Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin bakal menjalani proses berpantang menerusi pakej bertaraf lima bintang.

Pakej penjagaan ibu dan anak kendalian Natalis Mother Care selama 44 hari itu antaranya merangkumi perkhidmatan berurut selepas bersalin dan aktiviti bertunku yang menjadi amalan ibu bersalin turun temurun.

Tidak sekadar itu, penyanyi kesayangan ramai ini juga akan mendapat makanan berkhasiat secukupnya dengan berpandukan jadual yang ditetapkan.

inilah pakej berpantang bertaraf 5 bintang ditempah siti nurhaliza 2

Kredit foto: Mstar Online

Pemilik pusat khdmat penjagaan itu, Suzita Wirjon, 38, berkata, pihaknya antara lain menyediakan dua orang pekerja yang bakal berkhidmat kepada Siti dan bayinya.

"Pakej berpantang selama 44 hari yang diambil oleh Siti itu merupakan yang paling istimewa di mana kami menyediakan makanan harian yang akan dihantar ke hospital dan rumah Siti, urutan tradisional serta bertungku.

"Selain itu pihak Natalis juga menghantar dua orang pekerja yang akan menjaga Siti dan bayinya pada waktu malam kerana mereka memerlukan penjagaan yang terbaik," kata Suzita kepada portal Mstar Online.

Turut disediakan khas buat penyanyi tersohor negara itu ialah ikan salmon berkualiti yang bukan sahaja menjadi makanan kegemaran beliau, malah sebagaimana yang diketahui umum ia kaya dengan khasiat yang tinggi.

inilah pakej berpantang bertaraf 5 bintang ditempah siti nurhaliza 3

Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

Tidak ketinggalan, bubur nasi antara menu lain memandangkan ia menjadi sajian utama yang disarankan doktor di mana sesuai untuk para wanita yang melahirkan anak secara pembedahan.

Suzita mengatakan Siti mampu menurunkan berat badan dengan segera sekiranya beliau komited menurut aturan pemakanan yang telah ditetapkan.

"Bagi makanan harian untuk Siti, kami sediakan ikan salmon yang berkualiti. Siti sendiri yang membuat pemintaan nak makan ikan itu.

"Doktor pun ada sarankan untuk wanita bersalin secara pembedahan ini bubur nasi turut membantu mengenyangkan selain memudahkan proses penghadaman.

inilah pakej berpantang bertaraf 5 bintang ditempah siti nurhaliza 4

Kredit foto: Mstar Online

"Siti juga boleh turunkan berat badannya dengan cepat jika dia ikut aturan permakanan yang betul seperti disediakan," ujarnya.

Bercakap soal harga, Suzita berkata, pakej yang diambil Siti itu bernilai RM8,800 di mana menawarkan makanan tambahan termasuk perkhidmatan dua orang pekerja.

Begitupun, nilai sebenar yang dibayar Siti tidak boleh dimaklumkan kepada umum.

Pakej daripada Natalis Mother Care ini turut diguna pakai oleh beberapa selebriti popular lain, antaranya Jihan Muse, Nora Danish, Fouziah Gous dan Eira Syazira.

Terdahulu, Siti melahirkan bayi berjantina perempuan pada jam 8.17 pagi semalam, di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Buat sementara waktu ini, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa meminta netizen memanggil bayi berkenaan dengan nama Fatimah Az-Zahra sebagai nama sementara sebelum pengumuman rasmi nama sebenar yang bakal dibuat seminggu dari sekarang.

Ia merupakan anak sulung perkahwinan Siti dan Khalid selepas 11 tahun berumah tangga.




Hakcipta iluminasi.com (2017)