arwah tetapi sekarang janji itu beralih kepada Rapidah," katanya.

Merancang untuk berbulan madu di Russia, niat Jalaluddin ditolak Rapidah, sebaliknya isterinya itu mahu meluangkan masa mengenali anak-anak dan cucu-cucunya dalam usaha mengeratkan hubungan keluarga.

"Katanya inilah masa dia ingin mengenali anak-anak saya dan cucu-cucu tambahan pula musim cuti sekolah pun bakal bermula.

"Insya-Allah jika tiada halangan kami akan mengerjakan umrah pada Februari tahun hadapan," katanya.

Sumber berita: Mstar

tags : , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)