Oleh pada 11 Feb 2019 kategori

Adakalanya sesuatu perkara dirasakan seperti tidak dapat diungkapkan melalui kata-kata. Mungkin begitulah yang dialami oleh pemain tenis bertaraf dunia, Andy Murray, ketika menghadapi salah satu hari bersejarah dalam hidupnya.

Melalui satu hantaran Twitternya pada tahun 2015, Murray berjaya 'menceritakan' tentang segala persiapan menjelang hari bahagianya di jinjang pelamin. Walau bagaimanapun, tweet tersebut tidak mengandungi sebarang perkataan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ia hanya mempunyai satu siri emoji yang sudah cukup menggambarkan kesemua persiapan ke gereja, cincin perkahwinan, sesi fotografi, majlis sambutan, perasaan gembira dan segala-gala yang berkaitan dengan perkahwinannya.

andy murray twitter emoji

Tweet Murray dianggap sebagai satu permulaan dalam bentuk komunikasi yang baru. Menurut Vyvyan Evans, seorang profesor linguistik yang juga merupakan penulis buku "The Emoji Code: The Linguistics behind Smiley Faces and Scaredy Cats", emoji adalah satu bentuk komunikasi bersifat universal pertama yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Ia juga mula dianggap bahasa universal terbaru di dunia.

Emoji sebagai lingua franca

Apabila Keith Broni iaitu seorang pakar psikologi perniagaan diambil bekerja sebagai penterjemah emoji pertama di dunia untuk membantu pihak Today Translations pada tahun 2017, ia telah menimbulkan satu persoalan. Jika benar emoji merupakan lingua franca global pertama di dunia, mengapa ia masih perlu ditafsir dan diterjemah?

keith broni merupakan penterjemah emoji pertama di dunia

Broni menjelaskan yang di sebalik gembar-gembur tersebut, emoji pada dasarnya bukanlah bersifat "sejagat" mahupun merupakan suatu "bahasa" sebenar. Ia adalah sejenis alat linguistik untuk melengkapkan penggunaan bahasa seharian. Dalam erti kata lain, emoji dengan sendirinya tidak boleh membentuk sebuah kod komunikasi antara dua pihak. Sebaliknya, ia hanya digunakan sebagai 'penambah perisa' dalam teks dan mesej di media sosial seolah-olah seperti satu tanda baca tambahan.

Ia bukanlah menidakkan nilai kewujudan emoji, namun Broni percaya bahawa dalam zaman moden ini, emoji mampu menyelesaikan masalah yang telah membelenggu prosa dan teks sejak dulu lagi. Keterbatasan yang wujud telah menjadi batu penghalang bagi ramai penulis untuk menyatakan nuansa, nada dan emosi dengan tepat dalam mesej yang ingin disampaikan melalui penulisan.

Emoji memberikan peluang bagi para penulis untuk menyuntik konteks emosi dan rasa empati ke dalam e-mel, teks pesanan dan hantaran media sosial. Dengan emoji, seseorang boleh meluahkan perasaan dengan mudah dan lebih "natural" sebagaimana yang biasa dilakukan apabila bersemuka sambil menggunakan ekspresi wajah atau gerak isyarat.

menghantar teks banyak menggunakan emoji

Selain itu, memandangkan komunikasi elektronik kini menjadi lebih pendek, pantas dan mengandungi lebih banyak bahasa percakapan, penggunaan emoji dilihat sebagai suatu keperluan. Jika tiada muka senyum atau bergurau, baris mesej yang pendek berisiko untuk dibaca sebagai sesuatu yang negatif, biadab atau bersifat mengarah.

Namun begitu, kebergantungan terhadap emoji untuk merapatkan jurang tersebut juga boleh mencetuskan masalah lain. Kebiasaannya, emoji yang diakses melalui telefon pintar di seluruh dunia adalah tidak jauh berbeza. Akan tetapi, maksud sebenar di sebalik penggunaannya mungkin sangat ketara - bergantung kepada budaya, bahasa dan generasi.

