Kredit foto: Instagram Siti Nurhaliza

Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, tidak merancang untuk mewujudkan akaun Instagram anak perempuan sulungnya yang dijadualkan lahir pada Mac ini.

Siti berkata, apa yang lebih penting adalah kesihatan dirinya sebagai ibu dan bayi dalam kandungan.

“Saya pasti setiap orang ada alasan tersendiri kenapa ingin mewujudkan akaun Instagram anak. Bukan saja di kalangan selebriti, tetapi orang biasa pun ada juga.

“Sudah tentu, IG ini boleh mengabadikan segala momen dan melihat perkembangan anak. Ini satu lagi cara untuk berkongsi kepada peminat.

“Cuma saya belum fikir nak buat atau tidak. Kalau anak tak ada akaun IG sendiri pun, saya akan muat naik di IG sendiri dahulu. Bagi saya, ia sama saja,” katanya menurut portal Harian Metro.

Antara selebriti yang mewujudkan laman sosial buat anak termasuk Amar Baharin dan Amyra Rosli, Shaheizy Sam, Hanis Zalikha, Rozita Che Wan dan Awal Ashaari.

Malah, ada di antaranya seperti Azwan Kombos yang mencipta akaun Instagram untuk bayi yang belum dilahirkan lagi 

Siti berkata, dia mengambil pendirian untuk menghormati keputusan yang dibuat suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa dalam soal membabitkan keluarga dan anak.

“Ketika saya berkongsi video ujian imbasan kehamilan sebelum ini, suami minta saya buang. Katanya, terlalu awal.

“Sama juga dalam perkara ini, saya tidak boleh buat keputusan sendiri. Saya perlu menghormati pendirian suami. Saya ikut mana yang dirasakan sesuai.

“Kadang saya okey, suami pula sebaliknya. Jadi, saya kena patuh. Mungkin apa yang difikirkan suami ada betul dan rasionalnya. Jadi, saya tak boleh ikut kepala sendiri,” katanya.

Siti yang sedang mengandung tujuh bulan itu ditemui di majlis pembukaan cawangan baru Jakel dan Ariani di Bangi, pagi semalam.

Menurutnya, ini merupakan kemunculan terakhir beliau di khalayak kerana akan mengambil cuti bersalin.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)