ippo hafiz kahwin

Kredit foto: Instagram Kaki Foto & Instagram Kaki Tembak

    

Dengan hanya sekali lafaz, penyanyi dan komposer Ippo Hafiz sah bergelar suami kepada Fara Roslan, 31, dalam satu majlis yang diadakan di Impian Abadi, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 9.22 malam tadi.

Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz, 30, menyerahkan mas kahwin RM80 dan wang hantaran sebanyak RM20,000, diiringi tujuh dulang hantaran, berbalas sembilan dulang daripada pihak perempuan.

Ippo dan Fara Roslan atau nama penuhnya, Norfarahin Mohd Roslan, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Roslan Marwi sambil disaksikan Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Mohd Abd Nasir Abdullah.

    

isteri ippo hafiz

Kredit foto: Instagram Kaki Foto & Instagram Kaki Tembak

      

“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar. Maka, bermula sudah fasa baru dalam hidup kami selain tanggungjawab yang perlu dijalankan sebagai suami dan isteri.

“Macam orang lain juga, hari ini saya berasa cukup gementar dan dalam masa sama teruja. Mungkin sebab pengalaman pertama.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudi bekerjasama dalam menjayakan majlis pernikahan kami ini. Doakan yang terbaik buat kami semoga perkahwinan ini dirahmati dan kekal hingga ke jannah,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, pihak perempuan kelihatan anggun dalam busana pernikahan rona biru cair di majlis yang berlangsung dalam cuaca hujan renyai itu.

Tidak ketinggalan, kelibat keluarga daripada kedua-dua belah pihak sebagai tetamu, termasuk rakan terdekat dan teman artis seperti Sissy Iman, Sarah Suhairi, Shahrizal Jaszle, Rohana Jalil dan ramai lagi.

Pasangan itu mula berkenalan sewaktu menjayakan video muzik Saat Bahagia, sebelum mengikat tali pertunangan pada 10 Mac lalu.

    

Sumber:

1. Dengan Sekali Lafaz, Ippo Hafiz Selamat Bergelar Suami... Tahniah!

2. Ippo Hafiz Selamat Bergelar Suami

    



Hakcipta iluminasi.com (2017)