Emoji yang sama, tafsiran yang berbeza

Misalnya, simbol thumbs-up mungkin memberi makna keizinan atau "OK" dalam budaya di Malaysia dan juga di Barat. Walau bagaimanapun, tradisi di sesetengah lokasi dari Greece dan Timur Tengah mungkin menterjemahkannya sebagai sesuatu yang kesat malah boleh menyinggung perasaan.

Begitu juga dengan emoji 'malaikat' dengan gelung halo di atas kepala yang biasa digunakan sebagai tanda 'suci' atau telah melakukan sesuatu perkara baik. Emoji yang sama itu dilihat sebagai isyarat kematian dan boleh dianggap sebagai suatu ugutan di China.

Di China juga, emoji yang hanya sedikit tersenyum tidak dianggap sesuatu yang menggembirakan langsung. Penggunaan emoji ini menandakan rasa tidak percaya, curiga dan boleh menjadi tanda seseorang sedang mengejek anda.

emoji infografik makna sebenar dan salah faham

Kekurangan sifat kesejagatan dalam penggunaan emoji ini pernah ditekankan dalam satu kajian bagaimana orang Muslim menyuarakan pandangan dan pemikiran berkaitan Ramadan pada tahun 2017.

Hamdan Azhar dari prismoji.com melaporkan hantaran Twitter mengandungi #ramadan dalam bahasa Inggeris, Jerman, Sepanyol dan Turki lebih tinggi kebarangkalian untuk digunakan bersama emoji hati merah. Sebaliknya, hantaran Twitter dalam bahasa Arab, Urdu dan Parsi kebiasaannya menggunakan emoji bulan sabit.

Begitu juga dengan emoji tangan yang disatukan di mana ia merupakan antara tiga emoji paling kerap digunakan dalam bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol, Turki, Parsi dan Indonesia manakala ia berada di tempat ke sembilan dalam bahasa Arab serta amat jarang digunakan di kalangan pengguna Urdu.

whatsapp emoji boleh disalahertikan

Mungkin ini menunjukkan bahawa gaya menyatukan telapak tangan ini tidak mempunyai kaitan dengan doa dan solat bagi orang Islam tetapi di negara Barat, ia sangat berkait rapat dengan simbol keagamaan.

Namun demikian, berlainan pula kisahnya dengan penggunaannya di Jepun iaitu negara asal emoji. Ia biasanya digunakan untuk memberi makna 'terima kasih' atau 'tolong' tanpa menimbulkan sebarang konotasi agama.

Kes mahkamah yang melibatkan emoji

Tidak kira bagaimanapun kita mahu sesuatu emoji ditafsir, penerima atau pembacanya mungkin mempunyai suatu pendapat yang lain. Ia juga adakalanya boleh menyebabkan seseorang terpalit dengan kejadian yang lebih rumit. Kita ambil satu kes di Israel yang berlaku awal tahun 2019 sebagai contoh.

kes mahkamah berkaitan emoji

Seorang bakal penyewa telah menghantar mesej kepada tuan rumah selepas meninjau rumah yang ingin disewa. Mesej tersebut mengandungi satu siri emoji yang menggambarkan keraian dan kegembiraan. Walaupun begitu, penyewa tersebut kemudian menarik diri.

Malangnya, tuan rumah telahpun memadam kesemua iklan dan menarik kekosongan rumah tersebut dari pasaran. Dia membawa kes tersebut ke mahkamah dan hakim menyatakan emoji yang dihantar itu sudah cukup untuk menggambarkan keinginan mereka untuk menyewa. Akhirnya, 'bakal penyewa' tersebut diarahkan membayar ganti rugi sebanyak 8,000 shekel (RM8,933) dan juga menanggung segala kos guaman tuan rumah.

Menurut Keith Broni, selagi semua individu mengamalkan sikap berhati-hati dalam penggunaan emoji dan menjaga sensitiviti semua pihak, piktograf kecil ini sebenarnya mampu merapatkan jurang komunikasi sesama manusia. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)