Oleh pada 28 Oct 2019 kategori

kisah nabi musa tampar malaikat maut

Mungkin ada di antara para pembaca Iluminasi pernah terdengar kisah tentang Nabi Musa A.S telah menumbuk mata malaikat maut sehingga buta kerana tidak mahu mati lagi saat itu.

Kisah ini diceritakan di mana malaikat maut diutuskan oleh Allah S.W.T untuk mengambil roh Nabi Musa. Namun sebaik sahaja bertemu, Nabi Musa menampar muka malaikat maut sehingga terkeluar matanya.

Jika difikirkan sejenak, ia kedengaran seperti tidak masuk akal bagaimana baginda boleh menumbuk malaikat maut, kan?

Namun ia terdapat dalam sahih al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام فَلَمَّا جَاءَهُ صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ فَقَالَ أَرْسَلْتَنِي إِلَى عَبْدٍ لَا يُرِيدُ الْمَوْتَ فَرَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَيْنَهُ وَقَالَ ارْجِعْ فَقُلْ لَهُ يَضَعُ يَدَهُ عَلَى مَتْنِ ثَوْرٍ فَلَهُ بِكُلِّ مَا غَطَّتْ بِهِ يَدُهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ سَنَةٌ قَالَ أَيْ رَبِّ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ الْمَوْتُ قَالَ فَالْآنَ فَسَأَلَ اللَّهَ أَنْ يُدْنِيَهُ مِنْ الْأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ رَمْيَةً بِحَجَرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَوْ كُنْتُ ثَمَّ لَأَرَيْتُكُمْ قَبْرَهُ إِلَى جَانِبِ الطَّرِيقِ عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ

Maksudnya : "Malaikat maut dihantar kepada Nabi musa. Apabila ia datangnya, Nabi Musa menampar malaikat. Lantas ia kembali kepada Allah seraya berkata : Engkau utuskan aku kepada seorang hamba yang tidak mahu mati. Maka Allah mengembalikan mata malaikat dan berfirman : Kembalilah dan katakan kepadanya supaya dia letakkan tangannya di belakang lembu jantan. Setiap bulu yang dilitupi oleh tanggannya itu adalah tahun (yang akan dia hidup). Nabi Musa (setelah menyampaikan pesanan dari Allah) berkata : Wahai Tuhan, kemudian apa?. Allah menjawab : kematian. Nabi Musa berkata : Sekaranglah. Kemudian Baginda memohon kepada Allah agar diletakkan berhampiran dengan tanah Palestin sejauh lontaran batu. Abu Hurairah berkata : Rasulullah saw bersabda : Jika aku ada di sana akan aku tunjukkan kuburnya yang berhampiran dengan jalan yang berada dengan pasir merah.”  Riwayat al-Bukhari (1339)(3407), Muslim (6298) 

Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis di atas dalam beberapa bab termasuklah bab sesiapa yang suka untuk ditanam di tanah yang disucikan dan selain itu, serta bab kewafatan Nabi Musa dan apa yang disebutkan selepasnya.

Selain itu, hadis ini dimasukkan ke dalam kitab sahih oleh Imam Muslim.

Maka, kisah Nabi Musa menumbuk atau menampak muka malaikat maut sebenarnya adalah sebuah kisah yang thabit dan sahih. 

Orang Islam menerima riwayat ini seperti mana yang dinyatakan oleh para cendekiawan:

تلقته الأمة بالقبول

Maksudnya : "Kesemua umat islam menerima pakai(sahih al-Bukhari)”.

Maksud disebalik kisah ini

kisah nabi musa tampar malaikat maut 2

Tetapi, dengan berlakunya kisah ini, tidakkah ia menunjukkan bahawa Nabi Musa enggan nyawanya ditarik?

Dan bukankah kisah ini memperlihatkan Nabi Musa sebagai kasar sehinggakan berani memukul utusan Allah S.W.T?

Sebenarnya, kisah ini tidaklah menceritakan bahawa Nabi Musa tidak mahu nyawanya ditarik.

Bagi yang tidak mendalami dan memahami dengan betul riwayat ini, mereka telah memperlekehkan dan menjatuhkan nama Nabi Musa.

Tetapi hakikatnya, kisah ini telah dijawab dan dijelaskan oleh Ibnu Khuzaimah, seperti mana yang dinukilkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani:

“Allah mengutuskan malaikat maut bukan untuk mencabut nyawanya akan tetapi sebagai satu ujian kepada baginda. Dan Nabi Musa menampar muka malaikat adalah kerana baginda melihat seorang lelaki yang masuk ke rumahnya tanpa izin dalam keadaan baginda tidak tahu bahawa itu adalah malaikat maut” (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari( 20/115))

Menggunakan pandangan Al-Maziri, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini berkata:

"Sebahagian daripada atheis telah mengingkari hadis ini berserta gambarannya dan berkata: “Bagaimana Musa boleh mencungkil mata malaikat maut?”

Beliau membawakan beberapa jawapan oleh para ulama’ berkenaan perkara ini:

1. Tamparan ini adalah tidak mustahil berlaku apabila Allah S.W.T menginzinkan ia dilakukan oleh Nabi Musa. Ia merupakan satu ujian kepada pihak yang ditampar, iaitu malaikat maut. Sudah tentunya Allah S.W.T berhak melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya terhadap mana-mana makhluk-Nya. 

2. Peristiwa ini berlaku secara majaz. Ini bermakna bahawa Nabi Musa berhujah dan berdebat dengan malaikat maut, dan menewaskannya. Dikatakan: “فَقَأَ فُلَان عَيْن فُلَان”. Maksudnya “fulan telah memukul mata si fulan” yang bermaksud orang itu telah mengalahkan si fulan dengan hujah.

Al-Maziri memberikan kenyataan tentang pendapat ini di mana dalam hal ini, ia terdapat kelemahan. Ini kerana seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah S.A.W berbunyi: “فَرَدَّ اللَّهُ عَيْنَهُ” yang membawa maksud maka Allah S.W.T mengembalikan matanya.

Maksud di "mata" di sini adalah zahir.

3. Dihujahkan bahawa kedatangan malaikat maut sebagai utusan Allah tidak diketahui oleh Nabi Musa. Baginda sebalinya beranggapan bahawa orang tersebut adalah orang asing yang mahukan nyawanya. Dengan ini, Nabi Musah harus mempertahankan dirinya, yang mana tidak disengajakan ketika mencungkil mata malaikat maut.

Jawapan ini adalah dari al-Imam Abu Bakr bin Khuzaimah, manakala yang lainnya oleh kalangan ulama terdahulu. Al-Maziri dan Al-Qadhi 'Iyadh juga memilih pendapat ini. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (8/103))

Bagaimana Nabi Musa tidak mengenali malaikat maut?

kisah nabi musa tampar malaikat maut 3

Dalam hal ini, ia adalah sesuatu yang biasa. Seperti yang kita tahu, malaikat boleh berubah ke dalam bentuk manusia yang mana pernah berlaku kepada Maryam. Firman Allah S.W.T:

وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مَرْيَمَ إِذِ ٱنتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا ﴿١٦﴾ فَٱتَّخَذَتْ مِن دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا ﴿١٧﴾ قَالَتْ إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَـٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا

Maksudnya : "Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Mariam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa." (Surah al-Mariam : 16-19)

Rujukan:

1. Mufti WP

2. Addeen

3. Konsultasi Syariah



Hakcipta iluminasi.com (2017)