Menurut kajian yang dijalankan pada tahun 2012, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia melaporkan bahawa sekitar 23.3% pemandu dalam kemalangan maut adalah positif alkohol.

Malaysia mempunyai kadar kematian ketiga tertinggi untuk kemalangan jalan raya di Asia dan Asean, di belakang Thailand dan Vietnam.

Kejadian malang ini semakin menjadi-jadi membuatkan orang awam menggesa kerajaan untuk memperketatkan undang-undang berkenaan kesalahan ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum mengetahui undang-undang berkenaan dengan kesalahan memandu, kita perlu tahu tentang apa yang dimaksudkan dengan memandu dalam keadaan mabuk.

Definisi memandu dalam keadaan mabuk

kemalangan melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol

Tidak seperti yang anda fikirkan, seseorang itu tidaklah terus berhadapan dengan masalah selepas meminum alkohol dan kemudiannya memandu.

Seseorang itu hanya akan ditahan pihak berkuasa juga diperiksa mempunyai alkohol dalam badan dalam jumlah tertentu.

Pemeriksaan alkohol dalam badan dilakukan dengan tiga cara dan jumlah ini dinyatakan di bawah seksyen 45G dalam Aktra Pengangkutan Jalan 1987, iaitu:

  1. 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas, atau
  2. 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah, atau
  3. 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing

Yang paling mudah untuk difahami adalah kandungan alkohol dalam darah (BAC), di mana jumlah alkohol dalam 100 mililiter darah perlu mencapai 80 miligram, atau 0.08%.

Menurut BACtrack, jika seseorang itu meminum alkohol dengan jumlah "standard" setiap jam, kandungan alkohol dalam badan tidak akan melibihi jumlah 0.08% BAC ini.

Institut Kebangsaan mengenai Penyalahgunaan Alkohol (NIAAA) Amerika Syarikat mentakrifkan minuman standard ini sebagai 354ml bir atau 148ml wain.

Angka-angka ini boleh mengelirukan kerana untuk mencapai 0.08% BAC, ia berbeza bagi setiap orang disebabkan oleh perbezaan fizikal dan metabolisma.

Cara yang paling tepat untuk mengetahui jumlah ini adalah dengan memiliki breathalyzer, alat yang digunakan oleh polis untuk mengukur jumlah alkohol dalam nafas pemandu.

keratan akhbar berkenaan kemalangan melibatkan pemandu mabuk

(Keratan akhbar berkenaan kemalangan melibatkan pemandu mabuk)

Dan ini membawa kita ke seksyen 45B Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memberikan kuasa kepada polis untuk melakukan ujian pernafasan.

BAC bukan hanya boleh diuji dengan cara ujian nafas, tetapi ia adalah cara yang paling biasa kerana breathalyzer adalah mudah alih.

Pegawai polis yang berpakaian seragam boleh melakukan ujian pernafasan ke atas orang awam jika mengesyaki:

  1. Individu terbabit melakukan kesalahan di bawah seksyen 44 atau 45 atau 45A, iaitu memandu dalam keadaan mabuk, atau bertanggungjawab ke atas kenderaan ketika mabuk; atau
  2. Individu terbabit terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan 1 atau lebih kenderaan

Namun, anda perlu tahu bahawa anda bukan hanya boleh disabitkan kesalahan kerana berada dalam keadaan mabuk sambil memandu, malah lebih daripada itu.

polis mempunyai kuasa untuk melakukan ujian pernafasan kepada individu disyaki memandu dalam keadaan mabuk

Menurut seksyen 45 dan 45A dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, anda boleh disabitkan kesalahan dengan hanya berada dalam kenderaan jika tahap BAC anda adalah terlalu tinggi. 

Sebelum membincangkan perkara di atas, kita perlu melihat seksyen 43 dalam akta yang sama terlebih dahulu.

Seksyen 43 menyatakan bahawa individu yang memandu "tanpa penjagaan dan perhatian yang sewajarnya atau tanpa pertimbangan yang sewajarnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan raya" adalah melakukan satu kesalahan.

Memandu secara mabuk boleh dihukum bawah seksyen ini, dan jika didapati bersalah, denda sehingga RM 10,000 dan tempoh penjara maksimum selama 12 bulan boleh dikenakan ke atas pesalah.

ujian pernafasan untuk pemandu kenderaan

Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah cara yang paling langsung untuk mendakwa bagi tuduhan memandu dalam keadaan mabuk: 

1. Sesiapa yang, semasa memandu kenderaan bermotor di jalan atau tempat awam lain-

(a) berada di bawah pengaruh minuman keras atau dadah yang memabukkan, sehingga ke tahap tidak mampu mengawal kenderaan itu dengan betul; atau

(b) mempunyai alkohol yang begitu banyak di dalam badannya sehinggkan perkadaran dalam nafas, darah atau air kencingnya melebihi had yang ditetapkan, dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mana-mana orang telah melakukan kesalahan

Dengan kata mudah, anda telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 44, jika mengendalikan kenderaan bermotor di mana-mana tempat awam dalam keadaan mabuk sehinggakan tidak dapat mengawal kenderaan atau tahap BAC melebihi had yang ditetapkan.

