jack ma dan alibaba

Jack Ma, antara contoh dari miskin, kepada orang kaya, malah antara yang terkaya di dunia. Beliau merupakan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group. Ia bermula daripada minatya terhadap Bahasa Inggeris yang mendorong beliau bergaul dengan orang asing ketika berada di China.

Dari situ beliau lebih berfikiran terbuka, yang menyumbang kepada kejayaannya hari ini. Sehingga Ogos 2017, Alibaba mempunyai 529 juta pengguna aktif di seluruh dunia. Alibaba beroperasi di lebih 200 buah negara dan merupakan syarikat peruncitan terbesar di dunia, mengalahkan Walmart.

BESARKAN TEKS     A-  A+

jack ma seorang yang tidak pernah putus asa

Jualan atas talian dan keuntungan Alibaba melebihi jumlah gabungan antara Walmart, Amazon dan eBay, sejak tahun 2015. Kini Jack Ma merupakan individu terkaya di China dan Asia, dan ke-23 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan RM164 billion.

Sungguh menakjubkan, dan bagaimana seorang guru Bahasa Inggeris mampu melakukannya? Jom baca kisah beliau.

Mula dengan minat terhadap Bahasa Inggeris

jack ma ketika kecil

Jack Ma berminat dengan Bahasa Inggeris ketika berusia 12 tahun. Disebabkan minat yang sangat menggunung, beliau akan berbasikal setiap hari yang mengambil masa 40 minit, meredah hujan dan salji menuju ke hotel di daerah Hangzhou. Di situ terdapat ramai pelancong asing, dan Jack menggunakan kesempatan itu menjadi pemandu pelancong secara percuma, bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggerisnya.

Beliau melakukan aktiviti tersebut selama 8 tahun, dan ia benar-benar mengubah Jack, menjadi orang China yang lebih berfikiran luas daripada yang lain. "Apa yang saya belajar di sekolah dan dari buku sangat berbeza dengan apa yang pelancong asing beritahu saya,".

jack ma dan rakannya dari australia

jack ma di sydney

Pada 1979, berlaku satu perkara lagi yang mengubah diri beliau. Jack bertemu dengan sebuah keluarga dari Australia yang mempunyai 2 orang anak. Jack mula rapat dengan mereka walaupun hanya menghabiskan masa 3 hari bersama. Hubungan itu berterusan apabila mereka menjadi rakan sahabat pena (pen pals). Dan 6 tahun kemudian Jack dijemput untuk ke Australia oleh keluarga ini, dan menghabiskan sebulan di sana.

Jack diajarkan bahawa China adalah negara paling kaya dan gembira di dunia, dan pengalaman beliau tinggal di Australia telah mengubah pandangannya. Beliau mula untuk berfikir secara berbeza.

Gagal berkali-kali dalam ujian dan permohonan kerja

Ketika di zaman universiti, Jack mengalami kesukaran untuk menyambung pelajaran. Beliau gagal dalam ujian kemasukan ke universiti sebanyak 2 kali sebelum diterima masuk ke Hangzhou Teachers Univesity, universiti yang paling teruk di bandarnya. Beliau menyambung pelajaran dalam kursus Bahasa Inggeris dan bercita-cita menjadi guru sekolah menengah. 

jack ma ketika menjadi seorang guru

Jack Ma merupakan satu-satunya graduan yang ditugaskan mengajar di universiti daripada 500 graduan selepas tamat belajar, dengan bayaran sebanyak 100 hingga 200 renminbi sebulan (RM48 - RM60). Beliau kemudiannya ingin mencuba perkara baru, dan ketika China sedang berkembang, Jack memohon pekerjaan lain. Malangnya, kesemua 30 permohonan ditolak.

Beliau juga pernah memohon kerja di KFC, dan daripada 24 pemohon, 23 daripadanya diterima, kecuali Jack. Perkara yang sama berlaku apabila beliau memohon untuk menjadi anggota polis, 4 daripada 5 permohonan diterima, kecuali beliau. Ketika Jack dan sepupunya memohon untuk menjadi pelayan di hotel 4 bintang, sepupunya yang mendapat markah lebih rendah daripadanya diterima bekerja, dan Jack gagal.

Ia seperti ingin memberitahu bahawa takdir Jack untuk menjadi billionaire dan orang terkaya di China.

Menurut beliau, kegagalan tersebut sangat menyakitkan, namun Jack sedar ia merupakan persediaan baginya untuk menjadi seorang usahawan. 

"Jika anda tak boleh biasa dengan kegagalan, seperti peninju tak biasa menerima tumbukan, bagaimana anda nak menang?"