Seksyen ini dinyatakan dengan sebegini sehingga membuatkan anda bersalah sama ada anda memandu dalam keadaan mabuk secara jelas, atau anda tidak kelihatan seperti mabuk tetapi tahap BAC melebihi had yang ditetapkan.

kemalangan akibat pemandu mabuk semakin meningkat 613

Jika anda disabitkan kesalahan di bawah seksyen 44 akta ini, jumlah denda yang perlu dibayar adalah tidak kurang daripada RM8,000 ke jumlah maksimum RM20,000, dan minimum penjara 3 tahun.

Bagi seksyen 45 dan 45A, ia memberikan kuasa budi bicara tertentu kepada pihak polis dan disasarkan lebih kepada individu yang bertanggungjawab ke atas kenderaan dalam keadaan mabuk atau mempunyai tahap BAC melebihi had.

Apa yang dimaksudkan dengan "bertangungjawab" dalam hal ini? Ia bermaksud sama ada orang dalam situasi itu mempunyai kemungkinan realistik menjadi orang yang mengawal kenderaan itu.

Sebagai contoh, individu dalam keadaan sangat mabuk sedang duduk di dalam keretanya yang sedang diparkir, dan tidak memandunya.

duduk di tempat duduk pemandu dalam keadaan mabuk boleh disabitkan kesalahan 2

(Duduk di tempat duduk pemandu dalam keadaan mabuk boleh disabitkan kesalahan)

Jika pegawai polis mendapati seseorang berada dalam situasi ini dan sama ada melihat dia tersangat mabuk sehinggakan tidak mampu untuk memandu, atau dapat menjalankan ujian pernafasan dan tahap BAC nya jauh melebihi had, individu tersebut boleh dipertanggungjawabkan di bawah seksyen 45 dan/atau 45A.

Mereka yang didapati bersalah di bawah satu atau kedua-dua seksyen ini, berhadapan dengan denda sehingga RM1,000 dan penjara sehingga 3 bulan bagi kesalahan pertama.

Kesalahan berikutnya akan menyebabkan pesalah didenda di antara RM2,000 dan RM6,000, serta penjara sehingga 12 bulan.

Perlu diingatkan bahawa anda tidak akan dipertanggungjawabkan di bawah seksyen 45 atau 45A jika tidak ada kemungkinan anda memandu kenderaan tersebut.

ujian pemandu mabuk

Sebagai contoh, anda tidur dalam keadaan mabuk di tempat duduk penumpang, dan bukannya di tempat duduk pemandu.

Tetapi, pegawai polis boleh menahan anda serta-merta jika nafas anda sangat beralkohol, seperti yang dinyatakan di bawah seksyen 45B dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987:

5. Seorang pegawai polis berpakaian seragam boleh menangkap seseorang tanpa waran jika:

(a) sebagai hasil ujian pernafasan bahawa dia mempunyai sebab yang munasabah untuk mengesyaki bahawa perkadaran alkohol dalam nafas, darah atau air kencing seseorang itu melebihi had yang ditetapkan; atau

(b) individu terbabit gagal memberikan spesimen nafas untuk ujian pernafasan apabila diminta berbuat demikian dan pegawai polis tersebut mempunyai sebab munasabah untuk mengesyaki badan invidividu tersebut mengandungi alkohol, tetapi seseorang itu tidak boleh ditangkap menurut kuasa subseksyen ini apabila dia berada di hospital sebagai pesakit.

pemeriksaan ujian pernafasan oleh pihak polis

Pendek kata, polis boleh menangkap anda jika anda gagal untuk melakukan ujian pernafasan, atau enggan memberikan kerjasama untuk melakukan ujian seperti tidak mahu menghembuskan nafas untuk tujuan ini.

Jika disabitkan kesalahan atas perkara-perkara ini, anda boleh didenda di antara RM1,000 dan RM6,000 dan penjara sehingga 12 bulan bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berulang, denda di antara RM2,000 dan RM10,000 boleh dikenakan, serta penjara sehingga 2 tahun. Malah, jika pihak mahkamah berasakan bahawa pesalah patut untuk digantung lesennya, penggantungan boleh dilakukan secara sementara atau secara kekal.

Kesimpulan

memandu dengan selamat tanggungjawab bersama

Sebagai seorang manusia, kita mesti bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan juga orang lain. Perbuatan memandu dalam keadaan mabuk bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi orang lain yang tidak bersalah turut terlibat sama.

Kejadian seperti ini bukanlah sesuatu yang asing di negara kita dan kita sepatutnya lebih sedar serta pritahin tentang bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol.

Pandulah dengan selamat, ingatlah orang yang tersayang.

 

Rujukan:

1. Ask Legal

2. Akta Pengangkutan Jalan 1987

3. Polisi Akta Garis Panduan Pengangkutan Jalan 




Hakcipta iluminasi.com (2017)