Mengenali internet buat kali pertama

Jack kemudiannya berangkat ke Seattle pada tahun 1995 sebagai penterjemah untuk delegasi perdagangan. Dan ketika itulah rakannya di Amerika Syarikat menunjukkan internet kepada Jack buat kali pertama. Beliau dan rakannya cuba mencari perkataan "beer" dan Yahoo di internet.

jack ma ketika baru mula menceburi bidang e commerce

Namun mereka terkejut apabila melihatkan tiada maklumat mengenai China (beer di China sangat popular), dan sekali lagi mencari maklumat umum mengenai China. Sekali lagi mereka gagal menemui apa-apa maklumat. 

Mereka mendapat idea untuk membina dan melancarkan laman web "China Pages". Ketika itu Jack Ma langsung tidak tahu apa-apa mengenai komputer atau e-mel. Namun beliau meminjam wang sebanyak USD2000 untuk menubuhkan syarikatnya. Syarikat tersebut kemudiannya beroperasi dan bersaing dengan China Telecom hampir setahun.

Syarikat pertamanya gagal

Melihatkan potensi pada syarikat Jack, China Telecom mengajak bekerjasama dan menawarkan USD185,000 pelaburan. Jack Ma yang tak pernah melihat wang sebanyak itu dalam hidupnya, bersetuju dengan tawaran itu. Malangnya China Telecom memiliki 3 kerusi lembaga lebih daripada China Pages, membuatkan segala idea Jack tidak didengari. Akhirnya Jack meletakkan jawatan.

Tidak berputus asa dengan impiannya untuk membina syarikat e-dagang, Jack mencuba sekali lagi pada tahun 1999. Kali ini beliau mengumpulkan 18 rakannya di dalam apartmentnya. Beliau menerangkan visi dan misinya, selama dua jam.

kumpulan pertama alibaba

Selepas yakin dengan ucapan Jack, mereka masing-masing mengeluarkan modal sebanyak USD60,000 secara keseluruhan. Wang tersebut menjadi modal permulaan Alibaba yang didaftarkan pada 4 April 1999. Nama Alibaba dipilih kerana ia kedengara seperti global serta mudah dieja.

Bermula dari bawah semula

Disebabkan tidak mempunyai wang yang banyak, tiada teknologi serta tiada perancangan, mereka terpaksa menggunakan wang yang ada dengan cermat. Jack menggunakan apartmentnya sebagai pejabat untuk permulaan. Dan pada Oktober 1999, selepas 6 bulan beroperasi, syarikat Goldman Sahcs dan Softbank masing-asing melaburkan USD5 juta dan USD20 juta kepada Alibaba. Ia membuatkan Alibaba mampu berkembang sehingga kini.

jack ma agak kelakar

Menurut Jack, Alibaba berjaya di China kerana mereka percayakan satu perkara, dengan fokus dalam membantu syarikat tempatan kecil dan sederhana membuat keuntungan. Model perniagaan ini dicipta sendiri, dan Alibaba tidak meniru mana-mana model perniagaan dari Amerika Syarikat yang banyak dilakukan oleh usahawan internet China.

Alibaba fokus kepada kualiti produk, dengan cara "click and get it". Jika produk tersebut tidak boleh didapati, ia tak berguna.

Sekali lagi diuji

Namun, Alibaba sendiri mengalami cabaran demi cabaran. Alibaba telah melakukan kesilapan besar, kerana berkembang terlalu cepat. Syarikat itu hanya mempunyai bajet yang cukup untuk bertahan selama 18 bulan menjelang 2002. Disebabkan kebanyakan pengguna Alibaba adalah ahli percuma, Alibaba tidak mampu mencipta keuntungan.

Mereka kemudiannya menghasilkan produk untuk pengeksport China menjual kepada pembeli dari Amerika Syarikat secara online, dan teknik berhasil serta telah menyelamatkan Alibaba. Menjelang penghujung tahun 2002, keuntungan Alibaba hanyalah USD1. Namun Alibaba berkembang setiap tahun. Dan kini, pendapatan Alibaba adalah sebanyak RM100 billion (2017).

Jangan pernah menyerah kalah

nasihat jack ma

Banyak yang telah dipelajari Jack Ma sepanjang berada dalam industri ini, iaitu anda perlu membuatkan pasukan anda mempunyai nilai, inovasi dan visi. Yang penting, jika anda tidak menyerah kalah, anda masih mempunyai peluang. Dan apabila syarikat anda kecil, fokus dan bergantung kepada otak anda, bukannya kekuatan anda.

"Apa yang penting dalam hidup saya adalah saya mampu untuk berbuat sesuatu yang dapat mempengaruhi ramai orang, dan pembangunan China. Dan apabila saya menjadi diri sendiri, saya lebih relaks dan gembira, membuatkan saya mampu memperoleh hasil yang baik,".

Rujukan:

1. Business Insider

2. CNBC

3. Inc




Hakcipta iluminasi.com (2017)